Thursday, January 8, 2015

Punca Utama Banjir di Pantai Timur dan penyelesaian oleh JPS

Satu projek empangan pelbagai guna di hulu Sungai Kelantan bernilai kira-kira RM3 bilion akan dibina tidak lama lagi sebagai sebahagian langkah utama penyelesaian banjir secara total di pantai timur.

Pengarah Bahagian Pengurusan Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) Ab Qahar Osman berkata ia merupakan satu projek tebatan banjir dikenal pasti dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) untuk diberi keutamaan bagi mengatasi bencana banjir pada masa akan datang.

"Untuk RMK-11 kita akan tumpukan pada beberapa cadangan bagi selesaikan masalah banjir secara total. Kos pembinaan (empangan itu) yang dianggarkan adalah RM3 bilion dan akan mengambil masa kira-kira lima tahun untuk disiapkan.

"Kita mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku baru-baru ini yang mana sungai tidak mampu menampung kuantiti air hujan," katanya ketika dihubungi Bernama.
    
Katanya, empangan itu bukan hanya berfungsi sebagai kawasan tadahan air hujan bagi mengelak berlakunya banjir tetapi menjana tenaga elektrik, menjadi saluran pengairan air dari sungai dan membekalkan air untuk pengguna domestik.

Berkongsi cerita mengenai banjir di pantai timur, Ab Qahar berkata jumlah hujan yang direkodkan di negeri-negeri pantai timur yang terlibat banjir dalam masa 10 hari adalah 850mm melebihi paras normal iaitu 100mm.

"Sehubungan itu, sungai-sungai utama tidak mampu menampung kuantiti air hujan itu dan menyebabkan air mengalir terus memasuki kawasan penempatan penduduk," katanya.

Setakat ini katanya, beberapa projek tebatan banjir telah dilaksanakan di Kelantan di bawah RMK-10 iaitu projek meninggikan tebing dan melebarkan sungai supaya air tidak melimpah dengan perbelanjaan kira-kira RM100 juta.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan projek tebatan banjir akan diberi keutamaan dalam RMK-11.

Sementara itu, Pensyarah Perancangan Bandar dan Wilayah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam Prof Madya Ahmad Fuzi Arshad berkata pembinaan empangan di hulu sungai bukan sahaja untuk mengelak banjir namun air yang ditakung itu boleh dimanfaatkan ketika musim kemarau.

"Bagaimanapun, keluasan empangan itu bergantung kepada jumlah hujan. Walaupun keluasan kecil tetapi boleh juga dibina dalam jumlah yang banyak di beberapa hulu sungai utama," kata Ahmad Fuzi.

Beliau turut bersetuju dengan cadangan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyarankan lebih banyak 'lebuh raya air' dibina di negeri-negeri berisiko banjir termasuk membina terusan dan parit yang boleh menampung air pada skala yang lebih besar.

Katanya, walaupun pembinaan 'lebuh raya air' itu mungkin memakan masa panjang untuk disiapkan namun ia dapat memberi manfaat kepada rakyat di kawasan berisiko banjir.

Pakar ekonomi Prof Dr Barjoyai Bardai berpendapat kerajaan mampu membina  'lebuh raya air' serta beberapa projek tebatan banjir menggunakan dana sendiri tanpa melibatkan dana luar kerana projek seumpama itu merupakan pelaburan jangka panjang.

Katanya, pelaburan kerajaan terhadap projek seumpama itu mampu meningkatkan kaedah pengurusan banjir dan memperbaiki sistem pengairan yang cekap di kawasan sensitif terhadap banjir.   

"Itu mungkin libatkan belanja besar tetapi membantu mengelakkan kerajaan menanggung kos lebih tinggi bagi membaik pulih kerosakan selepas banjir," katanya.

Tambahnya, bencana banjir sememangnya tidak dapat dielakkan memandangkan negara menerima hujan lebat monsun setiap hujung tahun yang boleh menyebabkan berlakunya bencana itu.

Bernama


http://www.malaysiakini.com/news/285735

No comments: