Wednesday, May 25, 2011

Papaku Rocker



Biar sesibuk mana, Amy tetap luang waktu bersama keluarga

DARI jauh sudah kedengaran gelak tawa lima beranak bercanda ria sambil bermandi-manda. Kolam renang Hotel Palm Garden, Putrajaya menjadi pilihan untuk bersantai melepas lelah. Sesekali kedengaran suara si bapa meminta anak kecilnya berhati-hati bermain di gigi air. Walau sekadar merehatkan minda di pinggir ibu kota, percutian singkat sebegitu sudah menjadi rutin bagi keluarga rocker tersohor, Amy Search, yang sempat mencuri masa untuk bersama anak dan isteri di tengah kepadatan jadualnya. Bagi Pengetua Akademi Fantasia 9 (AF9) itu, bukan soal di mana destinasi atau berapa panjang tempoh diperlukan dalam memperuntukkan hari bersama insan tersayang, sebaliknya kualiti masa menjadi keutamaan supaya si anak tidak berasa diketepikan.

“Kalau sehari diberikan 25 jam sekali pun, jika tidak pandai membahagikan waktu pasti kita berasakan ada sesuatu yang tidak sempat dilakukan. Acara santai yang dilakukan tanpa dirancang selalunya lebih menjadi, sekali gus kejutan buat anak-anak.

“Jika tidak keluar ke mana-mana pun kami akan menghabiskan masa di rumah. Ada kalanya saya mengambil alih tugas isteri memasak dan sambil menjamu selera kami akan saling bertukar cerita dengan anak-anak,” katanya sambil melirik si isteri, Norish, yang leka mengulit si bongsu, Qaqa At-Tameemi, genap dua tahun pada September ini.

Perkahwinan keempat vokalis tersohor dengan Norish atau nama sebenar Norhaniza Hassan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Alexander Zulkarnain, 7; Sania Samara, 6; dan Qaqa, malah menerusi perkahwinan terdahulu, Amy mempunyai dua anak, Nabila Huda, 26; serta Irisha Myra, 15 (di luar negara).
Katanya, sepatutnya anak sulungnya yang selesa disapa Abil bersama cucunya, Keisha Laila Zaidi, 1, turut menyertai acara santai itu namun disebabkan komitmen terhadap drama terbarunya, hasrat itu terpaksa dibatalkan pada saat akhir.

Namun sambung Amy yang tampak cukup berbangga menyandang gelaran datuk pada usia 53 tahun, mereka sekeluarga akan berkumpul lagi pada sebelah malamnya untuk meraikan kelahiran bayi kesayangan keluarga yang dilahirkan pada 11 Mei 2010.

“Diam tak diam cucu saya sudah genap setahun. Cepat benar masa berlalu macam baru semalam saya mengendong Nabila dan sekarang anak sulung saya sudah memberikan cucu. Syukur saya masih dikurniakan umur panjang untuk menikmati pengalaman ini.

“Apabila mempunyai anak kecil dan cucu yang hampir sebaya, saya berasa diberi kenikmatan yang tiada taranya. Berpeluang melihat anak serta cucu membesar di depan mata adalah anugerah tidak terhingga. Mungkin dulu saya terlampau sibuk bekerja, sekarang sesibuk mana pun saya berusaha mengisi masa dengan mereka,” akuinya.

Seperti didedahkan isterinya, Amy meletakkan keluarga pada tangga pertama, malah seboleh-bolehnya mahu semua anak berkumpul sekali pun si sulung sudah punya keluarga sendiri. Selepas menunaikan umrah sekeluarga, mereka bercuti beramai-ramai pula ke Australia.

Bukan mahu menunjuk-nunjuk, kata Norish dengan merendah diri, sebaliknya rezeki yang diperoleh sememangnya untuk anak-anak, malah mereka menyimpan berdikit-dikit untuk memastikan perancangan percutian keluarga dapat direalisasikan.

“Kami pergi 10 orang termasuk dua bayi, Qaqa dan Keisha. Walau penat, ia pengalaman menyeronokkan. Saya nampak Amy begitu gembira dapat menunaikan permintaan anak-anak. Sebenarnya kami berdua tidak kisah bercuti di mana saja, tetapi Australia destinasi yang diidamkan anak-anak.

“Insya-Allah selepas ini Amy merancang membawa kami sekeluarga menunaikan haji. Semoga impiannya itu dipermudahkan Yang Maha Kuasa. Jika tiada aral melintang kami harap dapat kembali semula ke Tanah Haram tahun ini juga,” katanya yang sudah tiga kali menunaikan ibadat Umrah.




No comments: