Friday, September 5, 2014

Ombak jana elektrik

Dr Mohd Zamri memperkenalkan UEWP ketika sidang media di PWTC, Kuala Lumpur, semalam. - Foto Azhar Ramli
Kuala Lumpur: Hasil penyelidikan sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berjaya menghasilkan teknologi penjanaan elektrik menggunakan ombak yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat khususnya nelayan.  
  Penyelidikan selama tiga tahun dalam menghasilkan teknologi itu yang diketuai oleh Pengarah Makmal Berpusat UMT, Prof Madya Dr Mohd Zamri Ibrahim, mampu menjadi satu sumber alternatif membekalkan tenaga elektrik kepada negara.
Penghasilan tenaga elektrik sebanyak 10 kW itu boleh dimanfaatkan oleh 30 rumah selama setahun dengan purata penggunaan elektrik sebanyak dua hingga tiga kWj (kilowatt sejam) sehari bagi setiap rumah.

"Selain itu, mesin ini bermanfaat kepada masyarakat nelayan kerana mereka tidak perlu mendapatkan bekalan ais dari luar ketika keluar menangkap ikan. Mereka boleh mendapatkan ais secara percuma memandangkan bekalan elektrik yang didapati pun adalah percuma," katanya pada Sidang Media Inovasi dan Majlis Hari Raya UMT bersama Media dan Rakan Strategik di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.
  Yang turut hadir ialah Naib Canselor UMT, Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMT, Tan Sri Dr Ahmad Zaharuddin Idris.
Zamri berkata, jika sebelum ini negara bergantung kepada penghasilan tenaga fosil kini konfigurasi peranti Kuasa Tenaga Ombak Evo UMT (UEWP) membolehkan sumber tenaga ombak ditukar kepada tenaga elektrik sekali gus membekalkan tenaga.
  Peranti itu adalah inovasi yang setanding dengan negara luar dan dapat memberi kemudahan kepada penduduk di pulau, persisiran pantai dan nelayan untuk mendapatkan bekalan elektrik secara percuma.
  "Keadaan ombak di Malaysia dipengaruhi oleh angin Monsun Timur Laut dan Monsun Barat Daya justeru kadar ketinggian ombak di kawasan pantai timur tidak terlalu tinggi sekitar 2.5 hingga tiga meter saja.
  "Teknologi yang dicipta ini membolehkan ia digunakan pada kadar ombak yang rendah.
  "Jika sebelum ini penduduk di pantai timur risau dengan keadaan pantai yang semakin terhakis akibat pukulan ombak yang kuat dengan kewujudan UEWP ia bertindak sebagai pemecah ombak sekali gus dapat memanfaatkannya menerusi bekalan elektrik yang disalurkan," katanya.
  Zamri berkata kebiasaannya kos perbelanjaan untuk menghasilkan teknologi penjanaan elektrik mencecah RM100,000 tetapi UEWP boleh diperoleh kurang daripada jumlah itu.
  "Bagi permulaan kami baru menghasilkan satu unit dan kos pembinaan UEWP yang mampu menjana 10 kilowatt itu kurang daripada RM100,000," katanya.
Fakta nombor
  • 256 projek penyelidikan UMT pada 2013
  • RM14.5 juta geran penyelidikan
    Proses rekaan UEMP babit dua katamaran
    Kuala Lumpur: Proses rekaan penjana elektrik peranti Kuasa Ombak Evo UMT (UEWP) membabitkan penggunaan dua unit gabungan katamaran. 
      Pengarah Makmal Berpusat Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Zamri Ibrahim, berkata katamaran yang dibina menggunakan bahan keluli dilengkapi dua pelampung di hadapannya.
    Katanya, UEWP dikendalikan oleh pergerakan pelampung dengan kelajuan berbeza dan disambung ke rak mekanikal yang menggerakkan takal, seterusnya memberikan tenaga kepada tali sawat yang disambung kepada penjana elektrik.
    UEWP setakat ini udah diuji di kawasan pantai berhampiran UMT dengan keputusannya jelas menunjukkan mesin ini tetap mampu menjana tenaga elektrik walaupun pada ketinggian ombak yang rendah.
    Katanya, UEWP adalah mesin penjanaan yang mampu memberi saingan kepada mesin penjanaan tenaga elektrik dari kuasa boleh diperbaharui seperti tenaga solar dan angin kerana kos keseluruhan penghasilan serta operasinya adalah rendah
      "Kajian mendapati peranti ini mampu menjana 10 kilowatt bagi boleh menampung penggunaan tenaga elektrik 30 rumah," katanya. 
       Zamri bercadang untuk mengubah saiz peranti supaya ia dapat menampung tenaga elektrik dengan kapasiti yang lebih besar bagi tujuan komersial.
      "Sekiranya ia mendapat memenuhi kehendak pasaran, UEWP mampu menjadi pembekal tenaga elektrik di pulau kecil dan mampu mengelak pencemaran alam, malah kos diperlukan tidak tinggi," katanya.
    Projek penghasilan UEWP itu mendapat sokongan dari segi kewangan dan pengawasan oleh Kementerian Pendidikan dan kini UEWP telah sedia untuk digunakan.
  • No comments: