Monday, August 10, 2009

Mentaliti Orang Kita


Pesta kebas beras

MARANG: Kemalangan membabitkan sebuah lori membawa muatan 800 kampit beras jenama Jati di Kilometer 41, Jalan Kuala Terengganu-Dungun berhampiran Kampung Selawa, Merchang, dekat sini, kira-kira jam 12 tengah hari, semalam, bertukar pesta apabila penduduk berebut-rebut mengutip beras percuma yang bertaburan atas jalan. Tindakan penduduk terbabit membuatkan pemandu, Ibrahim Yusof, 36, yang terselamat dalam kejadian itu pening kepala apabila penduduk turut melarikan berpuluh-puluh kampit beras.Walaupun ditegah kelindannya, Mohd Jefri Embong, 27, serta pembantunya, Mohd Irwan Shah, 22, orang ramai termasuk kanak-kanak tidak menghiraukannya, sebaliknya semakin ghairah merebut peluang terhidang.

Ini rezeki kami, kalau kami tak ambil, orang lain yang ambil,” kata seorang penduduk yang dikenali sebagai Amir berusia 20-an.

Seorang lagi penduduk yang mahu dikenali sebagai Pak Mat berkata, kejadian itu secara tidak langsung membolehkan penduduk mendapatkan bekalan beras percuma sebagai persediaan menjelang Ramadan tidak lama lagi.

Dianggarkan, kira-kira 200 daripada 800 kampit beras musnah dalam kejadian itu yang dipercayai berlaku selepas tayar kiri bahagian hadapan kenderaan berkenaan pecah.Ibrahim dari Kampung Sungai Buaya, Dungun, berkata sebelum kejadian, dia bersama Mohd Jefri dan Mohd Irwan dalam perjalanan menghantar beras dari Dungun ke Kuala Berang.

Katanya, mereka bertolak dari Dungun kira-kira jam 11.30 pagi selepas selesai memunggah beras dari gudang milik sebuah pembekal beras di Taman Permint, Dungun.Bagaimanapun, menurutnya, ketika berada di jambatan berhampiran kampung itu secara tiba-tiba tayar kiri hadapan pecah menyebabkan kenderaan berkenaan terbabas sebelum melanggar besi penghadang.Akibat kejadian itu, lori berkenaan tidak dapat dikawal dan terbalik sebaik tiba di selekoh berhampiran jambatan berkenaan.

Mujur kami tidak mengalami kecederaan teruk dan hanya Mohd Irwan Shah yang duduk di bahagian tepi mengalami luka pada siku dan paha kiri dipercayai bergesel di atas jalan ketika kenderaan terbalik,” katanya.

Menurutnya, selepas kenderaan itu terbalik dan tersadai di tengah jalan, mereka bertiga yang bertindih sesama sendiri dalam kenderaan itu segera menyelamatkan diri dan keluar melalui pintu pemandu. Katanya, semua beras bermutu tinggi dianggarkan bernilai RM16,000 itu untuk dihantar ke enam premis di Kuala Berang sebagai persediaan Ramadan tidak lama lagi.

Saya pening kepala apabila banyak beras kami dilarikan penduduk. Pada awalnya saya hanya membenarkan mereka mengambil beras bertaburan di atas jalan raya saja, tetapi keadaan berlaku sebaliknya.“Daripada terbiar rosak, saya bagi mereka ambil. Mungkin itu sudah rezeki mereka, tetapi tindakan penduduk mengambil beras dalam plastik yang pecah sedikit memeningkan saya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis daerah, Asisten Superintendan Zohan Seman, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 12 tengah hari dan terus ke tempat kejadian beberapa minit kemudian.Katanya, pihaknya tiba awal di tempat kejadian kerana ketika itu anggotanya sedang bersiap sedia memulakan tugas di Kilometer 39, Jalan Kuala Terengganu-Dungun.Beliau berkata, kemalangan itu dipercayai berpunca selepas tayar hadapan sebelah kiri pecah menyebabkan kenderaan berisi muatan beras itu tidak dapat dikawal sebelum melanggar besi penghadang jambatan dan terbalik.

Akibat kejadian, berlaku kesesakan lalu lintas apabila berpuluh-puluh kampit beras pecah dan bertaburan di atas jalan. Kemalangan itu menyebabkan Mohd Irwan yang duduk di bahagian tepi sebelah pintu penumpang cedera ringan dan dirawat di Klinik Kesihatan Merchang manakala pemandu, Ibrahim dan kelindan Mohd Jefri tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya.Menurutnya, kerja pembersihan jalan dilakukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Marang kira-kira jam 2 petang.

No comments: