Bekas Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berbeza pandangan dengan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang memutuskan bahawa tarian poco-poco haram. Beliau berhujah, semua urusan harian manusia, termasuk tarian, adalah harus diamalkan kecuali terdapat dalil yang jelas mengharamkannya.
Bagaimanapun, tambahnya, jika terdapat unsur yang tidak baik, perkara itu hendaklah ditapis dengan membuang unsur yang buruk, bukan mengharamkan perkara itu secara menyeluruh. "Atas asas ini, pada pandangan saya, tarian poco-poco adalah harus, melainkan jika seseorang itu mengamalkannya kerana ingin menghayati kepercayaan yang salah dari segi akidah," katanya yang juga pensyarah agama di Universiti Sains Malaysia (USM).
Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria sebelum ini dilaporkan berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak memutuskan tarian berkenaan sebagai haram kerana mempunyai unsur kepercayaan agama lain dan pemujaan roh. Pewartaan fatwa itu akan dibuat tidak lama lagi.
Dalam kenyataan pada Selasa malam, Dr Mohd Asri juga menegaskan, masyarakat Islam hendaklah tahu tentang keluasan Islam, apatah lagi dalam masyarakat yang serba rencam hari ini. "Maka, fatwa dalam hal tarian, senaman, permainan dan seumpamanya, hendaklah luas, tidak sempit dan berusaha melihat ruang keizinan yang diberikan oleh Islam," katanya.
Menurut Dr Mohd Asri lagi, jika pengharaman dibuat berdasarkan asal-usulnya yang tidak islamik, ia akan mewujudkan kecenderungan pengharaman pelbagai lagi aktiviti seperti Tai Chi, Taekwondo dan senaman Qiqong.
Beliau bagaimanapun menegaskan menghormati pandangan Harussani dan Jawatankuasa Fatwa Perak yang mengharamkan tarian tersebut dan cuma memberikan pandangan berbeza.