Wednesday, November 16, 2011

Tok saudara telah pergi selamanya..

Tok sedara telah pergi selamanya...

Menamatkan kisah suka dan duka untuk selamanya. Dibesarkan di Terengganu oleh ayah beliau kelahiran Kelantan. Tamat pengajian pondok, ayahnya pulang semula ke Kelantan. Meninggalkan beliau yang memilih gadis Terengganu dan menetap di Terengganu, sehingga ke akhir hayat beliau.

Memulakan kerjaya di kala Bukit Besi memuntahkan rahmat kekayaan sumber mineral kepada penduduk tempatan dan kerajaan. Sesudah meningkat usia beliau cuba juga dalam bidang politik, namun sinar kerjaya politik beliau tidaklah seterang mana.

Beliau tidak dikurniakan anak, maka 2 anak angkat dipelihara sepasang, lelaki dan perempuan. Bersama isteri gigih juga membesarkan anak orang. Sehingga kadang-kadang terlebih kasih sayang. Tapi itu normal sahaja bagi sesiapa yang ditakdirkan tidak dikurniakan zuriat.

Kisah suka dan duka beliau di dalam keluarga kecil yang dibina menjadi rencah hidup beliau. Sesiapa sahaja boleh melihat dengan rapat, dan mempunyai pandangan masing-masing berkenaan dengan hubungan kekeluargaan.

Beliau begitu menjaga hubungan kekeluargaan dari Kelantan, setiap kali musim perayaan atau ada kematian, beliau akan hadir. Kagum dengan beliau kerana sangat fasih membaca sebuah Al-Quran untuk setiap kali ada ahli keluarga meninggal, yang hanya mengambil masa beberapa jam.

Di kala usia beliau sudah memasuki kategori usia emas, beliau mendapat rezeki perniagaan yang agak banyak. Boleh dikatakan nampak perubahan ketara, rezeki Tuhan. Tidak berapa lama kemudian dengan usia sudah 60 an, beliau menggemparkan ahli keluarga apabila berkahwin dengan seorang wanita. Ketika itu agak gegak gempita juga. Masing-masing ada pendapat dan pendirian. Ada yang setuju dan ada yng tidak. Yang setuju sampai mencemuh pada yang x setuju. Yang tidak setuju bukan keputusan yang diambil, tetapi lebih kepada individu yang dipilih.

Maka bermulalah episod baru dalam sejarah hidup beliau. Di kala teman yang lain sudah beristirehat dari asam garam dunia, beliau seolah-olah masih terkial-kial untuk mendapat kesempurnaan hidup. Di kala orang lain sedang beristirehat bersama anak cucu, hidup beliau penuh berduri.

Ramai juga yang mengambil langkah diam, seolah tiada apa berlaku. Lebih kepada memahami niat beliau, lagi pun tiada apa yang salah atau haram pun.

Akhirnya, setelah lebih berpuluh-puluh tahun, Tuhan menganugerahkan beliau ZURIAT LELAKI. Sukanya bukan kepalang, senyumnya meleret. Seolah-olah segala duri yang ditikam ditubuh, hilang begitu sahaja. Tiada sesiapa yang dapat memahami erti kegembiraan sebenar beliau kecuali yang senasib dengan beliau.

Kemudian, hidup beliau diuji lagi. Perniagaan beliau merosot. Apa yang dimiliki semakin menyusut. Terutama apabila, kegagalan menyelamatkan perkahwinan kedua. Betullah setengah mengatakan, kadang-kadang kelangsungan perkahwinan ada juga yang terletak pada harta. Bukan Allah, bukan keturunan, bukan rupa.

Bila berusia, penyakit pun menjelma. Tiga kali seminggu hemodialisis sangat menyeksakan kepada sesiapa sahaja. Sepatutnya teman setia jua yang menjaga seperti orang lain, tapi tidak. Isteri pertama pun jatuh sakit, terlantar sakit, hanya boleh menggerakkan kepala, sudah 5 tahun. Dijaga anak angkat beliau, memandangkan beliau sendiri tidak boleh menjaga diri sendiri.

Mungkin, 5 tahun ini juga, beliau bebas membuat keputusan hidup. Bebas kemana saja tanpa kongkongan dan bangkangan. Bertindak sebagai lelaki atau pemimpin yang sebenar. Sesuatu yang hilang dalam hidup beliau berpuluh tahun lamanya.

Sudah terlambat.

Beliau terus menyusuri hidup, dengan umur 74 tahun, sudah tiada apa yang boleh dilakukan kecuali mengabdikan diri kepada Pencipta.

Tibalah satu hari, darah mencanak naik membuatkan beliau pening. Terlantarlah di hospital. Tanpa disedari, kuman-kuman mula menjamah setiap organ penting beliau dengan dalam keadaan tubuh tua yang ampuh melawan penyakit. Di kala katil-katil lain dijaga oleh isteri masing-masing, beliau dijaga anak dan cucu angkat sahaja.

Al Fatihah. 30.10.2011.

Telah ditakdirkan, niat beliau untuk membesarkan sendiri anak biologi lelaki tidak diperkenankan. Hanya 2 bulan lagi untuk beliau merasa tanggungjawab membesarkan anak sendiri, memberi makan minum pakai, mengajar ilmu akhirat, merasai hembusan bayu laut di waktu petang bersama moto buruk. Mungkin beliau tersenyum sendirian apabila memikirkan perancangan yang berlegar di dalam kepala. Tapi sudah takdir, anak tersebut hanya akan dibesarkan oleh ibu biologi, bukan ayah biologi.

Kadang-kadang terfikir beberapa perkara, walaupun seolah SALAH untuk memikirkan langkah-langkah yang beliau patut ambil yang boleh mengubah sejarah hidup beliau, tapi ia tetap berlegar dikepala:

1. Tidak mengambil anak angkat selama-lamanya. Jika ditakdirkan isteri jatuh sakit seperti sekarang, lagi susah beliau dengan penyakit diri sendiri lagi

2. Membuat keputusan berkahwin lain di usia muda. Masa merawat segalanya, setidaknya waktu tua adalah untuk bersitirehat bersama dengan anak cucu. Yang pertama sabar dan redha, kerana taat itu lebih memudahkan ke syurga. Atau terus memutuskan hubungan?

3. Mengambil anak angkat, tanpa berkahwin lain. Tapi bohong pula jika tiada hasrat memiliki zuriat sendiri.

4. Memilih calon yang betul-betul sesuai dan beriman kepada Allah. Mungkin sebuah keluarga besar dapat dibina. Yang tua menolong yang muda. Muda menolong yang tua. Lengkap melengkapi. Belajar dan mengajar. Sayang dan menyayangi. Ketiga-tiga menyembahkan diri kepada Allah.


Sudah takdir, jalur kehidupan beliau bukan seperti skrip drama yang boleh diolah pada bila-bla masa sahaja. Tuhan sudah mentakdirkan begitu, dan semoga beliau aman di sana. Al Fatihah, semoga roh beliau dikalangan orang beriman, InsyaAllah....







No comments: