Friday, November 30, 2012

Landasan Keretapi Pelabuhan Tumpat (Pantai Sri Tujuh)

Tidak ramai yang mengetahui tentang wujudnya landasan antaran Tumpat dengan Pelabuhan Tumpat yang terletak di Pantai Sri Tujuh ini. Malah tidak mudah untuk mencari sejarah yang mencatatkan perihal landasan ini. Begitu sukar untuk mendapatkan jalan cerita sebenar kerana aku tak tahu kat mana nak cari.

Aku telah berkunjung ke sana sekali lagi baru – baru ini untuk mengungkap kembali sejarah landasan ini. Hasil daripada kerjasama kakitangan KTMB dan penduduk tempatan, berikut adalah serba sedikit cerita mengenai landasan tersebut.

Jarak landasan dari Stesen Tumpat ke Pelabuhan Tumpat



Sekitar tahun 1940’an sebelum Perang Dunia Kedua meletus, Pelabuhan Tumpat mengendalikan eksport bijih besi ke luar negara terutamanya ke Jepun. Pada mulanya, bijih besi yang di lombong di Batu Lapan, Kerambit itu diangkut ke pelabuhan dengan menggunakan lori kecil.

Memandangkan permintaan terhadap bijih besi ini semakin meningkat dari semasa ke semasa, pengangkutan menggunakan lori telah menimbulkan masalah. Lori – lori kecil yang digunakan sering mengalami kerosakan akibat terlalu kerap digunakan dan kurang diselenggara. Bagi mengatasi masalah itu, pihak FMSR telah bersetuju untuk membina sebuah landasan dari Tumpat ke Pelabuhan Tumpat sejauh 5.38 kilometer (ada yang mengatakan sekitar 3 kilometer sahaja).

Landasan ini mula dibina pada akhir tahun 1930'an dan siap pada awal tahun 1940'an. Landasan ini dibuka kepada trafik pada tahun 1941. Kekerapan pengendalian tren bijih besi ini adalah 6 tren sehari. (Hampir keseluruhan fakta ini aku ragui kerana ianya bercanggah dari mulut ke mulut - bermaksud tiap orang memberikan tarikh yang berbeza - beza. Pertolongan dari kalian amat aku perlukan untuk memperbetulkan fakta sejarah.)

Gambar di bawah menunjukkan Pelabuhan Kota Bharu. Setahu aku Kota Bharu tak ada keretapi. Mungkin ini adalah Pelabuhan Palekbang atau mungkin juga Pelabuhan Tumpat




Pada September 1941, Jepun telah memasuki dan menyerang Tanah Melayu. Tentera Jepun telah memasuki Kelantan melalui Pelabuhan Tumpat ini.

Pada masa perang, perkhidmatan tren membawa bijih besi diteruskan dengan kesemua bijih besi dihantar ke Jepun. Selain daripada bijih besi yang diperolehi dari Kerambit, bijih besi dari Temangan juga dihantar ke Jepun. Tempat pengumpulan bijih besi ini adalah di sebuah kilang bijih besi yang terletak di belakang Stesen Keretapi Gual Periok.

Tapak bekas Stesen Gual Periok sememangnya luas dan dapat memuatkan sekurang - kurangnya 6 landasan.


Sebaik Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, British kembali memerintah Malaya dan mengarahkan agar semua bijih besi dihantar ke England.

Tetapi keadaan itu tidak lama kerana dalam tahun 1946, kapal – kapal dari Jepun telah datang semula ke sini untuk membawa bijih besi kembali ke negara mereka. Kegiatan ini berterusan sehingga akhir tahun 1950an.
Oleh kerana pengeluaran bijih besi yang semakin berkurangan, tren – tren pukal membawa bijih besi semakin dikurangkan. Akhirnya pada tahun 1960, perkhidmatan tren pukal bijih besi ke Pelabuhan tumpat ini dihentikan.

Sejak dari tarikh itu, tiada usaha – usaha dibuat untuk memulihara landasan tersebut. Akibatnya binaan jeti Pelabuhan Tumpat ini runtuh.

Jambatan bijih yang terletak di Pantai Kampung Jubakar


Begitu juga dengan jambatan keretapi yang merentasi sungai di Kampung Jubakar yang kian lenyap.



Landasan keretapi dibongkar dan ada juga yang diturap dengan tar menjadi jalanraya.



Sesungguhnya landasan cawangan Pelabuhan Tumpat ini adalah terpinggir. Tiada siapa yang dapat memberikan jawapan yang tepat tentang cerita sebenarnya, kecuali orang – orang kampong yang tinggal lama di situ. Mungkin juga para ahli sejarah mempunyai fakta yang tersendiri tentang landasan yang beroperasi dalam tempoh masa yang singkat.

Secara jujur aku mengakui bahawa beberapa fakta dalam cerita ini adalah tidak tepat dan perlu diperbetulkan. Aku siarkan dalam blog ini agar kalian mendapat sedikit 'clue' tentang wujudnya landasan dari Stesen Tumpat ke Pelabuhan Tumpat. Pertolongan dari semua pihak amatlah dihargai agar fakta sebenar tentang landasan ini dapat diperolehi.

http://zkeretapi.blogspot.com/2011/09/landasan-keretapi-pelabuhan-tumpat.html



No comments: