Thursday, December 27, 2012

Kereta Api Laju Beijing-Guangzhou mula beroperasi


Landasan kereta api laju terpanjang di dunia, landasan kereta api Beijing-Guangzhou yang jaraknya 2,298 kilometer mula beroperasi hari ini. Panjang keseluruhan landasan kereta api laju di China kini mencecah 9,300 kilometer.







BEIJING 26 Dis. - China hari ini melancarkan perkhidmatan kereta api laju di laluan terpanjang di dunia, dengan industri pengangkutan itu semakin berkembang tetapi sering berdepan dengan masalah.

Pembukaan laluan antara Beijing dan Guangzhou sejauh 2,298 kilometer akan membolehkan perjalanan antara kedua-dua bandar tersebut memakan masa hanya selama lapan jam berbanding 22 jam sebelum ini.

Badan penyiaran China Central Television melaporkan kereta api laju pertama bergerak pukul 9 pagi waktu tempatan (9 pagi waktu Malaysia) dari Stesen Kereta Api Beijing Barat.

Stesen televisyen berkenaan juga melaporkan secara langsung keadaan di dalam kereta api itu yang menunjukkan penumpang bergambar kenang-kenangan sempena pelancaran perkhidmatan kereta api laju tersebut.

Agensi berita Xinhua pula melaporkan sebuah lagi kereta api berlepas dari Guangzhou ke ibu negara ini kira-kira pukul 10 pagi.

Kereta api itu akan bergerak dengan kelajuan purata 300 kilometer sejam yang meliputi 35 hentian di bandar-bandar utama seperti Zhengzhou, Wuhan di Sungai Yangtze dan Changsha.

Media rasmi melaporkan hari ini dipilih bagi memulakan perkhidmatan kereta api laju Beijing-Guangzhou sempena tarikh kelahiran pemimpin China, Mao Zedong yang dilahirkan pada 1893.

Laluan Beijing-Guangzhou dilengkapkan dengan penyelesaian pembinaan laluan antara Zhengzhou dan Beijing kerana laluan Zhengzhou-Wuhan-Guangzhou sudah beroperasi.

Rangkaian kereta api laju China dibina pada 2007 namun menjadi industri paling berkembang pesat di dunia.
Xinhua melaporkan, China kini mempunyai laluan kereta api laju sejauh 9,300 kilometer.

Akhbar rasmi, China Daily hari ini melaporkan, laluan perkhidmatan kereta api laju itu akan meliputi sejauh 50,000 kilometer menjelang 2020. - AFP

No comments: