Tuesday, September 9, 2014

MH17 hilang dalam dua minit

Putrajaya: Transkrip komunikasi yang didedahkan Lembaga Keselamatan Belanda menunjukkan dua belas percubaan mengesan penerbangan MH17 menggunakan dua pendekatan iaitu radio dan telefon menemui jalan buntu sebelum disahkan ‘hilang’.
Berdasarkan laporan itu, Pusat Kawalan Radar Dnipro (DNP) menghubungi pesawat MH17 pada 13:08:00 (1.08 petang) serta mendapat maklum balas dari kru pesawat MH17 bagi mengubah ke laluan Romeo November Delta (RND) dengan arahan daripada Pusat Kawalan Rostov (RST) berikutan ada tiga pesawat komersial di zon penerbangan yang sama pada ketika itu. 
ROMEO NOVEMBER DELTA (RND), Malaysian, one seven’ itu adalah komunikasi radio terakhir kru penerbangan pesawat MH17 dengan DNP di Ukraine sebelum terputus hubungan dan pesawat itu dipercayai berkecai di udara dua minit kemudian. 

Mengikut perbualan telefon antara RST di Russia dengan DNP di Ukraine selepas kedua-dua pangkalan udara itu gagal menghubungi MH17, mereka mendapati pesawat berkenaan dilihat berkecai di udara.
Foto
FOTO AFP

Menurut sumber industri penerbangan, RND adalah satu daripada persimpangan dalam laluan penerbangan antarabangsa berdekatan bandar Snizhne, Timur Ukraine.

Juruterbang pesawat MH17 memberi maklum balas pada 13:19:56 dan disusuli arahan DNP pada 13:20:00 untuk melencong ke laluan ditetapkan yang dinamakan TIKNA, bagaimanapun, tiada sebarang maklum balas diterima daripada pesawat berkenaan. 

DNP cuba menghubungi lagi sebanyak tiga kali pada 13:21:10, 13:21:36 dan 13:22:02 namun tidak berjawab. 

Pada 13:22:05, DNP menelefon RST dan memaklumkan perkara berkenaan sebelum MH17 dilihat seperti jatuh dalam keadaan bersepai dan hilang dari radar. 

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, rakaman terakhir itu diperoleh daripada laporan awal tragedi MH17 yang dikeluarkan DSB, petang tadi turut menjelaskan kapal terbang MAS berkenaan terkena objek berkelajuan tinggi yang menyebabkan struktur pesawat berkecai di ruang udara. 

"Berdasarkan laporan awal itu juga didapati tiada isu membabitkan masalah teknikal mahu pun bukti kecuaian manusia ke atas pesawat MH17 atau anak kapal berdasarkan rakaman itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kementerian Pengangkutan Malaysia, di sini, hari ini. 

Beliau berkata, laporan awal turut memaklumkan pesawat MH17 berada di ruang udara dan di bawah kawal selia DNP selain terbang di laluan dibenarkan. 

"Berdasarkan maklumat radar terdapat tiga pesawat komersial agensi lain yang berada di bawah kawalan DNP dan menurut laporan awal ini pesawat paling hampir dengan pesawat MH17 adalah dalam jarak 30 kilometer," katanya. 

Katanya, laporan lengkap berhubung tragedi MH17 akan dikeluarkan dalam tempoh setahun. 

"Kerajaan Malaysia berterima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam misi menyiasat berhubung tragedi MH17 terutama pakar industri dan nahas penerbangan dari United Kingdom, Australia, Amerika Syarikat dan Ukraine," katanya. 

Bagaimanapun, katanya, kerajaan Malaysia meminta masyarakat antarabangsa dan mana-mana pihak yang terbabit dalam konflik di Ukraine untuk mencari dalang tragedi MH17. 

No comments: