Monday, February 16, 2009

Sejarah



Berikut adalah petikan menarik dari Berita Harian 16 Februari 2009. Ini lah fungsi sebenar akhbar, antaranya mengingatkan kita tentang sejarah yang terbiar.

Lombong bijih timah Sungai Lembing terus dilupakan selepas berjasa kepada ekonomi EnglandUMPAMA memasuki bilik kecil yang dipasang penghawa dingin 24 jam tanpa henti, begitulah sejuknya udara di dalam terowong bijih timah ketika memasuki bekas lombong di Sungai Lembing, Pahang, kira-kira 40 kilometer dari Kuantan. Tanggapan awal mungkin suhu di dalam lombong itu panas disebabkan kedudukannya jauh ke dalam bukit dan ke dalam tanah jauh meleset kerana kawasan perlombongan yang wujud sejak lebih 100 tahun dulu sebenarnya sudah dilengkapi sistem penghawa dingin menggunakan alam semula jadi.

Memang menarik menyaksikan sendiri kehebatan teknologi pada masa itu yang membuatkan bandar Sungai Lembing cukup masyhur di merata dunia, bahkan digelar 'El-Dorado Timur' di Tanah Melayu hinggakan wujudnya sebuah perkampungan Inggeris yang istimewa di Lembah Sungai Kenau. Di situlah British membawa pulang kekayaan dan keuntungan untuk menyelamatkan England yang ketika itu dilanda kemerosotan ekonomi dan tidak hairanlah Sungai Lembing juga dianggap 'Penyelamat Mahkota Ratu England'. Berbicara soal kemasyhuran Sungai Lembing sudah kerap diutarakan, namun generasi masa kini seharusnya belajar mengenai teknologi yang diguna pakai ketika ini membuatkan pelombong yang mencari gali hingga kedalaman 12,000 kaki boleh bekerja dengan tenang dan selesa.

Beberapa lubang angin yang disalut konkrit di dalam terowong itu masih kukuh dan sama sejak dikorek lebih 100 tahun dulu. Saiznya yang boleh memuatkan badan orang dewasa menghala ke puncak bukit sudah membayangkan bagaimana sistem itu berfungsi. Lubang angin itu disambungkan ke terowong utama di permukaan sebelum disambungkan ke terowong menegak ke bawah tanah. Ia bertujuan memastikan udara panas di dalam terowong sentiasa bertukar ganti dengan udara baru yang masuk secara automatik melalui lubang di puncak bukit. Jika sistem pengudaraan di dalamnya teruk, sudah pasti beribu pelombong yang bekerja di situ akan sesak nafas. Situasi sekarang jauh berbeza kerana ada pelombong dibekalkan tabung oksigen bagi kes kecemasan tetapi kemudahan itu masih belum wujud pada ketika itu. Kayu yang digunakan sebagai penahan hakisan di terowong daripada jenis kayu cengal juga masih kukuh dan menurut beberapa bekas pelombong, kayu itu masih boleh bertahan hingga 50 tahun lagi.

Satu fakta penting ialah Sungai Lembing adalah bekas lombong tertua, terpanjang dan paling dalam di dunia pada waktu itu, iaitu sedalam 971 meter (2,400 kaki). Sehingga tahun 1915, keseluruhan kawasan pembangunan meliputi kawasan seluas 40 batu dan lombong paling dalam iaitu 'Nicholsons Shaft' telah sampai ke aras 12,000 kaki dari permukaan. Mungkin ramai yang beranggapan hanya terdapat satu lombong bijih timah di Sungai Lembing yang dikendalikan oleh Pahang Consolidated Company Limited (PCCL), hakikatnya dalam lingkungan lapan batu persegi Sungai Lembing terdapat sembilan lombong berasingan. Jika diambil kira jarak perjalanan jalan darat dari Kuala Lumpur ke Kuantan, Pahang, dianggarkan lebih 300 kilometer (km). Ini bermakna, sejak lebih 100 tahun dulu, sudah ada laluan terowong bawah tanah yang sama panjangnya dengan laluan itu yang berpangkalan di Sungai Lembing.

No comments: