Sunday, March 22, 2009

Budak Kelantan


Malam ni rasa tak sihat, pertukaran musim dari hujan ke panas agak menyiksa tubuh (transition season). Demam dan selesema susah nak dielakkan. Bila selesema teruk, batuk pun makin teruk. Dulu pernah batuk sampai 7 bulan. Siap pegi jumpa pakar dada, check darah, x-ray dada, tapi tak jumpa pun masalah. Bukan batuk kering kata pakar hospital Sultanah Nur Zahirah. Last-last rupanya resdung. Kalau orang lain mungkin bersin.AKu tak, bila resdung teruk, tekak akan jadi gatal selepas makan atau selepas mandi.

Sambil berehat tu, terpandang CD Budak Kelantan (arahan Wan Azli Wan Jusoh), jam baru 9 malam. Apa lagi, layan lah. Lagipun kawan aku, pali badaudin asyik suruh aku layan cerita tu, amaaarika katanya.

Durasinya tak lama, sekitar 90 minit. Tapi kesannya cukup mendalam. Kadang-kadang bila direnung balik sedikit sebanyak ada persamaan apa yang berlaku di sekeliling aku ketika umur sedang meningkat dewasa. Waktu umur yang sangat dipengaruhi oleh keadaan sekeliling.

Kisahnya berkenaan Jaha dan Buchek. Satu watak yang kecundang di tengah-tengah kekalutan kotaraya. Satu lagi watak yang sama-sama beriring dengan kemajuan tetapi aspek keagamaan tidak ditinggalkan. Realitinya begitu.

Realiti pertama. Budak kelantan memang dianggap kasar, suka bergaduh, bercakap kuat di khalayak ramai, kaki perempuan, kaki ubat batuk dan sebagainya. Orang Kelantan harus menerima persepsi ini, dengan cara yang positif. Memang ramai yang terlibat, tetapi bukan semua.

Masa belajar dulu pun, aku sendiri pernah selalu tengok di asrama. Selalu berlaku pergaduhan, biasanya disebabkan oleh benda-benda yang kecil Kalau sebab yang besar, parahlah siapa yang dipihak kalah. Masa kerja sambilan di Kuala Lumpur, aku pernah tengok bagaimana seseorang itu baru ambil ubat batuk. Kali pertama dalam hidup.

Melihatkan cerita ini, sebenarnya terbit juga rasa tidak puas hati.Nampak buruk sangat pandangan kepada orang yang berasal dari Kelantan. Tetapi dari sudut positif, ia harus diterima kerana segelintirnya ada yang begitu, maka timbullah persepsi begini. Bak kata bidalan, kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Nak tanak, harus diterima.

Realiti kedua. Walaupun persepsi begini teruk, namun harus diakui ada jugak yang tidak hanyut dalam kemajuan kota. Dan golongan ini bukannya minoriti. Mungkin lebih ramai. Satu yang paling diterima oleh filem ini, sikap melindungi atau tidak meninggalkan kawan dibelakang. Susah sama susah, senang sama senang. Jika dilihat dari sudut positif, susah mahu jumpa orang Kelantan tikam belakang kawan sendiri. Walaupun mungkin dari sudut negatif, ianya tetap salah, namun sikap begini sangat terpuji dalam hal yang positif.

Jika kawan ditimpa musibah, berbondonglah kawan-kawan datang melawat, membantu. Pantang melihat kawan dipukul tanpa diberi pertolongan. Satu lagi berkenaan kekasih. Ada satu sikap yang pantang melihat bekas kekasih dianiaya orang lain. Aku pernah melihat contoh begini suatu masa dulu. Walaupun bekas kekasih, pantang sangat mendengar bekasnya itu ditipu dianiaya oleh orang lain, ada sikap melindungi. Very protective. Terlebih sangat tidak elok juga kan.

Melihatkan cerita ini, pengarahnya sangat berani dalam menelanjangkan isu budak Kelantan yang hidup di KL. Namun kita perlu ambil positif, sangat positif. Realitinya begitu, dan boleh diambil pengajaran. Tiada guna menyorok sesuatu yang tidak elok. Tambahan pula ia sudah menjadi persepsi kepada orang luar. Cuma pengorbanan Buchek hendak memberi awek sendiri kepada jaha, nampak macam agak keterlaluan. Mungkin pengarah pernah jumpa, tetapi saya tidak pernah. Pantang mengganggu teman wanita rakan sendiri, itu yang biasa saya dengar.

Satu lagi persepsi berkenaan dengan orang Kelantan ialah melatanya orang negeri tersebut di bumi Malaysia. Di Sabah dan Sarawak pun bila cakap pasal negeri tersebut, ahhh takpa kerja sana, ramai cikgu-cikgu Kelantan ada di sana. Kalau Kuala Lumpur tu tak payah cakap lah, mana-mana pun ada. Sama jugak universiti-universiti. Banyak, maknanya tak perlu risau untuk berasimilasi di tempat orang. Ada jugak persepsi orang Kelantan kalau jumpa kawan baru pun asalkan berasal dari Kelantan, akan bercakap seolah-olah sudah lama kenal. Bagi aku ini sikap universal. Komunikasi bahasa yang sama akan memudahkan percakapan, dan cepat mesra. Kalau yang lidah keras macam aku, kadang-kadang nak bagitau orang sesuatu perkara tak mencapai maksud. Contoh jelas, cuba kalau kita hidup di UK, German atau Australia, kalau jumpa orang Malaysia tak kisahlah bangsa cina, india sudah pasti kita akan gembira kerana dapat bercakap dengan bahasa yang sama iaitu bahasa Melayu. Dan timbul perasaan persamaan dalam diri ketika masing-masing merantau di negara orang.

Akhir sekali, rasanya inilah kelebihan yang Tuhan berikan. Keadaan begini menyebabkan kita akan saling mengenali antara satu sama lain. Di peringkat tempatan, kita tahu orang Kelantan macam mana, orang Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan dan lain-lain lagi. Makanan pun tak sama, budaya pun tak sama, cara menguruskan kenduri pun tak sama. Ini pun satu, balik je kenduri maka kedengaranlah komen yang pelbagai. Padahal kita tak boleh anggap semua orang di dunia ni akan ikut budaya kita seratus peratus. Dalam negara pun berbeza. Inikan pula jika perbezaan antara negara. Jika tiada hidangan khas untuk keluarga pengantin yang datang dari jauh, biarkanlah, takkan dah tak pandai amil lauk sendiri. Masa ni lah kita nak tahu macam mana budaya orang di kawasan itu. Tentu kita tak pernah fikir, agaknya kita pun diumpat sama oleh orang dari negeri lain sebab budaya tidak sama dengan diorang, kan!

Penghasilan filem ini bagus. Mungkin ini susulan kepada cerita mami di pulau pinang. Jika tiada filem begini, macam mana kita nak kenal budaya atau cerita orang yang berbeza dengan kita. Aku menunggu filem yang berkisar rakyat Terengganu, nak banding dengan budaya pali badaudin, hehehehehe. Bila nak beli kasut badminton aku?????

No comments: