Sunday, March 10, 2013

Salasilah Kampung Lundang serta Pentadbiran Tradisionalnya sebelum 1909


PEMBUKA BICARA

Kampung Lundang adalah salah satu dari perkampungan melayu yang tua di dalam zon bandar Kota Bharu, Ibu Negeri Kelantan sekarang. Jika dihitung usianya mulai dari tahun pembukaanya pada tahun 1762 sehingga tahun 2012, usianya sudah pun mencecah 250 tahun. sama juga dengan Perkampungan Melayu yang lain, Kampung Lundang juga mempunyai sejarahnya yang tersendiri.
Sepanjang kajian yang dilakukan penulis selama hampir lapan tahun lamanya (2004-2012) ini mendapati bahawa nama Kampung Lundang ini mendapat namanya daripada beberapa pendapat  atau sumber lisan.
Pendapat pertama mengatakan bahawa nama Kampung Lundang ini mendapat namanya dari sebab terdapat sepohon pokok yang bernama pokok Lundang.
Pendapat kedua pula mengatakan ia mendapat namanya sempena kawasan tanah atau bentuk muka buminya yang berbentuk tebing tinggi dan rendah (Tanah tinggi yang menurun kebawah) dan hasil daripada bentuk ini lalu dipanggilah ianya Lundai atau Landai. daripada perkataan Lundai atau Landai inilah lama kemudian di”Bahasakan” oleh penduduk Tempatan menjadi satu dialek Kelantan menjadi ”Lunde”(Lundang).
Pendapat ketiga pula mengatakan perkataan Lundang ini adalah salah satu Dialek bahasa yang banyak digunakan pada zaman dahulu kala. Maksud kepada perkataan ini iaitu kawasan sepanjang-panjang tebing Sungai yang rata atau mendatar tetapi berlopak, luas dan lembah diperkirakan boleh berbuat kawasan Pertanian khususnya Padi dan kawasan yang tinggi sedikit darinya pula boleh berbuat Kampung.
Antara ketiga-tiga pendapat ini nampaknya Penulis lebih cenderung kepada pendapat yang ketiga itu. Ini kerana pendapat yang ketiga ini hampir sama dengan satu fakta yang penulis rasa sekurang-kurangnya tidak mudah disanggah, iaitu suatu fakta atau sumber yang terdapat didalam siri koleksi Warisan Melayu, Buku Katan Kamus Melayu oleh Hj.Muhammad Said Hj. Sulaiman terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka 1997 muka surat 853 (edisi jawi) ada menyebut perkataan Lundang iaitu bermaksud kawasan tanah leku’ tempat (kawasan) air bertakung kemudian jadi lubuk yang cetek.
Bukti atau kesan kapada kedua-dua kenyataan diatas iaitu pendapat ketiga dan sumber daripada Buku Katan Kamus Melayu ini boleh dilihat hingga kini dibeberapa kawasan khususnya dibahagian pinggiran sungai antaranya dibawah lembah Kampung Lundang dan Kampung Bawah Lembah Bunut Payong serta kawasan sekitar Taman Restu dan Kampung Belukar.
Nah! nampaknya dalam hal ini boleh lah dikatakan disini bahawa pendapat pertama dan kedua ini lebih kepada ”kenyataannya” yang tersasar dan melulu.
Menurut riwayat dan sumber-sumber yang penulis perolehi, pada zaman awal perkembangan Kampung ini wujud, penempatan Kampung Lundang ini aslinya terletak dibawah lembah Kampung Lundang sekarang dan ia menghadap kearah sungai Lundang yang merupakan jalan perhubungan utama pada waktu itu yang menghubungkan Sungai Kelantan melalui Sungai Pengkalan Galuh @ Pengkalan Leser Kampung Sireh disebelah barat dengan Laut melalui Kuala Pantai Senok disebelah timur. selain daripada kawasan Kampung Lundang sekarang, dimana kawasan asal Kampung Lundang ini meliputi Kampung Bawah Lembah Bunut Payong, Kampung Belukar dan Taman Restu yang mana pada waktu itu ketiga-tiga nama tempat ini belum wujud.
Bukti dengan kependudukan masyarakat Kampung Lundang dahulu ini boleh dibuktikan dengan adanya beberapa kubur lama setakat yang dapat dikesan yang mana  sesetengahnya masih digunakan lagi yang kebanyakanya terdapat dibawah lembah iaitu kesemuanya empat tempat, iaitu dua tempat terletak dibawah lembah Kampung Lundang dan satu lagi terletak diatas tebing iaitu berhampiran dengan tebing Bawah lembah  dibahagian sebelah paling timur Kampung Lundang iaitu terletaknya Makam Raja-Raja Lundang dan manakala satu tempat lagi juga dibawah lembah iaitu diTaman Restu.
Ini kerana khususnya di Kelantan pada waktu sebelum abad ke-20 masehi, kependudukan penempatan masyarakat kelantan dahulu kala yang utama sebahagian besarnya adalah tertumpu berhampiran dengan sungai. kerana masyarakat dahulu sangat bergantung harap kepada sungai selain daripada jalan perhubungan utama ia juga merupakan sumber kepada kegiatan pertanian dan memanafaatkan hasil tangkapan dari sungai.
SEJARAH
Sejarah telah merakamkan bahawa Kampung Lundang telah dibuka atau diasaskan pada tahun 1762 oleh seorang ternama yang  masyhur dalam sejarah Kelantan iaitu Mandor Mis atau nama sebenarnya Tuan Khomis kekanda kepada Che’ Tuan Mah (Isteri Penghulu Adas), Tuan Wan Mamat dan Tuan Membunga iaitu putera-puteri kepada Tuan Kundur Kelantan. Mandor Mis yang bergelar Dato’ Maharaja Wangsa adalah jadi Penghulu Menteri serta menjadi Raja didalam Kampung Lundang yang telah dikurniakan oleh DYMM Sultan Long Yunus selepas disytihar Baginda menjadi pemerintah negeri Kelantan. pada waktu Mandur Mis menjadi Raja Kampung Lundang telah melantik orangnya yang bernama Awang Besar menjadi Penghulu yang pertama di Kampung Lundang. Pada tahun 1790 selepas daripada mangkatnya Al-marhum Mandor Mis, kampung Lundang tidak lagi mempunyai Rajanya sehinggalah tahun 1800 apabila putera Al-marhum Mandor Mis yang sangat masyhur juga dalam sejarah Kelantan itu iaitu Wan Mahmud telah dijadikan oleh DYMM Sultan Muhammad-I ianya Pembesar bergelar Dato’ Panglima Perang Lundang merangkap sebagai Raja Daerah Lundang yang berpusat pemerintahanya dikampung Lundang. Berikut adalah susunan pembesar peringkat pusat di Kelantan dapat dilihat apabila Sultan Muhammad I melantik 7 orang pembesar terpenting iaitu:
  1. Long Jenal digelar Raja Bendahara
  2. Long Ismail digelar Raja Muda
  3. Long Yusof digelar Raja Bukit Panchor
  4. Long Muda digelar Engku Kota
  5. Long Tan digelar Raja Temengong Aria Pahlawan
  6. Wan Mahmud digelar Dato Panglima Perang Lundang
  7. Wan Abdullah digelar Dato Kaya Hulubalang Kadok
Selepas Dato’ Panglima Perang mangkat pada tahun 1830 tempatnya telah digantikan oleh puteranya iaitu  Wan Muhammad (Wan Sulong) dengan gelaran  Dato’ Panglima Perang Lundang yang ke-II dan dipangil masyhur Dato’ Mekong sehingga mangkat pada tahun 1846. Selepas daripada Dato’ Mekong mangkat, maka DYMM Sultan Muhammad-II telah melantik puteranya iaitu Wan Nik (Wan Senik Besar ) pula memerintah Daerah Lundang dengan bergelar Dato’ Panglima Perang Lundang yang ke-III merangkap Ahli Jemaah Menteri Peperangan iaitu suatu jawatan baru yang diperkenalkan oleh DYMM Al-Sultan dan kemudian dipangil dengan nama Dato’ Besar sehingga mangkat pada tahun 1867 dan digantikan oleh sepupu yang juga menantu Dato’ Besar iaitu Wan Musa Bin Wan Sulaiman bergelar Dato’ Panglima Perang Lundang yang ke-IV yang sangat masyhur dikalangan rakyat dengan dipangil dengan nama Dato’ Lundang.
Untuk pengetahuan pembaca sekelian, bahawa Mufti Hj.Wan Ishak Bin Imam Hj.Abdullah atau biasa juga dipangil Mufti Tok Pelanduk iaitu Mufti dizaman awal Pemerintahan DYMM Sultan Muhammad-IV yang mengantikan Mufti Hj.Nik Wan Daud pada tahun 1907 hingga 1909 adalah dari keturunan Al-marhum Dato’ Besar sebelah ibunya yang bernama Wan Minah Binti Wan Ishak (Orang Kaya Lundang) Bin Wan Nik @ Wan Senik Besar (Dato’ Besar).
makam Raja-Raja Lundang dilorong Imam Lundang atau dipangil juga Lorong Wisma Manis Fm Lundang berhampiran dengan tebing bawah lembah Kampung Lundang sekarang. pada masa dahulunya kawasan ini dipangil langgar surau Tok Jingga, berhadapan dengan gambar ini mulai disebelah kiri adalah makam Al-marhum Mandor Mis (Dato’ Maharaja Wangsa) dan disebelah kanan adalah makam Al-marhum Dato’ Mekong.dan dibelakang kudua-dua makam ini ialah bersetentang dengan makam Al-marhum Mandor Mis iaitu makam Al-Marhum Dato’ Panglima Perang dan disebelah kananya (tengah) adalah makam Al-marhum Dato’ Besar dan disebelah kanan makam Al-marhum Dato’ Besar adalah Makam Al-marhumah Long Che Ha atau digelar juga Engku Cik Nik iaitu anak Tok Limbat isteri kepada Dato’ Panglima Perang (tiada belindan) -merujuk daripada sumber ”Peringatan Lundang”oleh Imam Hj.Tuan Fakeh Abdullah Bin Ahad 1326h bersamaan tahun 1908m.
Sohibul Samahah Al-marhum Mufti Hj.Wan Ishak Bin Imam Hj Abdullah (masyhurnya digelar Tok Pelanduk wafat tahun 1915 dan dimakamkan diperkuburan Kampung Banggol, Kota Bharu)
PERUBAHAN PENEMPATAN DAN KEWUJUDAN NAMA-NAMA KAMPUNG BARU    
Pada waktu zaman pemerintahan Dato’ Lundang memerintah Daerah Lundang, khususnya pada Kampung Lundang telah mengalami kemajuan dan pola perubahan penempatan yang ketara dimana salah satunya ialah pembukaan kawasan baharu penanaman padi iaitu kawasan yang sekarang ini bermula dari My Bank Lundang hingga keKampung Bayam, mengantikan tempat lama iaitu kawasan tebing sungai Lundang yang telah tercemar, tidak selamat serta berpenyakit akibat daripada ternakan mati dan reput natijah daripada Peristiwa Angin Besar diKelantan tahun 1880 dan diikuti bencana Alam pada tahun 1881-1884.
 Hal ini telah menyebabkan terjadinya Wabak penyakit berjangkit seperti Taun, malaria dan lain-lain lagi, akibat dari peristiwa ini kebanyakan penduduk Kampung Lundang iaitu penduduk dikawasan bawah lembah Kampung Lundang sekarang dan dikawasan sekitarnya telah membina penempatan baru (berpindah daripada kawasan bawah lembah kapada kawasan tanah tinggi atau darat) yang sekarang inilah terletaknya Kampung Lundang.
Pada waktu terkemudian daripada itu baharulah penduduk Lundang yang mana sebahagianya lagi yang masih menetap dibawah lembah khususnya dibahagian barat kampung Lundang (bawah Lembah) telah mewujudkan satu pentadbiran (Penghulu) serta nama-nama kampung yang baharu seperti Kampung belukar dan juga Kampung Bawah Lembah  yang telah menjadi sebahagian daripada dibawah pentadbiran Penghulu Kampung Bunut Payong yang kemudianya terkenal dengan nama Kampung Bawah Lembah Bunut Payong.
Dengan kata lain kewujudan kepada kedua-dua Kampung ini adalah berkait rapat ekoran disebabkan terpisahnya daripada pengaruh Pentadbiran Penghulu Kampung Lundang itu sendiri. walaubagaimana pun kedua-dua Kampung ini termasuk Kampung Bunut Payong masih lagi terletak didalam Daerah Lundang yang dibawah pemerintahan Dato’ Lundang.
PENUTUP
Pada tahun 1909 akibat daripada Perjanjian British-Siam maka peranan corak pemerintahan tradisional Daerah Lundang telah ditukar dan berubah kepada corak pentadbiran moden yang dibawa oleh Penasihat British diKelantan. Akibat daripada peristiwa ini, Dato’ Lundang telah diberi pencen seumur hidup, walaubagaimana pun pengaruh Pembesar Lundang ini masih kuat dan sangat diperlukan oleh kerajaan dalam mengendalikan beberapa perkara penting sehinggalah mangkat dalam tahun 1926 dan dimakamkan di tanah perkuburan besar kampung Lundang bersebelahan dengan Sekolah Kebangsaan Lundang.
 Dengan ini selepas dari tahun 1909 atau sejak tahun 1904 lagi Daerah Lundang telah ditadbir secara moden yang diketuai oleh seorang Ketua Daerah bergelar Tok Kweng atau sekarang dipanggil Penggawa sehinggalah pada tahun dekad 1970 apabila Daerah Lundang telah dipecah dan digantikan menjadi Daerah Kubang Kerian.
Kemudian, pada tahun-tahun 90an Kerajaan Kelantan melalui Majlis Perbandaran Kota Bharu serta berkat usha gigih beberapa orang Aktivis Kampung Lundang telah menamakan sebatang Jalan Raya mulai dari simpang tiga hadapan Kompleks Balai Islam Lundang hingga ke simpang empat Kampung Cerang (dahulunya dipanggil Jalan Yacobiah) dengan nama Jalan Dato’ Lundang. penamaan ini adalah bagi maksud mengabdikan nama Tokoh ini serta menghargai jasa-jasa besarnya didalam membangunkan negeri kepada kalangan masyarakat Kelantan umumnya serta rakyat Malaysia amnya.
Makam Al-marhum Dato’Lundang yang terletak disebelah Sekolah Kebangsaan Lundang (mangkat pada 1926)
Sumber Asal artikel ini adalah dari : http://long-mohd.blogspot.com/

No comments: