Mantan anggota Parti Kebebasan, berhaluan kanan dan berfahaman anti-Islam di Belanda, Arnoud van Doorn, telah mengejutkan banyak pihak dengan pengumumannya memeluk Islam baru-baru ini.
Van Doorn yang juga merupakan rakan karib kepada pemimpin parti itu, Geert Wilders, sebelum ini pernah mengakui dia telah keluar daripada parti tersebut pada penghujung 2011.
Menurutnya, dia mahu melakukan perubahan dengan mewarwarkan keputusannya kepada dunia melalui pengucapan kalimah Syahadah yang dimuatnaik di laman Twitter miliknya.
"Tiada tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad pesuruh Allah," katanya dalam laman sosial tersebut.
Van Doorn juga mengumumkan dalam bahasa Belanda bahawa dia ketika ini 'memulakan kehidupan baharu sebagai seorang Islam.'
Dalam wawancaranya bersama Al-Jazeera.net, van Doorn mengesahkan berita mengenai tindakannya itu.
"Sesiapa yang kenal saya secara dekat boleh membuat terkaan terhadap keputusan saya. Lebih setahun saya menperdalami Islam melalui buku dan ceramah.
"Ramai yang terkejut dengan keputusan ini, terutama mereka yang tahu mengenai pendirian anti-Islam saya," katanya.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas dia menperdalami Islam tanpa paksaan.
"Kita semua pernah melakukan kesilapan. Namun, saya melihat setiap pengalaman hidup ada sebabnya yang tersendiri dan pengalaman saya sangat berkait rapat dengan keputusan saya lakukan," katanya. - AGENSI
No comments:
Post a Comment