Rome: Sekurang-kurangnya sembilan orang dikhuatiri terbunuh selepas sebuah kapal kargo Jolly Nero melanggar menara kawalan hingga tumbang ke pelabuhan Genoa, Itali, kata pegawai penyelamat semalam.
Kira-kira 15 orang berada di dalam menara terbabit ketika ia dilanggar, menyebabkan mangsa tercampak ke dalam air dan terperangkap di dalam sebuah lif di menara kawalan itu.
Seorang mangsa dikenal pasti sebagai Daniele Frantantonio, 30, yang bekerja di pusat operasi pengawal pantai, manakala mangsa yang lain masih belum dikenal pasti.
Pelabuhan paling sibuk
Pasukan penyelamat menyelam ke kawasan perairan di sekitar pelabuhan paling sibuk di Itali itu dan masih mencari enam hingga tujuh orang yang dipercayai hilang selepas kemalangan, di mana sekurang-kurangnya empat mangsa dilaporkan cedera parah.
Anjing pengesan yang dilatih untuk mencari mangsa di zon gempa bumi juga digunakan bagi mengesan mereka yang terperangkap dalam runtuhan terbabit.
Bilangan sebenar mangsa yang hilang tidak dapat dikenal pasti disebabkan kemalangan pada jam 11 malam itu berlaku ketika pertukaran syif di menara yang condong sehingga 45 darjah sebelum ia runtuh sebahagiannya.
Jurucakap bomba di tempat kejadian, Luca Cari, memberitahu Associated Press (AP) bahawa mayat keempat ditemui di kawasan lif dan usaha menyelamat masih diteruskan.
Sehingga pagi semalam, apa yang tinggal hanyalah tangga luar menara kawalan terbabit yang condong ke tepi. Menara itu sendiri terkeluar dari pelabuhan, sama ada di dalam air atau dalam timbunan runtuhan.
Seorang doktor, Andrea Furgani, yang juga anggota pasukan penyelamat berkata krew pada awalnya membawa empat mangsa cedera ke hospital di Genoa.
“Keadaan mereka kritikal. Mereka mengalami kecederaan akibat daripada ditindan, patah tulang dan cedera pada bahagian dada,” katanya kepada AP.
Kapal Jolly Nero adalah milik syarikat perkapalan Itali, Ignazio Messina & C. SpA.
Berdasarkan laman webnya, Messina Line yang berpejabat di Genoa, memiliki 14 kapal kargo dengan kapal Jolly Nero berukuran 239 meter panjang dan 30 meter lebar.
Agensi berita ANSA memetik pegawai syarikat itu, Stefano Messina, berkata bahawa kejadian seperti ini tidak pernah berlaku kepada syarikat itu yang diasaskan pada 1921. - AP/AGENSI
No comments:
Post a Comment