Manchester: Alex Ferguson sah bersara di penghujung musim ini selepas mengharungi 27 tahun karier cemerlang bersama Manchester United yang meletakkannya sebagai pengendali paling berjaya dalam bola sepak British.
“Keputusan untuk bersara antara yang paling sukar untuk dilakukan dan saya tidak mengambil mudah mengenainya,” kata pengendali 71 tahun dari Scotland itu semalam. “Ini adalah masa yang sesuai.”
Sejak menjawat jawatan di Old Trafford pada 1986, Ferguson memenangi 38 trofi, termasuk 13 kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL), dua Liga Juara-Juara dan lima Piala FA. Dia pernah menyuarakan hasrat bersara pada 2002 tetapi membatalkannya.
Masa depan terjamin
Selepas United meraih gelaran Liga Perdana terbaru dua minggu lalu – melebarkan rekod kelab kepada 20 kejuaraan – Ferguson mengumumkan dia belum terfikir untuk bersara.
Tetapi kini dia hanya mempunyai dua perlawanan terakhir liga bersama kelab yang diterajuinya menjadi sebuah kelab paling hebat di dunia. “Penting bagi saya untuk meninggalkan organisasi ini pada tahap terbaik dan saya rasa saya sudah melakukannya,” kata Ferguson.
“Kualiti skuad juara liga ini, dan pemain muda yang ada, mampu meneruskan kejayaan ini pada tahap tertinggi manakala struktur pembangunan pemain remaja akan memastikan masa depan kelab terjamin.”
Ferguson sebelum ini mengatakan hanya masalah kesihatan akan memaksanya untuk melepaskan jawatan itu, dan hujung minggu lalu dia dikatakan perlu menjalani pembedahan di pinggulnya. Namun dalam kenyataan persaraannya, isu kesihatan tidak dinyatakan.
Jadi duta kelab
Dia bagaimanapun akan terus bersama kelab sebagai pengarah dan duta. “Saya perlu menyatakan penghargaan saya kepada keluarga saya, kasih sayang dan sokongan mereka cukup penting selama ini,” katanya.
Ferguson mencetus kebangkitan United daripada sebuah kelab yang bergelut ketika dia tiba lebih suku dekad lalu, selepas menjulang kejuaraan Eropah di Aberdeen, Scotland.
Dia menjulang kejuaraan pertama di Old Trafford pada 1990 – Piala FA – dan pada 1993 kelab berkenaan memenangi gelaran liga utama selepas 1967. Sejak itu United muncul sebagai kuasa bola sepak Eropah dan antara kelab terkaya dunia.
Selain Liga Juara-Juara 1999 dan 2008, United turut mengumpul empat trofi Juara Liga dan Piala Dunia Kelab FIFA 2008. “Pada tahun-tahun awal saya, sokongan lembaga pengarah terutamanya Bobby Charlton memberikan saya keyakinan untuk membentuk kelab ini lebih daripada sekadar pasukan bola,” kata Ferguson. - AP
No comments:
Post a Comment