Showing posts with label selingkar sejarah malaysia. Show all posts
Showing posts with label selingkar sejarah malaysia. Show all posts

Sunday, August 26, 2012

Krisis Perlembagaan Malaysia 1988


Bangunan Sultan Abdul Samad menempatkanMahkamah Agung semasa krisis perlembagaan Malaysia 1988.
Krisis Perlembagaan Malaysia 1988 merupakan satu siri peristiwa yang dicetuskan oleh pemilihan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada tahun 1987 yang berakhir dengan penggantungan perkhidmatan dan kemudiannya penyingkiran Ketua Hakim Negara Tun Mohamad Salleh Abas dari jawatannya yang dijamin tidak boleh dipecat oleh Perlembagaan Malaysia. Pemecatannya oleh Perdana Menteri Malaysia, Dr. Mahathir bin Mohamad telah diperlihatkan sebagai satu penyekatan terhadap kebebasan kehakiman yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia.

Campur tangan kehakiman dalam pertikaian politik

Pada tahun 1987, UMNO mengadakan pemilihan jawatan-jawatan partinya. Buat pertama kali sejak dua belas tahun yang lalu, jawatan Presidennya dicabar. Tengku Razaleigh Hamzah yang merupakan calon "Pasukan B" untuk kepresidenan mencabar Dr Mahathir daripada kem yang digelarkan "Pasukan A".[1]
Terwujud satu kempen yang amat gigih untuk mendapat sokongan daripada lebih kurang 1,500 wakil cawangan di seluruh negara yang akan memilih pegawai-pegawai parti. Penyokong-penyokong Razaleigh mengharapkan beliau akan menang, dan dalam Perhimpunan Agung UMNO tidak lama selepas pengiraan undi, terdapat khabar-khabar angin bahawa Razaleigh telah menang. Bagaimanapun, keputusan rasmi mengisytiharkan Mahathir sebagai pemenang, dengan 761 undi berbanding 718 undi untuk Razaleigh. Ghafar Baba, calon Pasukan A untuk Timbalan Presiden, menewaskan Musa Hitam daripada Pasukan B, dan Pasukan A juga memenangi 16 daripada 25 dalam Majlis Agung UMNO.[2]
Penyokong-penyokong Razaleigh berasa susah hati tentang pemilihan ini yang mereka berkeras mengatakan telah dimanipulasi. Mahathir membuat kemarahan mereka bertambah buruk apabila beliau menyingkirkan semua ahli Pasukan B daripada Kabinetnya.[3] Oleh itu, 12 orang ahli UMNO mengemukakan tuntutan mahkamah di Mahkamah Tinggi untuk memperoleh perintah mahkamah yang mengisytiharkan bahawa keputusan pemilihan tidak sah supaya dapat mengadakan pemilihan yang baru. Plaintif-plaintif itu mendakwa bahawa 78 orang wakil telah dipilih daripada cawangan-cawangan yang tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan dan oleh itu, tidak layak mengundi. Mereka juga mendakwa bahawa beberapa dokumen mengenai pemilihan itu telah "diubah". Walaupun Razaleigh bukannya antara kedua belas plaintif itu, beliau dipercayai secara meluas sebagai pembiaya dan penyelaras tuntutan mahkamah ini.[4]
Kemudian, salah satu daripada dua belas plaintif itu menarik diri (mereka kemudiannya dikenali UMNO 11), tetapi sebelas plaintif yang tinggal meneruskan tuntutan mahkamah mereka. Mahkamah Tinggi akhirnya memberikan kedua-dua pihak dua minggu untuk mencapai penyelesaian di luar mahkamah. Sebuah "Panel Perpaduan" UMNO dibentuk untuk menangani perundingan-perundingan supaya dapat bertolak ansur. Bagaimanapun, perbezaan-perbezaan antara mereka jelas sukar diselesaikan — Pasukan B mendesak untuk mengadakan pemilihan baru, manakala Pasukan A mendesak bahawa tuntutan mahkamah ditarik balik dan satu penyelesaian menutup malu dicapai untuk membenarkan sebilangan ahli daripada Pasukan B untuk mengekalkan keahlian mereka dalam parti. Akhirnya, sebelas plaintif itu mengisytiharkan bahawa mereka akan mendapat penghakiman muktamad daripada mahkamah.[5]
Ini tidak menyenangkan hati Dr. Mahathir yang pernah beberapa kali bertelingkah dengan badan kehakiman. Dalam satu peristiwa, satu perintah kerajaan yang membatalkan permit kerja untuk dua orang wartawan asing yang kritis terhadap kerajaan Mahathir telah ditolak oleh Mahkamah Agung. Mahathir memulakan bidasan-bidasan hangat terhadap badan kehakiman, dan memberitahu majalah Time, "Badan kehakiman berkata, ' Walaupun kamu meluluskan undang-undang dengan menimbangkan sesuatu, kami berfikir bahawa fikiran kamu adalah salah, dam kami hendak memberikan tafsiran sendiri.' Kalau kita tidak bersetuju, Mahkamah-mahkamah akan berkata, 'Kami akan mentafsirkan pertentangan pendapat kamu.' Kalau kami [kerajaan dan Parlimen] mengikut, kami akan hilang kuasa perundangan." [6] Mahathir juga mengecam "kambing hitam [hakim]... yang hendak... kebebasan yang keterlaluan," dan menuduh mereka kerana bermuka-muka.
Sebaik sahaja Dr. Mahathir membuat kenyataan yang terakhir ini, kerajaan menugasi semula beberapa hakim Mahkamah Tinggi ke bahagian yang lain, termasuk Hakim Harun Hashim yang sedang mendengar kes UMNO. Bagaimanapun, oleh sejak kes itu telah berlangsung, pemindahan Harun tidak akan dikuatkuasakan sehingga kes itu ditutup.[7] Oleh itu, Harun terpaksa membuat keputusan terakhir untuk kes "UMNO 11".
Walaupun kebanyakan bukti yang dikemukakan oleh "UMNO 11" tidak dipertikaikan, peguam pembela UMNO memperdebatkan bahawa semua remedi yang mungkin masih belum dihabiskan dalam UMNO. Bagaimanapun, plaintif-plaintif itu menegaskan bahawa fakta tentang sekurang-kurang 30 cawangan tak berdaftar yang menghantar wakil-wakil mereka ke pemilihan UMNO itu harus mencukupi untuk membatalkan keputusan-keputusan pemilihan. Akhirnya, Harun membuang kes itu, dan menyebut Perkara 41 dalam Akta Pertubuhan 1966 yang mengatakan bahawa mana-mana satu pertubuhan akan menjadi "tidak sah" secara automatik jika mana-mana satu cawangannya tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan. Oleh itu, Harun mengisytiharkan bahawa beliau tidak mempunyai pilihan lain kecuali untuk mengisytiharkan bahawa UMNO adalah sebuah "pertubuhan yang tidak sah" dan dengan itu, "apa yang terjadi pada tahun 1987" tidak sah di sisi undang-undang. Dalam keputusannya, Harun menyalahkan Parlimen untuk memaksakan tangannya: "Jika undang-undang lama masih wujud... [seseorang] boleh menggunakan prinsip common law tetapi pada kelihatannya, Parlimen, untuk memastikan pematuhan undang-undang yang sebenarnya, telah membuat peruntukan ini terlalu keras." [8]
Sebaik sahaja keputusan itu diumumkan, Dr. Mahathir meyakinkan ahli-ahli UMNO bahawa disebabkan keputusan ini didasarkan pada "keteknikan" yang kecil, parti UMNO boleh dipulihkan menjadi pertubuhan yang sah dengan mudah. Beliau juga memperingatkan orang ramai bahawa tarafnya sebagai Perdana Menteri tidak terancam kerana hanya undi tidak percaya yang sah boleh menyingkirkannya.[9]
Dua minggu selepas keputusan Harun, Dr. Mahathir mengumumkan pendaftaran UMNO Baru. Kepimpinan UMNO Baru hampir terdiri pada keseluruhannya daripada ahli-ahli Pasukan A yang kemudian memulakan pemindahan aset UMNO "lama" ke UMNO baru dalam bulan-bulan yang berikut.[10] UMNO 11 meneruskan kes mereka ke mahkamah yang tertinggi di dalam negara, iaitu Mahkamah Agung, untuk memulihkan status UMNO "lama" serta untuk mengadakan pemilihan baru. Bagaimanapun, rayuan mereka ditolak.[11]
Razaleigh kemudian memutuskan untuk membentuk parti baru yang menumpukan kepada "semangat 1946", iaitu tahun UMNO diasaskan.[12] UMNO Baru kemudian memutuskan bahawa perkataan "Baru" tidak diperlukan, dan menggugurkannya secara rasmi dan oleh itu, menuntut diri sebagai waris UMNO yang benar, bukannya parti Razaleigh. Akhirnya, Razaleigh menggunakan nama Semangat 46 untuk partinya yang baru.[13]
↑Undur Satu Bahagian

Pindaan-pindaan perlembagaan

Kes "UMNO 11" hanya merupakan salah satu daripada sebilangan kes yang menjengkelkan Dr. Mahathir dan kerajaannya. Kes terhadap dua orang wartawan yang tersebut di atas tertimbul ketika John Berthelsen dan Raphael Puramenulis sebuah siri makalah terhadap urusniaga-urusniaga kewangan yang dilaksanakan oleh pegawai-pegawai kerajaan yang diragui tidak etika dan sah. Jurnal Asian Wall Street yang menerbitkan makalah-makalah itu diharamkan dengan segera, dan Dr Mahathir selaku Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri membatalkan permit-permit kerja Berthelsen dan Pura. Bagaimanapun, Mahkamah Agung mengubah pembatalan permit kerja Berthelsen disebabkan dia tidak diberi peluang untuk menjawab tuduhan-tuduhan kerajaan. Disebabkan ini, pengharaman Jurnal Asian Wall Street juga ditarik balik.[14]
Dalam lagi satu kes, Mahkamah Agung menggunakan kuasa kajian semula kehakiman, dan membatalkan pindaan-pindaan kepada Kanun Prosedur Jenayah yang memberikan kuasa kepada Peguam Negara untuk memulakan prosiding jenayah di Mahkamah Tinggi tanpa melalui Mahkamah Majistret. Selepas Operasi Lalang pada tahun 1987 di mana kerajaan menahan beberapa penentang politik tanpa perbicaraan di bawah Akta Keselamatan Negeri (ISA), Mahkamah Tinggi meluluskan permohonan Karpal Singh untuk dibebaskan daripada tahanan disebabkan masalah teknik terhadap cara beliau ditahan.[15]
Dr Mahathir hilang sabar terhadap kes yang terakhir ini. Pada minggu yang berikut, beliau menyerahkan beberapa pindaan perlembagaan kepada Parlimen untuk melucutkan "kuasa kehakiman Persekutuan" dan hanya memberikan mereka kuasa kehakiman sebagaimana yang Parlimen inginkan. Sebagai justifikasi untuk pindaan-pindaan itu, Dr. Mahathir berkata: "...mahkamah-mahkamah telah memutuskan bahawa dalam penguatkuasaan undang-undang, mereka terikat kepada tafsiran-tafsiran sendiri dan bukannya terhadap alasan-alasan yang menyebabkan Parlimen merumuskan undang-undang ini... akhir-akhir ini, badan kehakiman telah berasa wajar untuk menyentuh perkara-perkara yang dahulu dianggap sebagai hanya dalam kuasa eksekutif." [16]
Ketua Hakim Negara untuk Mahkamah Agung, Salleh Abas, telah dipaksa oleh hakim-hakim sekerjanya untuk bertindak balas terhadap tindakan-tindakan kerajaan. Salleh memutuskan untuk mengadakan sebuah mesyuarat bagi kesemua 20 orang hakim daripada Mahkamah Agung dan Mahkamah Tinggi di ibu negara Kuala Lumpur. Dalam mesyuarat ini, mereka bersetuju untuk tidak mengumumkan jawapan mereka terhadap kritikan-kritikan Dr. Mahathir. Sebagai ganti, mereka menulis sepucuk surat sulit kepada Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu bagi mengemukakan ketidakpuasan hati mereka. Surat yang ditulis oleh Salleh Abas, dan yang dipersetujui oleh semua hakim yang hadir dengan sebulat suara, menyatakan kekecewaan hakim-hakim terhadap "berbagai-bagai komen dan tuduhan yang telah dibuat oleh Yang Berhormat Perdana Menteri terhadap Badan Kehakiman," tetapi tidak mendesak sebarang tindakan yang khusus untuk diambil — sebaliknya, surat itu hanya berakhir dengan ungkapan "harapan bahawa kesemua tuduhan yang tidak berasas itu akan dihentikan".[17]
↑Undur Satu Bahagian

Penggantungan jawatan dan pemecatan Salleh Abas

Pada tahun 1988, Salleh Abas dihadapkan ke timbang tara yang diadakan oleh Dr. Mahathir yang mengikut Perkara 125(3) Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri ketika itu, atas tuduhan salah lakunya. Timbang tara itu dipengerusikan oleh Tun Hamid Omar. Sebagai tindak balas terhadap timbang tara, Salleh Abas mengambil tindakan guaman dalam Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur untuk mencabar perlembagaanan timbang tara itu. Ketika meneruskan tindakan guamannya, beliau membuat permohonan untuk penggantungan sementara terhadap timbang tara sehingga 4 Julai 1988. Permohonannya ditolak.
Bagaimanapun, lima orang hakim Mahkamah Agung kemudian bersidang dan memberikan Salleh Abas perintah interlokutori terhadap timbang tara. Sebaik sahaja menerima perintah itu, peguam-peguam Salleh Abas pergi ke Parlimen untuk mengemukakan perintah interlokutori itu kepada pengerusi timbang tara. Bagaimanapun, pintu besar yang menuju ke bangunan Parliamen telah dikunci dan wakil Salleh Abas terpaksa memanggil polis untuk menjamin laluan masuk ke Parlimen. Akhirnyanya, perintah interlokutori itu dikemukakan kepada pengerusi timbang tara.
Tidak lama kemudian, kelima-lima hakim Mahkamah Agung itu digantung jawatan mereka. Daripada lima orang hakim itu, tiga orang hakim dipecat. Pemecatan ini menyebabkan Mahkamah Agung Malaysia digantung, dan oleh itu, tuntutan terhadap pengesahan timbang tara tidak dapat dibicarakan. Timbang tara kemudian memecat Salleh Abas daripada jawatannya.
Pemecatan luar aturan Salleh Abas menyebabkan Badan Peguam Malaysia enggan mengiktiraf Ketua Hakim Negara yang baru. Pada masa yang sama, Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk melucutkan "kuasa kehakiman Persekutuan" dan hanya memberikan kuasa kehakiman kepada badan kehakiman sebagaimana yang Parlimen inginkan.
↑Undur Satu Bahagian

Pusaka

Walaupun banyak orang daripada pihak pembangkang, termasuk juga pihak bekas kerajaan seperti Tunku Abdul Rahman, menganggap bahawa pemecatan Salleh Abas adalah sesuatu yang sangat dibenci, penyokong-penyokong Dr. Mahathir berkeras mengatakan bahawa perbuatan ini telah membebaskan badan kehakiman Malaysia daripada cara pemikiran penjajah. Pemecatan beberapa hakim itu diberikan justifikasi bahawa mereka telah menyalahgunakan wang awam untuk belanja peribadi — umpamanya, pembelian perabot mewah dari Itali. Tuntutan juga dibuat bahawa pemecatan-pemecatan itu telah menghapuskan kayu mati dan memperbaiki kecekapan mahkamah-mahkamah, seperti yang dapat diperlihatkan daripada pengurangan tunggakan kes.[18]
↑Undur Satu Bahagian

Kekesalan Kerajaan Malaysia

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim, pada tahun 2008 membayangkan kerajaan Malaysia akan meminta maaf kepada Tun Salleh Abas yang dipecat serta mengembalikan semula hak-hak beliau seperti pencen dan sebagainya. Dalam ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, pada malam 17 April 2008 anjuran Majlis Peguam Malaysia di hadapan lebih kurang 600 orang, mengumumkan pembayaran ex-gratia kepada Tun Salleh Abas dan lima orang lagi hakim yang terlibat secara langsung dalam kes 20 tahun lalu iaitu: Datuk George Seah, Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdul Kader, Tan Sri Azmi Kamaruddin dan Tan Sri Hamzah Mohamed Salleh.
Dalam ucapannya[19], Perdana Menteri menyentuh:
  • Mengenai hakim-hakim yang dipecat dan digantung pada 1988:
“
For me and for many other Malaysians, these towering judicial personalities represent a very different era for the nation's judiciary. Many felt that the judiciary then was a venerable institution which could be trusted to deliver justice. Some even hailed Malaysia's judiciary as a model for other countries – independent and credible.
”
"Bagi saya dan ramai lagi orang Malaysia, personaliti-personaliti tertinggi badan kehakiman ini mewakili era berbeza bagi badan kehakiman negara. Ramai yang merasakan badan kehakiman pada masa itu adalah institusi dihormati yang boleh dipercayai untuk menjalankan keadilan. Sesetengah mereka menyanjung tinggi badan kehakiman Malaysia sebagai model kepada negara lain - bebas dan boleh dipercayai."
  • Mengenai kehakiman:
“
No nation can call itself fair and just without an efficient and trusted judiciary. By "trusted", I mean a judiciary that delivers justice and is seen to deliver justice.
”
"Tiada satu negara boleh memanggil ia adil dan saksama tanpa mempunyai badan kehakiman yang cekap dan dipercayai. Mengenai "dipercayai", maksud saya adalah hakim menjalankan keadilan dan dilihat berlaku adil.
  • Mengenai pemisahan kuasa:
“
I can say with a clear conscience that I abided and will continue to abide by the principle of separation of powers, leaving the matter of justice to the judiciary. The judiciary must be fortified to be an institution that serves the democratic principle of separation of powers. The judiciary must be the guardian of the Constitution and the sentinel of the people's rights.
”
"Saya boleh mengatakan dengan ikhlas yang saya patuh dan akan sentiasa mematuhi prinsip pengasingan kuasa, membiarkan perkara berkaitan keadilan kepada badan kehakiman. Badan kehakiman mestilah diperkuatkan menjadi satu institusi yang berkhidmat untuk prinsip demokratik pemisahan kuasa. Badan kehakiman hendaklah menjadi penjaga kepada Perlembagaan dan pengawal kepada hak rakyat."
  • Mengenai suruhanjaya kehakiman:
“
I am pleased to announce to you tonight that the Government is proposing the setting up of a Judicial Appointments Commission to identify and recommend candidates for the judiciary to the prime minister.
”
"Saya dengan sukacitanya mengumumkan kepada anda sekalian pada malam ini bahawa kerajaan bercadang mewujudkan Suruhanjaya Perlantikan Hakim untuk mengenal pasti dan mencadangkan calon hakim kepada Perdana Menteri."
Ucapan Perdana Menteri mendapat pujian dari presiden Majlis Peguam yang mengatakan hakim-hakim yang dipecat sebagai hero yang menggadaikan hidup mereka dan merayu kepada Perdana Menteri untuk melihat kembali kes mereka yang ditahan di bawah ISA. Tiada kenyataan meminta maaf diucapkan tetapi hanya kekesalan.

Sunday, August 12, 2012

SEJARAH RINGKAS MALAYSIA MERDEKA - HAJI Mat Hassan atau nama yang dipanggil British sebagai TOK JANGGUT


SEJARAH RINGKAS MALAYSIA MERDEKA.

HAJI Mat Hassan bin Panglima Munas.

HAJI Mat Hassan atau nama yang dipanggil British sebagai TOK JANGGUT merupakan seorang tokoh yang tidak asing lagi di mata sejarawan-sejarawan tempatan. Seorang pejuang yang gugur syahid dalam perjuangan mempertahankan kedaulatan Islam.


Gelaran HAJI ketika itu dikenali sebagai satu fenomena! Fenomena Haji AMAT DITAKUTI oleh penjajah sehingga memaksa seorang orientalis yang tersohor, Dr. Christian Snouck Hugronje menjalankan satu penyelidikan khusus bagi mendalami amalan agama dan adat budaya masyarakat setempat(Acheh) ketika itu semasa Belanda menakluk Indonesia.

Nama Tok Janggut ini sengaja dipopularkan berbanding dengan nama asal beliau kerana ia adalah SATU STRATEGI BRITISH untuk menenggelamkan atau menyembunyikan unsur-unsur jihad yang diperjuangkan oleh Tuan Haji.

Beliau mendapat pendidikan di Mekah dan mahir bersilat. Selepas Perjanjian Bangkok 1909, British mengambil alih pemerintahan Kelantan daripada Siam dan mula membawa pelbagai perubahan khususnya dari segi pentadbiran. Perubahan yang diperkenalkan telah menyentuh kedudukan dan keistimewaan tradisional di negeri Kelantan. Antara yang paling sensitif ialah mengenai pengenaan cukai kepala sebanyak RM1.00 seorang setahun, pokok buah-buahn sebanyak 3 sen setahun, kelapa 3 sen setandan dan sireh 5 sen sejunjung.

Pada 29 April 1915, pentadbiran Jeram, Pasir Puteh, Kelantan telah diambil alih oleh Encik Latiff iaitu seorang pegawai tadbir Pentadbiran British yang berasal daripada Singapura, menggantikan raja yang berkuasa di daerah itu. Pertelingkahan mengenai cukai dan pengurusan pengutipan cukai membuatkan Haji Mat Hassan (Tuk Janggut) enggan membayar cukai. Encik Latiff mengarahkan satu pasukan polis yang diketuai oleh Sarjan Sulaiman (Che Wan) bertolak ke Kampung Tok Akib untuk menangkap Haji Mat Hassan pada 29 April 1915. Dalam satu pergelutan yang berlaku, Sarjan Sulaiman telah ditikam oleh beliau lalu terbunuh, beliau telah menghimpunkan orang-orangnya menuju ke Pasir Puteh. Encik Latiff pula telah melarikan diri melalui ke Kota Bharu. Bantuan daripada Singapura dan Negeri Melayu Bersekutu dikejarkan ke Pasir Puteh pada 6 Mei 1915. Satu pertempuran berlaku pada 25 Mei 1915 di Kampung Merbuk dan Kampung Pupuh.

Kebangkitan Haji Mat Hassan menyebabkan Sultan Kelantan yang memerintah pada masa itu berasa terancam dan serba salah. Atas Desakan Pegawai Penasihat British pada masa itu Sultan Kelantan terpaksa menganggap Haji Mat Hassan sebagai seorang penderhak. Pada hal Haji Mat Hassan bangkit menentang atau melawan pentadbiran British yang menggunakan undang-undang cukai baru di seluruh Kelantan, termasuk Pasir Putih. Dalam pertempuran di Kampung Pupuh, Haji Mat Hassan telah terkena tembak lalu meninggal dunia. Mayat Haji Mat Hassan dibawa ke Kota Bharu dalam kereta lembu yang memakan masa satu hari. Mayat beliau digantung songsang (kaki di atas dan kepala di bawah)beberapa hari di Padang Bank (Padang Merdeka).Kemudian mayatnya itu telah ditembak oleh sepasukan pihak British sehingga putus dua badannya. Selepas itu mayatnya dibungkus dan dibawa dengan perahu ke Pasir Pekan untuk dikebumikan.

***Hebatnya pengaruh Haji ini sehinggakan British mengeluarkan arahan memaksa Sultan Muhammad IV mengeluarkan titah perintah melarang rakyat (yang dikalangannya terdapat ramai ulama) menyokong kerajaan Turki Uthmaniyyah. Malah British juga memaksa mufti Kelantan ketika itu mengeluarkan satu surat sokongan menyokong kerajaan British dalam peperangan!



Ringkasnya kita dapat simpulkan yang nama Haji Mat Hassan itu sahaja sudah cukup untuk menggerunkan British ketika itu!

AL FATIHAH_

Sunday, August 5, 2012

Majlis tandatangan Akta Kemajuan Petroliam 1974 - Tengku Razaleigh Hamzah (Pengerusi PETRONAS) dan Datuk Mohammad Nasir (Menteri Besar Kelantan)



Majlis tandatangan Akta Kemajuan Petroliam 1974 -
Tengku Razaleigh Hamzah (Pengerusi PETRONAS) dan Datuk Mohammad Nasir (Menteri Besar Kelantan)

Akta Kemajuan Petroliam 1974 jelas menyatakan bahawa Kerajaan Malaysia & Petronas haruslah membuat pembayaran tunai dalam bentuk Royalti bagi “Pemunyaan Hak” yang diberikan Negeri Kelantan bagi Penerokaan Industri Petroleum



Thursday, July 26, 2012

Jambatan Sultan Yahya Petra


Jambatan Sultan Yahya Petra dibina semasa pemerintahan PAS di Kelantan dalam tahun 60an menghubungkan Kg Sireh dan Pasir Pekan. Apabila siap, ia menjadi salah satu jambatan terpanjang di Malaysia pada waktu itu. Ia mengenakan tol bagi setiap kenderaan yg menggunakannya. Tol ini telah menjadi salah satu sumber pendapatan utama bagi kerajaan PAS waktu itu ekoran diskriminasi yang amalkan kerajaan pusat. Agaknya kalau tiada diskriminasi, Kota Bharu dah jadi bandaraya yg terbesar di pantai timur. Dan mungkin juga dengan tiadanya diskriminasi, Jambatan Sultan Yahya Petra Kedua telah lama disiapkan.
 




Saturday, July 14, 2012

Botak Chin Maut Di Tali Gantung


Botak Chin diiringi Pegawai Polis
ke Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur

Pada 22 November 1975 ketika malam mula berlabuh sekumpulan lelaki melangkah masuk ke dalam sebuah kereta Datsun hijau. Sebaik enjin dihidupkan, mereka memandu menyusuri jalan penuh liku di ibu kota Kuala Lumpur.

Perjalanan mereka pada malam itu hanya untuk satu tujuan ‘gila’. Daripada situlah bermulanya satu kisah besar dalam sejarah negara dicatatkan.

Sasaran mereka adalah sebuah kereta dinaiki pegawai kanan polis, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Deputi Superintendan (DSP) S Kulasingam.

Sebaik menjumpai kereta dinaiki pegawai polis itu, mereka mengekori rapat sambil mengintip peluang yang sesuai untuk melaksanakan tindakan mereka. Warga kota sekitar Jalan Davis-Jalan Pekeliling, masih meneruskan kegiatan masing-masing tanpa mengesyaki satu kejadian menggemparkan pada malam itu.

Setiba di lampu isyarat Jalan Davis-Jalan Pekeliling, kereta Datsun ber kenaan bergerak pantas menghampiri kenderaan yang mereka ekori. Sebaik merapati kenderaan dinaiki pegawai kanan polis itu dan melihat peluang yang dinanti terbuka luas, 18 tembakan dilepaskan bagi ‘menghapuskan’ Kulasingam.

Dentuman demi dentuman dilepaskan hingga mengejutkan orang ramai di sekitar kawasan berkenaan. Matlamat kumpulan lelaki itu hanya satu iaitu membunuh seorang pegawai kanan polis di tempat terbuka. Bagaimanapun, tindakan ‘gila’ penjenayah itu gagal berikutan hanya satu das tembakan mengenai Kulasingam.

Sebaliknya pegawai polis itu masih berupaya memandu ke Balai Polis Cheras, tidak jauh dari lokasi itu.

Keesokannya, terpampang pada dada akhbar bahawa cubaan membunuh itu gagal. Botak Chin atau nama sebenarnya Wong Swee Chin, yang mengepalai rancangan itu naik angin apabila mengetahui musuh ketatnya hanya cedera.

Amarahnya memuncak mengingatkan kehadiran polis kerap mendatangkan masalah kepada aktiviti haramnya. Kegiatan mengutip wang perlindungan daripada tempat perjudian haram sekitar Kuala Lumpur yang dikuasainya cuba dilumpuhkan pasukan itu.

Kegiatan rompakan bersenjata dan pembunuhan yang dilakukan menyebabkan dia dan ahli kumpulan menjadi buruan. Banglo di Bukit Kenny yang disewa dengan bayaran RM1,200 sebagai tempat persembunyian hanya bertahan selama tiga hari sebelum polis berjaya menghidu markas baru mereka itu.

Malah, dia sendiri nyaris ditahan polis pada September tahun itu apabila kereta curi yang dinaikinya bersama beberapa anggota dikesan pihak berkuasa itu.

Selepas dikejar sejauh 3.2 kilometer dan dihujani tembakan polis, kereta itu berhenti di Segambut Dalam dan Botak Chin segera menyelinap ke kawasan setinggan. Dalam keadaan kelam kabut, mereka tertinggal sepucuk revolver .38.

Botak Chin bersama anggotanya, termasuk seorang yang cedera ditembak berjaya meloloskan diri dengan merampas sebuah kereta Volvo milik seorang pegawai bank.

Pada ulan sama juga, orang kanannya, Chau Kuan (Ah Kuan) ditembak mati di sebuah kedai runcit di Jalan Kovil Hilir, tetapi kematian tidak menakutkannya, dia terus melakukan rompakan.

Serangan mengejut terhadap Kulasingam menyebabkan pihak polis bertekad untuk menahan dan membasmi jenayah pemuda itu. Lelaki itu berbahaya terhadap negara. Usianya baru pada awal 20-an tetapi dalam usia smuda itu, namanya sudah tercatat dalam sejarah jenayah negara sebagai penjenayah ganas paling dikehendaki. Tindak-tanduknya sentiasa mendatangkan bahaya yang besar kepada ke amanan negara.

Lalu satu pasukan khas ditubuhkan polis. Beberapa pegawai polis yang pakar memburu penjenayah daripada beberapa ibu pejabat polis daerah dipanggil menganggotai pasukan itu dan tugas mereka adalah menjejak pergerakan geng Botak Chin, tempat yang sering dikunjungi dan sarang persembunyian.


16 Februari 1976. Selepas beberapa bulan menjejak penjenayah kejam dan paling dikehendaki itu, akhirnya episod akhir pemburuan polis membawa mereka ke sebuah kilang papan di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Operasi besar diatur dan pelan dirangka sebaik mungkin. Polis mula mengepung kilang berkenaan dan dalam kegelapan malam, mereka menunggu kemunculan Botak Chin. Detik demi detik berlalu dengan penuh debaran.

Akhirnya, sebuah kereta Mazda putih masuk ke kawasan kilang. Sebaik berhenti, tiga lelaki keluar daripada kereta itu dan seorang daripada mereka ialah suspek buruan, Botak Chin. Penjenayah ganas itu lengkap bersenjata selain memiliki dua bom tangan.

Langkah dan perlakuan seperti biasa meyakinkan pihak polis bahawa kumpulan penjenayah terbabit tidak menyedari kehadiran mereka. Botak Chin tidak menyedari bahawa kawasan itu sudah dikepung.

Beberapa pengikut penjenayah itu yang ditugaskan mengawal kawasan kilang berkenaan masih leka dan selesa dengan aktiviti masing-masing seolah-olah ketenangan malam itu akan terus dinikmati dengan aman.

Ketika itulah polis bertindak, empat pasukan menggempur masuk ke kawasan kilang menyebabkan pengawal leka yang diharap menjadi mata dan telinga Botak Chin lari lintang pukang meninggalkan ketua mereka dan tempat persembunyian itu.

Daripada dalam pejabatnya, Botak Chin dan dua orang kanannya iaitu Beh Kok Chin (Pangkor Chai) dan Hiew Foo Khen (Ah Keong) yang berasa ‘sesuatu yang tidak kena’ berlaku di luar mula menyedari mereka sudah dikepung polis.

Beberapa ketika kemudian, berlakulah pertempuran antara penjenayah dan polis dengan masing-masing melepaskan tembakan. Polis melepaskan kira-kira 500 das tembakan selain gas pemedih mata dalam drama tembak menembak itu.

Pangkor Chai dan Ah Keong membalas tembakan selain melemparkan sebutir bom tangan ke arah polis. Pertempuran begitu sengit dan meruncing.

Dalam kelam-kabut itu, Botak Chin ditembak pada kaki dan tangan kanan. Dalam kesakitan, dia merangkak mencari dua pengikut kanannya itu tetapi mendapati kedua-dua mereka sudah kaku tidak bernyawa.

Babak keganasan penjenayah itu berakhir apabila Botak Chin yang berada dalam keadaan tersepit menyerah diri dalam operasi penuh bahaya itu.

Botak Chin ditahan selama setahun sebelum mengaku bersalah apabila dihadapkan ke mahkamah terhadap dakwaan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membawa kepada hukuman mati mandatori.

Disebabkan peguamnya membuat rayuan terhadap hukuman itu hingga peringkat Privy Council, Botak Chin dibicara semula pada 1 April 1980 tetapi dia tetap didapati bersalah pada 16 Mei 1980 dan rayuannya kepada Mahkamah Persekutuan dan Lembaga Pengampunan ditolak.

Ketika menunggu dihukum gantung, Botak Chin terus menunjukkan sikap ganasnya apabila menyerang dan mencederakan pegawai penjara termasuk menggunakan senjata tajam sebanyak dua kali.

11 Jun 1981, kepalanya disarung dengan kain hitam. Dalam kegelapan, dia dibawa menuju ke satu lokasi dalam Penjara Pudu itu. Botak Chin diminta berdiri di atas platform dan beberapa ketika kemudian kedengaran gear ditarik.


Platform di bawah kakinya terbuka, tubuhnya terjatuh ke bawah, tali gantung menjerut lehernya sehingga patah dan riwayatnya selaku penjenayah muda yang ganas dan paling dikehendaki polis akhirnya tamat.


Kronologi Botak Chin: -

Hasil rompakan diguna beli senjata api di Thailand

1967 – Mula terbabit dalam kumpulan Geng 360 di Kuala Lumpur dan melakukan jenayah kecil seperti mencuri.

19 April 1969 – Melakukan rompakan bersenjata pertama bersama tiga rakan.

September 1969 – Memiliki senjata pertamanya revolver .22 lalu menubuhkan geng sendiri. Melakukan lapan rompakan pada bulan itu tetapi akhirnya ditahan polis dan dipenjara tujuh tahun.

November 1974 – Dibebaskan daripada penjara. Cuba memulakan kehidupan baru sebagai insan biasa tetapi pendapatan sebagai penjual sayur tidak memuaskan hatinya.

April 1975 – Kurang setahun selepas dibebaskan, Botak Chin kembali aktif dengan menubuhkan geng baru yang dianggotai Ng Cheng Wong (Ah Wong), Beh Kok Chin (Pangkor Chai) dan Teh Bok Lay (Seh Chai).

Mei 1975 – Pergi ke Thailand dengan bantuan rakan untuk membeli senjata api.

2 Jun 1975 – Merompak RM5,800 daripada sebuah pusat perjudian haram di Sentul. Hasil rompakan digunakan untuk membeli lapan senjata api dan peluru di Thailand. Berlatih menembak dengan menjadikan anjing liar sebagai sasaran di kawasan bekas lombong di Kepong. Semakin berani apabila mempamarkan senjata api di tempat terbuka iaitu Pasar Sentul.

20 Julai 1975 – Merompak RM95,000 dari sebuah bank di Jalan Imbi, Kuala Lumpur. Tidak lama selepas itu, beberapa pemain mahjung dirompak RM10,000 selain barang kemas dan barang berharga di sebuah kuil Cina di Jalan Kolam Ayer, Kuala Lumpur. Merampas tiga pistol milik tiga anggota polis. Merampas senjata api milik pengawal keselamatan dalam rompakan sebuah bar di Sentul. Mencabar sesiapa saja di Kelab Kereta Api Sentul untuk beradu kehandalan menembak ala koboi dalam rompakan di situ.

26 Oktober 1975 – Rompakan terbesar dilakukannya apabila melarikan RM218,000 dan menembak pengawal keselamatan yang membawa wang di Kelab Lumba Kuda. Hasil rompakan sekali lagi digunakan untuk membeli senjata api di Thailand. Dia kemudian memiliki 19 senjata api, lima bom tangan dan kira-kira 1,000 peluru. Menyedari kedudukannya sebagai ketua mula terancam kerana ada yang cuba mencabarnya, Botak Chin bertindak. Ketua geng Lima Jari Gunung, Tua Pui Lek dan anggota gengnya sendiri iaitu Ah Wong, kemudian ditemui mati ditembak di kawasan lombong tinggal di Jinjang. Orang kanannya, Seh Chai, mati membunuh diri selepas dikepung polis di Jalan Alor. Awal 1976 Botak Chin mengambil anggota baru, diikuti tiga rompakan dengan wang yang dilarikan kira-kira RM400,000. Pada masa sama, tujuh orangnya mati ditembak selain ada yang ditangkap. Polis juga merampas 15 senjata api, peluru dan bom.

22 November 1975 – Cuba membunuh pegawai kanan polis yang memburunya tetapi gagal.

16 Februari 1976 – Ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah kilang di Kuala Lumpur. Dua pengikut kanannya terbunuh dalam pertempuran dengan polis.

11 Jun 1981 – Maut di tali gantung di Penjara Pudu.
Botak Chin diiringi oleh Pegawai Polis
keluar dari Penjara Pudu

Kereta yang membawa mayat
mendiang Botak Chin menuju ke tanah perkuburan.

Wednesday, June 20, 2012

Kisah Menyayat Hati Seorang Pelakon Ahmad Nisfu


Kisah Menyayat Hati Seorang Pelakon Ahmad Nisfu | Malam semalam, Melayukini.net sempat menonton rancangan Tiga Abdul yang disiarkan menerusi TV2. Siapa tidak kenal gelagat mereka antaranya Tan Sri P Ramlee. Namun apa yang ingin dikongsikan di sini adalah pelakon Ahmad Nisfu. Siapa yang tidak kenal dengan beliau merupakan seorang pelakon dan pelawak yang berbakat. Banyak sahajatagline yang digunapakai sehingga hari ini antaranya :
“Walaupun rupa mu tidak ku kenal, tetapi lubang hidungmu tu tetap menjadi pojaan hati ku..”
Ini adalah petikan dialog Aziz Sattar dalam filem Seniman Bujang Lapok yang ditujukan kepada tuan director lakonan Ahmad Nisfu. Dalam kita mengenang ramai artis-artis veteran terutamanya, mungkin tak semua yang tahu. Dalam kita mengangkat dan mengagungkan yang sudah pun berada dipuncak,namun kita terlupa dengan sekian insan-insan seni yang dahulunya membuat kita ketawa terbahak-bahak tapi masa memamah nama insan seni ini dan terus tenggelam ditelan oleh arus berzaman.
Mengikut arwah Norizan bekas isteri kepada P. Ramlee (dalam satu rancangan tv), Ahmad Nisfu merupakan antara teman rapat kepada P.Ramlee. Buktinya cukup nyata apabila sewaktu kemeriahan studio Jalan Ampas dahulu, setiap filem arahan P.Ramlee, Ahmad Nisfu boleh dikatakan kerap terlibat sama dan memegang watak agak besar. Gelaran Paq Besaq (Pak Besar) juga telah diberikan kepada Ahmad Nisfu oleh P. Ramlee kerana lubang hidung Ahmad Nisfu yang besar.
Pelakon yang berasal dari Tanjong Takong, Pulau Pinang ini pada awalnya ialah seorang pelakon bangsawan dan telah dilamar oleh Shaw Brothers untuk terlibat sama dalam produksi sebagai pelakon filem. Di sini bermulalah kerjaya Ahmad Nisfu sebagai pelakon filem. Walaupun memegang watak-watak yang kecil, Ahmad Nisfu dikatakan adalah seorang yang sentiasa bersyukur walaupun upah yang diterimanya adalah terlalu kecil. Hakikatnya, wang saku yang diperoleh digunakan untuk menyara dirinya sahaja kerana Ahmad Nisfu adalah seorang yang sebatang kara, tiada saudara mara, keluarga dan juga isteri.
Aktiviti sosial Ahmad Nisfu ini hanyalah dengan beramal di masjid di kawasan beliau tinggal dan juga di sekitar studio Jalan Ampas. Ahmad Nisfu dikhabarkan seorang yang pandai mengaji Al-Quran. Beliau juga merupakan seorang bilal di masjid di tempat beliau menetap dahulu.
Hinggalah penutupan studio Jalan Ampas, Ahmad Nisfu telah menghambakan dirinya dalam dunia lakonan. Selepas penutupan studio Jalan Ampas, Ahmad Nisfu telah hilang punca pencarian hidup. Filem Puaka dikatakan filem terakhir lakonan beliau.
Di sinilah Ahmad Nisfu tinggal semasa hayatnya di Kubu Jepun (pillbox)
Disebabkan tiada punca rezeki, Ahmad Nisfu hidup dengan bantuan ehsan dari orang ramai. Kerana tiada punca rezeki, Ahmad Nisfu hanyalah menetap di Kubu Jepun (pillbox) di Jalan Labu. Di situlah juga tempat Ahmad Nisfu telah menghembuskan nafas terakhirnya di dalam keadaan yang sungguh daif tanpa saudara mara, ahli keluarga dan isteri. Hanyalah teman rapat.- Balbo
Berikut pula, sedutan dari artikel yang dikongsi oleh penulis yang lain.
Setelah tidak bermain wayang lagi, Ahmad Nisfu sering berada dikedai kopi dipersimpangan Joo Chiat, Geylang Road dan Changi Road. Kedai kopi itu juga dulunya tempat ‘extras’ Shaw dan Cathay berkumpul. Sering juga mereka diambil sebagai ‘pak pacak’ dengan gaji $5.00 ringgit sehari!
Selain meluangkan masa disitu, dia sering keseberang jalan untuk menikmati ‘sop kambing’ kegemarannya. Kedai mamak sop itu terletak dilorong masuk ke restoran Osman Ghani yang terkenal di Geylang Serai dengan ‘kari ikan’ dan ‘dalca rusuk kambing’nya.
Ahmad Nisfu juga pernah menjadi imam di Masjid Onan Road (sudah tiada lagi – tapaknya diambil oleh Muslim Convert Association). Pernah satu kali, kami anak anak nakal, waktu sembahyang berimamkan Ahmad Nisfu, sedang dalam rukun, kami menyanyi perlahan lahan sesama sendiri “ura Cendana! Pura Cendana!” sambil menggigil gigil menahan ketawa. Habis sembahyang, tak sempat cium tangannya, kami diperambat hingga keluar masjid! “Korang usik aku ya!!! setan!!!”Itulah pengalaman nakal saya bersama ‘Raja Alam Syahbana, raja negeri Pura Cendana’.
Mungkin kerana keuzuran dia tidak lama menjadi imam disitu. Saperti sudah berputus asa, dia hidup berteduh dikubu Jepon diJalan Labu tidak jauh dari Masjid Aminah diJalan Nanas off Geylang Serai. Lama juga dia tinggal bersendirian disitu dibawah ikhsan orang kampung sekeliling. Tidak lama kemudian dia meninggal, setelah beberapa lama hidup sebatang kara dalam penuh kedaifan.