Sunday, October 4, 2009

Al Fatihah untuk Datuk Abdul Rahim Bakar

PENDUDUK Kampung Talam keluar beramai-ramai untuk menyaksikan Majlis Sambutan Kedatangan Abdul Rahim Abu Bakar. Ini merupakan tugas beliau yang terakhir sebagai Menteri Besar Pahang.


Wawancara MB yang tak tersiar
Oleh Zainuddin Maidin

"Saya menyimpan hampir 30 tahun wawancara khas wartawan Utusan Rosnah Majid dengan Rahim Bakar yang menjadikannya sekarang lebih bernilai".

Menteri Besar Pahang, Datuk Abdul Rahim Bakar (19 Julai 1978 hingga 7 November 1981) adalah di antara wira politik tanah air yang 'tercedera' dalam perjuangan untuk membawa perubahan secara radikal. Beliau terpaksa meletakkan jawatan lebih awal sebelum cukup tempoh kerana melanggar tradisi dan berkrisis dengan istana.

Mungkin tindakannya untuk membetulkan pentadbiran negeri Pahang terutama sekali mengenai sistem pembalakan terlalu drastik dan tidak kena pada masanya kerana ketika itu Dr. Mahathir pun baru sahaja menjadi Perdana Menteri yang memerlukan sokongan semua pihak termasuk istana untuk kestabilan politik bagi pengukuhan kedudukannya.

Rahim telah berundur daripada jawatannya enam bulan sebelum pilihan raya umum 1982 dan jawatannya itu dipangku oleh Datuk Abdul Rashid Abdul Rahman sehinggalah Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mengambil alih secara rasmi jawatan Menteri Besar Pahang menerusi proses pilihan raya umum 1982 .

Dalam bukunya Krisis Sultan MB: Apa Sebenarnya Terjadi, Chamil Wariya mencatatkan sekalipun sebagai Menteri Besar, Rahim hadir pada upacara keputeraan Sultan Pahang pada 1980 tetapi beliau tidak dibenarkan berucap dan pada hari keputeraan 1981, beliau langsung tidak dijemput ke upacara itu.

Tindakannya yang paling ketara ialah memperkenalkan sistem tender terbuka bagi syarikat-syarikat mendapatkan kawasan pembalakan di Pahang dengan memberikannya kepada syarikat yang menawarkan harga paling tinggi.

Ini mencetuskan kontroversi di antaranya dengan beberapa orang pemimpin politik negeri dan pihak lain yang berkepentingan. Jalan keluar baginya untuk meredakan ketegangan politik di Pahang ialah meninggalkan negeri itu dan pemergiannya mencatatkan sejarah sebagai seorang pemimpin revolusioner yang 'tercedera' dalam perjuangannya, sebagai seorang Menteri Besar yang kontroversi tetapi berkredibiliti.
sumber:



p/s lumrah alam, semasa hidup, tiada sesiapa yang memperdulikan beliau. Dijatuhkan dengan hina, tiada siapa yang menghulurkan tangan, bangkitkan beliau dari jatuh. Macam kes-kes lain, semasa hidup dituduh komunis, ditahan tanpa bicara, dihina secukup-cukupnya. Selepas meninggal dunia, tiba-tiba ada makhluk Allah akan mengganggap mangsa tadi wira negara, tokoh pejuangan negara, dan entah apa-apa lagi yang menyakitkan hati bila membacanya. Al Fatihah untuk Datuk Abdul Rahim Bakar ...

No comments: