Showing posts with label A Tribute. Show all posts
Showing posts with label A Tribute. Show all posts

Sunday, October 4, 2009

Al Fatihah untuk Datuk Abdul Rahim Bakar

PENDUDUK Kampung Talam keluar beramai-ramai untuk menyaksikan Majlis Sambutan Kedatangan Abdul Rahim Abu Bakar. Ini merupakan tugas beliau yang terakhir sebagai Menteri Besar Pahang.


Wawancara MB yang tak tersiar
Oleh Zainuddin Maidin

"Saya menyimpan hampir 30 tahun wawancara khas wartawan Utusan Rosnah Majid dengan Rahim Bakar yang menjadikannya sekarang lebih bernilai".

Menteri Besar Pahang, Datuk Abdul Rahim Bakar (19 Julai 1978 hingga 7 November 1981) adalah di antara wira politik tanah air yang 'tercedera' dalam perjuangan untuk membawa perubahan secara radikal. Beliau terpaksa meletakkan jawatan lebih awal sebelum cukup tempoh kerana melanggar tradisi dan berkrisis dengan istana.

Mungkin tindakannya untuk membetulkan pentadbiran negeri Pahang terutama sekali mengenai sistem pembalakan terlalu drastik dan tidak kena pada masanya kerana ketika itu Dr. Mahathir pun baru sahaja menjadi Perdana Menteri yang memerlukan sokongan semua pihak termasuk istana untuk kestabilan politik bagi pengukuhan kedudukannya.

Rahim telah berundur daripada jawatannya enam bulan sebelum pilihan raya umum 1982 dan jawatannya itu dipangku oleh Datuk Abdul Rashid Abdul Rahman sehinggalah Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mengambil alih secara rasmi jawatan Menteri Besar Pahang menerusi proses pilihan raya umum 1982 .

Dalam bukunya Krisis Sultan MB: Apa Sebenarnya Terjadi, Chamil Wariya mencatatkan sekalipun sebagai Menteri Besar, Rahim hadir pada upacara keputeraan Sultan Pahang pada 1980 tetapi beliau tidak dibenarkan berucap dan pada hari keputeraan 1981, beliau langsung tidak dijemput ke upacara itu.

Tindakannya yang paling ketara ialah memperkenalkan sistem tender terbuka bagi syarikat-syarikat mendapatkan kawasan pembalakan di Pahang dengan memberikannya kepada syarikat yang menawarkan harga paling tinggi.

Ini mencetuskan kontroversi di antaranya dengan beberapa orang pemimpin politik negeri dan pihak lain yang berkepentingan. Jalan keluar baginya untuk meredakan ketegangan politik di Pahang ialah meninggalkan negeri itu dan pemergiannya mencatatkan sejarah sebagai seorang pemimpin revolusioner yang 'tercedera' dalam perjuangannya, sebagai seorang Menteri Besar yang kontroversi tetapi berkredibiliti.
sumber:



p/s lumrah alam, semasa hidup, tiada sesiapa yang memperdulikan beliau. Dijatuhkan dengan hina, tiada siapa yang menghulurkan tangan, bangkitkan beliau dari jatuh. Macam kes-kes lain, semasa hidup dituduh komunis, ditahan tanpa bicara, dihina secukup-cukupnya. Selepas meninggal dunia, tiba-tiba ada makhluk Allah akan mengganggap mangsa tadi wira negara, tokoh pejuangan negara, dan entah apa-apa lagi yang menyakitkan hati bila membacanya. Al Fatihah untuk Datuk Abdul Rahim Bakar ...

Sunday, August 9, 2009

Muhamad Zohadie tak kesal pertaruh jawatan demi UPM

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Rencana/20090808235122/Article/index_html

Bekas Naib Canselor teruskan jalinan intelektual dikurnia Profesor EmeritusBICARANYA tipikal ahli intelek - berterus-terang, jujur dan berani meluahkan kata-kata - menegakkan apa yang dirasakan benar tanpa terselit sebarang cubaan untuk berdolak dalik. Sikap itu jugalah yang pada pendapat ramai, membawa noktah kepada tugasannya bagi jawatan akademik tertinggi di Universiti Putra Malaysia (UPM), antara institusi pengajian tinggi awam tertua dan ternama negara.

Itu kisah empat tahun lalu yang skripnya berakhir dengan penamat cukup mengecewakan sehingga menjadikan nama Prof Ir Dr Muhamad Zohadie Bardaie seakan-akan lenyap terus daripada persada bidang akademik arus perdana. Plot kepada kisah itu bertunjangkan sikapnya yang berani dan berterus-terang sehingga dianggap cuba melawan Datuk Dr Shafie Mohd Salleh, ketika itu Menteri Pengajian Tinggi. Puncanya hanya kerana isu bantahan bekas Naib Canselor UPM itu terhadap pemindahan program kejuruteraan aeroangkasa dari universiti berkenaan ke sebuah universiti lain.

Ketika itu, lebih tepat lagi sekitar Mei 2005, isu terbabit mendapat tempat di dada media, diwarnai pula dengan pelbagai pendapat daripada beberapa pihak lain, baik di dalam atau luar UPM, ada yang menyokong dan tidak kurang yang mengkritik. Akhirnya, pakar dalam bidang kejuruteraan pertanian itu melepaskan jawatan yang disandangnya selepas kira-kira empat tahun menerajui universiti berkenaan. Menyusul jejak anak tempatan pertama berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Pertanian itu ialah menteri terbabit yang digugurkan daripada senarai Kabinet kerajaan beberapa bulan kemudian. Berjauhan dari Bukit Serdang tidak membataskan Muhamad Zohadie daripada dunia akademik yang amat dicintainya, sebaliknya beliau sanggup berkelana selama tiga bulan ke Jepun, menjadi felo penyelidik di Universiti Tsukuba.

Tiga bulan meninggalkan anak dan isteri, beliau kembali semula ke tanah air dan mencuba bidang keusahawanan dengan membeli ekuiti dalam sebuah syarikat perunding kejuruteraan dan bersama beberapa rakan membuka sebuah syarikat pembuatan. Kesibukan menguruskan perniagaan tidak langsung menyekat cintanya kepada bidang akademik melalui tanggungjawab sebagai Ahli Lembaga Universiti Selangor (Unisel) dan Ahli Jurnal Kejuruteraan Antarabangsa.

Pada usia 58 tahun dengan semangat pendidik yang masih menebal, beliau dikurniakan pengiktirafan tertinggi akademik apabila dianugerahi Profesor Emeritus daripada UPM. Anugerah itu disampaikan sempena Konvokesyen Ke-33 universiti berkenaan, semalam dan turut diterima oleh bekas Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Prof Dr Muhamad Awang.

"Kejadian (isu perbalahan dengan bekas menteri) tidak menjejaskan niat saya. Bagi saya sebagai Naib Canselor atau dalam bahasa korporatnya, Ketua Pegawai Eksekutif, sudah tentulah saya perlu pertahankan organisasi saya. "Saya ada prinsip... kena pertahankan. Isu yang menyebabkan perkara ini berlaku ialah kerana program aeroangkasa UPM mahu dipindahkan ke universiti lain," kata Dr Muhamad Zohadie, mengulas kembali apa sebenarnya berlaku pada 2005 itu.

Tidak lama selepas meninggalkan UPM, atas kerelaan sendiri atau pun kerana muak dengan desakan pihak tertentu yang mahukannya meletak jawatan, beliau terus dikunjungi pegawai akademik Jabatan Aeroangkasa UPM.

"Mereka meluahkan penghargaan kerana saya sanggup mempertaruhkan jawatan untuk mempertahankan mereka. Saya beritahu mereka sebagai Naib Canselor, saya kena pertahankan apa juga yang menjadi kepentingan UPM. "Itu penting... kita tak boleh mengharapkan orang lain yang melakukannya untuk kita (mempertahankan kepentingan). Kita kena buat apa yang perlu dibuat," katanya.

Ditanya sama ada beliau sudah melupakan peristiwa empat tahun lalu itu, Muhamad Zohadie berterus-terang mengakui masih ada rasa terkilan sehingga kini, tetapi hidup perlu diteruskan.

"Ya... saya teruskan hidup saya, tetapi ada grudges sikit. Perkara seperti itu sepatutnya tak berlaku pun, dunia akademik sepatutnya jadi tempat untuk cari kebenaran... (kejadian itu) amat malang sekali," katanya.

Selain menggalas tanggungjawab di Unisel dan jurnal kejuruteraan antarabangsa, beliau kekal aktif dalam penulisan akademik dan kadangkala dijemput memberi syarahan, termasuk di luar negara.

"Saya juga cuba bidang keusahawanan... sebabnya ketika di UPM dulu sering saya katakan kepada graduan supaya apabila habis belajar, ceburi bidang keusahawanan. Jadi, nampaklah saya buat apa yang saya cakapkan... walk the talk. "Hubungan saya dengan UPM juga terus berjalan, saya masih berhubung dengan fakulti (kejuruteraan) kerana saya banyak rakan di Jepun. Bila ada apa-apa isu, saya hubungkan mereka yang di Jepun itu dengan fakulti kejuruteraan UPM," katanya.

Mengenai gelaran Profesor Emeritus dalam Kejuruteraan Biosistem itu, datuk kepada seorang cucu ini mengakui, ketika dimaklumkan mengenai tawaran itu lebih sebulan lalu, beliau menolaknya kerana berasakan tidak perlu dianugerahi apa-apa.

"Saya maklumkan kepada mereka, tak payahlah bagi saya anugerah... tanpa anugerah pun saya sanggup bantu UPM. Saya masih boleh menyumbang kepada UPM dan kejuruteraan... itu memang perkara yang saya sentiasa minat," katanya.

Bagaimanapun, beliau akhirnya akur dan bersetuju menerima anugerah berkenaan selepas berpendapat ia boleh menyuntik merit kepadanya untuk terus menyumbang dalam bidang akademik, termasuk pada peringkat antarabangsa.

Profil Nama: Profesor Emeritus Ir Dr Muhamad Zohadie Bardaie
Asal: Meru, Klang
Tarikh lahir: 29 Disember 1950
Isteri: Datin Umi Kalsum Hussein
Anak: Zahrina Azian, 33, doktor perubatan; Zaireen Aliza, 26, lulusan Universiti Multimedia; Zaireen Azrin, 21, pelajar kejuruteraan kimia di Universiti Monash


PENGALAMAN AKADEMIK DI UPM

April 2001-Disember 2005: Naib Canselor
Ogos 1993: Timbalan Naib Canselor (Pembangunan)

Januari 1993: Profesor bidang kejuruteraan
1988: Dekan Fakulti Kejuruteraan
1983: Ketua Jabatan Kejuruteraan Ladang, Kuasa dan Jentera
1979: Ijazah PhD Kejuruteraan Pertanian, Universiti Cornell, Amerika Syarikat
1978: Pensyarah UPM
1975: Sarjana Sains Kejuruteraan Kejenteraan, Universiti California
1974: Sarjana Muda Sains Kejuruteraan dan Sarjana Muda Pengurusan dan Sains Pertanian, Universiti California
1971: Diploma Pertanian Kolej Pertanian Malaya
p/s orang politik datang dan pergi. Tapi seorang akademik, datangnya dirai, perginya diratapi.