Monday, January 16, 2012

Melaka batal caj warisan lima peratus, perkenal caj RM2

MELAKA: Kerajaan negeri Melaka hari ini membatalkan caj warisan lima peratus terhadap penginap hotel, rumah tumpangan dan inap desa di negeri itu dan menggantikannya dengan caj RM2.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata pembatalan caj itu berikutan bantahan daripada pengusaha hotel, rumah tumpangan dan inap desa yang merasakan caj itu memberi impak negatif kepada perniagaan mereka. "Perbincangan dilakukan hari ini bersama semua wakil pengusaha hotel, rumah tumpangan dan homestay (inap desa) yang mana semua setuju untuk melaksanakan caj warisan baru ini dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Dialog Pelaksanaan Caj Warisan di sini, hari ini. Sebelum ini, caj warisan sebanyak lima peratus itu diwartakan berkuatkuasa 1 Oktober tahun lalu namun tidak mendapat kerjasama daripada pengusaha hotel, rumah tumpangan dan homestay di negeri itu.

Mohd Ali berkata, dengan caj RM2, penginap hanya perlu membayar tambahan RM2 setiap harga bilik yang mereka duduki.

Beliau berkata, pelaksanaan caj warisan RM2 membabitkan 12,000 bilik hotel, rumah tumpangan dan inap desa di seluruh negeri itu dijangka berkuatkuasa pada April depan.

Katanya, kerajaan negeri menganggarkan kutipan sekurang-kurangnya RM4 juta setahun, yang boleh digunakan untuk memajukan lagi sektor pelancongan Melaka.
Mohd Ali berkata, pengusaha perlu menjelaskan caj tersebut setiap bulan kepada pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAJ), Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).

Beliau berkata, satu Jawatankuasa Pelaksanaan Caj Warisan akan ditubuhkan bagi melicinkan proses pelaksanaan caj berkenaan. - BERNAMA

No comments: