Thursday, January 19, 2012

Siapakah yang dimaksudkan dengan WaliulLah atau Tok Wali?



Jawapan dari Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

Wali adalah perkataan mufrat ataupun singular, kata prural atau jamaknya adalah auliya’. Makna asal perkataan ini ada berbagai-bagai, di antaranya bermakna ‘amat hampir’. Wali Allah maknanya orang yang benar-benar hampir dengan Allah SWT.

Orang ini ialah insan yang amat memahami dan mentaati perintah Allah dalam semua keadaan dan menjauhi larangan Allah dalam semua hal. Istilah wali berlawanan dengan istilah ‘adaawah’ yang beerti bermusuh.

Orang yang hampir kepada Allah dipanggil wali, orang yang bermusuh dengan Allah digelar ‘aduu. Musuh Allah ialah orang yang melawan hukum, perintah dan menderhakai Allah sedangkan wali adalah orang yang paling taat kepada Allah.

Waliullah memang wujud dari dahulu hingga sekarang. Al-Quranul Karim, menyebut (mafhumnya):
“Ingatlah sesungguhnya wali-wali Allah itu tidak ada ketakutan ke atas mereka dan tidak pula mereka itu berdukacita.

“Wali-wali Allah itu (adalah) orang yang sungguh-sungguh beriman kepada Allah dan mereka bertaqwa kepada Allah SWT. (Surah Yunus, ayat 62 dan 63 ).

Dalam tafsir yang muktabar seperi Tafsir al-Qurtubi dan Tafsir al-Maraaghi, ketika menghuraikan ayat ini menyebut bahawa wali-wali Allah adalah orang-orang yang ikhlas mematuhi perintah Allah dan berserah diri kepadanya, tanpa mensyirikkannya tanpa sesuatu apapun. Mereka mengasihi-Nya dengan sebenar-benar kasih dan mentaati-Nya dengan sepenuh ketaatan.

Ali bin Abi Talib (karammallahu wajhah), bersabit dengan ayat di atas menyebutkan, “Wali-wali Allah adalah orang yang kelihatan pucat-pucat muka mereka kerana banyak beribadat, mata-mata mereka kuyu dan layu kerana banyak berjaga malam untuk beribadah, perut-perut mereka cerut dan kempis kerana banyak berpuasa dan kurang makan.” Itulah gambaran waliullah oleh Ali.

Merujuk kepada ayat ini, Umar bin al-Khattab (r.a) pernah berkata, “Saya pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, ‘ada di antara manusia, adalah menjadi hamba-hamba-Nya yang sebenar. Mereka bukan para Nabi dan bukan juga para Syuhada, tetapi amat disegani oleh para Nabi dan Syuhada di hari Kiamat kerana makam mereka amat istimewa disisi Allah pada hari tersebut.

“Lalu ditanya kepada Rasulullah s.a.w siapakah mereka dan apa amalan mereka, semoga kami boleh mencontohi dan mengasihi mereka, lalu Rasulullah bersabda, ‘mereka adalah kaum yang berkasih sayang kerana Allah, tanpa ada hubungan darah dan harta benda yang mengikat mereka, muka mereka bercahaya indah dalam kilauan cahaya dalam cahaya, mereka tidak takut ketika sekelian insan takut dengan azab Allah, mereka tidak berdukacita ketika insan sekelian berdukacita kerana takut kemurkaan Allah SWT.” Lalu Nabi membaca dua-dua ayat dari Surah Yunus tadi.

Itulah gambaran waliullah yang disebut banyak kali oleh al-Quran. Dalam hadis yang sahih, Nabi pernah menyebut perkataan wali dengan jelas yang mafhumnya, “Barangsiapa yang memusuhi wali-wali aku, maka sesungguhnya dia mengisytiharkan perang dengan aku dan aku benarkan wali aku memerangi mereka. (Hadis Qudsi).

Waliullah, disemuapakati oleh ilmuan Islam yang terbilang, terdiri dari para Rasul (tanpa khilaf), kerana merekalah yang paling hampir kepada Allah, paling cinta dan mematuhi perintah Allah. Wailullah adalah orang yang makam mereka amat tinggi disisi Allah. Mereka disebut sebagai muqarrabuun.

Firman Allah (mafhumnya), ” Dan orang-orang paling dahulu beriman, mereka yang paling dahulu masuk syurga. Mereka itulah yang paling tinggi makamnya (disisi Allah). Mereka di tempatkan di syurga-syurga yang penuh dengan kenikmatan. Dahulunya berbondong-bondong begitu ramah. Dan yang mutakhir ini amat berkurangan.”
(Surah al-Waqiah ayat 10-14).

Maksud muqarrabuun adalah orang-orang yang berlumba-lumba melakukan kebaikan di atas perintah Allah SWT, mereka itulah auliya Allah. Mereka wujud dari dahulu hingga sekarang. Dahulunya ramai,. sekarang ini amat berkurangan.

Apa yang penting, waliullah adalah orang yang amat istimewa disisi Allah SWT.

No comments: