Setelah seminggu hingga 2 minggu ini memerhati dan meneliti kes Kartika, rupanya lebih banyak rahmat muncul. Saya agak kabur juga berkenaan hukum Islam berkaitan dengan kesalahan meminum arak. Rupa-rupanya sebelum undang-undang ini dilaksanakan, penjualan arak secara berleluasa haruslah diharamkan terlebih dahulu kepada semua orang Islam. Barulah hukum itu boleh dilaksanakan.
Allahyarham Prof Ahmad Ibrahim pernah berkata hukum sebat mahkamah sivil ibarat dipukul dengan besi dan kemudian dipukul dengan rotan jadi sangat kejam, ganas dan tidak berperikemanusiaan. Sesiapa yang pernah melihat hukuman sebat sivil, boelh sampai hilang selera makan daging. Saya pernah melihat sebatan sehingga 20 kali sebatan. Daging terkoyak seawal sebatan ke 4 lagi. Pesalah hanya mengeluarkan kata-kata "Allahuakbar" berulang kali. Sampai ke sebatan 9, langsung tiada kedengaran suara pesalah. Hancur daging punggung sehingga tidak boleh berjalan sendiri lagi. Khabarnya sebulan dua memang pesalah tak boleh tidur terlentang seperti biasa.
Sebenarnya menurut hukum syariah, orang yang disebat perlu berpakaian (berlapik), mesti menutup aurat dan sebatannya tidak boleh di satu tempat sahaja. Rotannya tidak boleh besar dan apabila sebat dilaksanakan tukang sebat tidak boleh mengangkat tangan lebih dari paras bahu (menampakkan ketiak). Sebat dalam Islam ini bukan untuk menyakitkan tetapi sebagai hukuman disiplin seperti ibubapa memukul anak. Lebih kepada mendidik dari menyeksa.
Ini dibuktikan dengan mengikut cara perlaksanaan telah diperincikan dengan jelas sekali di dalam Seksyen 125(2) dan (3) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Pahang 2002. Menurut peruntukan ini, alat sebatan yang digunakan hendaklah diperbuat dari rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 m dan tebalnya tidak melebihi 1.25 cm. Jika pesalah itu hamil, hukuman hendaklah dilaksanakan selepas 2 bulan dia melahirkan anaknya. Hukuman perlu dilaksanakan di depan pegawai perubatan dengan tidak boleh terkena muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit. Jika membahayakan nyawa ketika sebatan, pegawai perubatan boleh menangguhkan hukuman sehingga pesalah sihat kembali.
Hukuman sebat bagi meminum arak sebanyak 40 kali dan sekiranya seseorang itu melakukan perbuatan tersebut berulangkali ia dikenakan sebat tidak lebih daripada 80 kali.
Oleh itu, ingatan tulus dari saya. Sekiranya kita agak kabur berkenaan hukum dari Allah, lebih baik diam dari bercakap. Risau apa yang kita ucapkan sedikit mencabar hukum Tuhan. Fikirlah sedalamnya.
No comments:
Post a Comment