Oleh Nor Hatina Shuib
hatina@bharian.com.my
2012/05/01
PENGACARA TV Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2011), Razizan Razak di masukkan ke wad sejak Ahad lalu di sebuah pusat perubatan di ibu negara kerana mengalami radang otot atau acute myositis yang menyebabkan tubuhnya lemah.Ketika itu, Razizan atau Zizan sedang bersiap sedia untuk bertolak ke Ipoh bagi menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengacara Melodi yang disiarkan secara langsung sempena Karnival Jom Heboh.
Di atas nasihat doktor, aktiviti seninya akan dihentikan buat masa ini dan bergantung kepada tahap kecergasan Zizan. - Marina Juki, Pengurus Zizan
Bagaimanapun, melihat kepada keadaannya yang kurang bermaya, Zizan dibawa menjalani ujian darah sebanyak dua kali dan doktor mengesahkan pengacara dan pelakon ini mengalami radang otot.Susulan itu, dia diberikan protein, vitamin dan antibiotik bagi memulihkan tenaganya.
Pengurusnya, Marina Juki berkata, doktor yang merawat Zizan juga turut menasihat artis komedi ini berehat sementara waktu dari sebarang aktiviti seni sekurang-kurangnya selama dua minggu bagi memastikan keadaan tenaganya benar-benar pulih.
Menurutnya, sebelum dimasukkan ke hospital lagi, Zizan berada dalam keadaan kurang sihat seperti batuk berpanjangan dan sakit-sakit badan.
“Dia memang tak duduk diam. Mungkin sebab itulah dia keletihan. Malahan pada Sabtu lalu (26 April), Zizan sempat memenuhi permintaan sebuah syarikat permotoran untuk melakukan acara promosi.
“Zizan dan Aaron Aziz adalah duta produk M7 milik syarikat itu. Pada hari itu, Zizan masih mampu memandu kereta drift. Bukan untuk sebarang penggambaran pun, tapi sekadar suka-suka.
“Hanya selepas itu, apabila kami hendak bersiap sedia bertolak ke Ipoh, Zizan mengadu sakit dada dan sakit belakang. Batuknya sejak lebih seminggu lalu tak juga sembuh. Ini membuatkan kami membuat keputusan untuk membawanya ke hospital,” katanya kepada Hip.
Tambah Marina lagi, doktor mengakui antara faktor Zizan mengalami keradangan otot kerana masa rehat yang tidak mencukupi.
“Di atas nasihat doktor, aktiviti seninya akan dihentikan buat masa ini dan bergantung kepada tahap kecergasan Zizan sendiri. Dia juga amat berterima kasih kepada penyokong dan sahabat yang mendoakan kesihatannya menerusi laman sosial seperti facebook mahupun Twitter selepas mendapat khabar berita berkenaan tahap kesihatannya yang lemah.
“Zizan sendiri tidak menyangka akan ditahan wad selama beberapa hari dan akan kembali aktif setelah sihat sepenuhnya selepas ini. Bagaimanapun, keadaannya sekarang semakin baik. Raut wajahnya juga nampak lebih segar dan lebih bermaya,” katanya.
Katanya lagi, Zizan yang sebelum ini sibuk menjalani penggambaran filem Tokan akan berehat selama beberapa hari sebelum menghabiskan baki penggambaran kira-kira 10 hari lagi manakala keputusan sama ada mahu membabitkan diri dalam program terbitan Astro, Superspontan hanya akan diketahui setelah menerima laporan kesihatan daripada pihak hospital yang dijangkakan dikeluarkan esok.
“Kalau boleh kami memang kami hendak memohon cuti daripada Astro supaya memberi peluang kepada Zizan untuk berehat secukupnya. Ini berdasarkan nasihat doktor yang mahu Zizan berehat terlebih dahulu sekurang-kurangnya seminggu.
“Bagaimanapun, itu terpulanglah kepada pihak pengurusan Astro untuk menentukannya,” katanya.
Pengurus Saluran Astro Warna, Nizam Sani ketika dihubungi mengenai kedudukan pelawak itu dalam Superspontan memberitahu, segala keputusan sama ada Zizan akan meneruskan program itu atau tidak hanya dapat diketahui selepas menerima laporan kesihatan daripada doktor, esok.
“Apapun, kita tunggu keputusan kesihatan daripada doktor beberapa hari lagi dan pihak Astro masih menunggu laporan kesihatan penuh yang mengesahkan samada Zizan sudah stabil atau tidak.
“Kami juga sudah menjenguk Zizan dan setakat ini dia semakin pulih. Sebenarnya, Zizan perlukan rehat yang mencukupi dan dia sangat penat dengan tugasannya,” katanya.
Nizam, berkata pihak Astro juga akan berbincang terus dengan Zizan berkenaan kedudukannya dalam Superspontan itu kerana apa yang paling penting dan diutamakan pihaknya adalah kesihatan Zizan.
“Kita akan bincang dengan Zizan sendiri dan setakat ini kita tidak boleh memberi sebarang jawapan dan perbincangan itu nanti akan turut membabitkan Afdlin Shauki. Keutamaan pihak kita adalah Zizan,” katanya.
No comments:
Post a Comment