Friday, January 4, 2013

Pattani Raya dan Era Kejatuhan Pattani



Peta Patani Raya

Pattani Raya 

Patani Raya ialah persekutuan Patani Besar yang ditubuhkan setelah lenyapnya nama Empayar Langkasuka dan Empayar Chermin. Kawasan pemerintahannya meliputi sempadan Patani-Singgora (Tiba), Patani-Satun, Kedah, Gerik di Perak, seluruh Kelantan dan seluruh Terenganu. Kerajaan Patani Besar ini bermula sebelum atau pada 1350 Masehi sehinggalah kejatuhannya pada tahun 1785. Ini bermakna Patani Raya itu telah wujud selama lebih 400 tahun, manakala jika dihitung kesinambungannya dengan Empayar Langkasuka, ianya telah wujud selama 1,600 tahun sebelum dijajah oleh Siam.

satu catatan Inggeris dan Belanda yang menyebut: Antara tahun 1409 dan 1457, Melaka dan Patani merupakan kuasa terbesar di Tanah Melayu telah menerima Islam sepenuhnya. Gambaran yang diberikan seolah-olah ketika itu Patani dan Melaka adalah dua kuasa yang berasingan. Kedua-dua buah kuasa besar Melayu ini adalah bersaudara dan saling bertolongan apabila menghadapi sesuatu musibah. Banyak bukti sejarah menyokong fakta tersebut. Kemudian apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis, tinggalah Patani yang menjadi kuasa dagang serta pusat dagang terbesar di Nusantara. Hal inilah yang menyebabkan Siam begitu bernafsu untuk menakluk Patani. Selain itu Patani adalah pusat Islam yang menjadi tumpuan termasuk Arab, pengaruh Patani dikhuatiri akan menyebabkan Empayar Islam Uthmaniyyah yang berpusat di Turki ketika itu menghulurkan bantuan membebaskan umat Islam di Tanah Melayu.


Era Kejatuhan Pattani

Patani semasa pemerintahan Raja Bakar, Raja Mas Kelantan dan Raja Dewi Perachu (Nang Chayang) selama 30 iaitu dari tahun 1688 sehingga 1718, sangat tenang dan aman tidak pernah diserang oleh musuh, terutamanya Siam. Ketika ini, penyebaran Islam serta segala urusan dakwah dapat dijalankan dengan sempurna. Pendakwah dari Arab, Kemboja, India, Aceh, Palembang, Jawa dan lain-lain bebas keluar masuk ke Patani tanpa sebarang sekatan. Islam di Patani sangatlah subur sesuailah dengan jolokan, Patani Chermin Mekah bagi mengambil alih peranan Aceh Serambi Mekah, yang pernah menjadi pusat penyebaran Islam di Nusantara zaman sebelumnya.

Semasa Patani di bawah pemerintahan Raja Long Nuh (1749 – 1771), maka bermula kekeruhan yang dimulakan oleh Siam. Dalam tahun 1769, Siam telah melancarkan serangan besar-besar terhadap negeri Ligor, Singgora dan Pathalung. Negeri-negeri ini adalah antara beberapa buah negeri kecil di Segenting Kra yang mengisytiharkan negeri mereka bebas semasa Siam Ayuthia telah ditawan dan diperintah oleh Burma pada tahun 1767 sehingga 1782.

(Nota: Siam telah melakukan pembohongan nyata bahawa negaranya bebas dari penjajahan, sedangkan ia telah dijajah oleh Burma selama 15 tahun (1767 – 1782). Selain itu rakyatnya tidak juga tiada kebebasan terutama umat Melayu-Islam yang ditindas selama ratusan tahun.)

Raja Ligor yang diserang itu telah melarikan diri ke Singgora. Bagaimana pun setelah Siam diburu, Raja Ligor, Raja Singgora dan Raja Pathalung bersama kaum kerabat telah melarikan diri ke Patani. Siam tetap memburu mereka sehinggalah ke Tiba, iaitu sempadan Patani-Songkhla. Di Patani ketiga-tiga orang raja itu memohon perlindungan dengan Raja Long Nuh. Raja Muda Siam menghantar utusan kepada Raja Long Nuh supaya menyerahkan semula raja-raja berkenaan. Disamping itu, Siam telah mengatur rencana untuk menyerang Patani sekiranya tuntuntan mereka tidak dipenuhi. Hasil mesyuarat Raja Long Nuh dan pembesar Patani, mereka bersepakat untuk menghantar raja-raja tersebut kepada Siam kerana negeri-negeri tersebut tidak lagi mempunyai kaitan dengan Patani. Selain itu, pada masa dahulu mereka juga pernah bersekongkol dengan Siam.

Akhirnya Patani jatuh dalam serangan besar-besar dalam tahun 1785, apabila Sultan Muhammad (1774 – 1785) telah mangkat di medan pertempuran dalam menghadapi serangan Siam.


Setelah melakukan segala macam kemusnahan di Patani termasuk membakar Istana Chabang Tiga, Raja Muda Siam telah menjalankan undang-undang penakluk terhadap Patani. Sebelum meninggalkan Patani, seorang dari keturunan Raja Patani asal yang tinggal di Bendang Badang, telah dilantik untuk menjadi boneka atau raja patung untuk meneruskan agenda melemahkan rakyat Patani. Inilah kali pertama dalam sejarah Patani bahawa seorang raja yang bukan dilantik oleh pembesar serta ulama Patani sendiri. Tengku Lamidin (1786 – 1791) telah diangkat oleh Raja Muda Siam sebagai Raja Patani itu kemudian membaiki Kota Istana. Kemudian mengumpulkan semula rakyat Patani yang melarikan diri untuk hidup aman di Patani.


Tengku Lamidin selepas itu melantik seorang pembesar bergelar Datuk Pengkalan yang tinggal di Kampung Pengkalan Besar, sebagai pemerintah di Kota Gerisik. Sedangkan Tengku Lamidin telah membina istana baru di Kota Perawan dan menjalankan urusan pentadbiran di sana.

Sungguh pun Tengku Lamidin dilantik oleh Siam sebagai Raja Patani, tetapi hati baginda tetap cintakan bumi kelahirannya serta berasa sedih atas kekejaman Siam terhadap rakyatnya. Baginda sentiasa berazam untuk membebaskan Patani dari kongkongan dan penaklukan Siam tersebut dan menunggu peluangnya sahaja untuk menzahirkannya.

Dalam tahun 1789, Tengku Lamidin telah menghantar surat kepada Raja Annam (Vietam), untuk bersatu menentang Siam. Rancangannya ialah supaya Vietnam menyerang Siam dari arah utara manakala Patani akan melancarkan serangan dari arah selatan. Bagaimana pun surat tersebut telah jatuh kepada tangan Raja Rama I, Raja Siam (1768 – 1782), di Bangkok.

Raja Siam telah menghantar panglimanya bernama Phraya Kalahum untuk menangkap Raja Patani itu. Terlebih dahulu Tengku Lamidin telah bersedia dengan tentera dan rakyat Patani menyerang dan menghalau orang Siam di Tiba seterusnya ke Cenak dan akhirnya sampai ke Singgora. Di Singgora telah berlaku penentangan sengit oleh orang Siam selama beberapa hari di Kampung Bukit Anak Gajah.

Serangan tentera Patani sehingga ke Singgora itu telah diketahui oleh Raja Siam Ligor lalu menghantar bantuan tenteranya ke Singgora. Namun asakan tentera Patani di bawah pimpinan Tengku Lamidin tidak dapat ditahan oleh tentera Singgora dan Ligor menyebabkan mereka terpaksa berundur ke Pathalung. Namun tentera Patani terus memburu tentera Siam itu sehingga berlaku pula peperangan hebat di Pathalung.

Dalam keadaan kesempitan di pihak Siam ketika itu, maka angkatan Siam dari Bangkok yang diketuai oleh Phraya Kalahum tiba dan bergabung dengan tentera Siam Ligor dan Siam Singgora. Gabungan tentera Siam itu hanya mampu menahan asakan tentera Patani tanpa mampu melakukan serangan balas.

Memandangkan perjalanan perang jauh serta tempoh peperangan yang mengambil masa yang panjang, menyebabkan tentera Patani keletihan walaupun semangat juang mereka masih tinggi. Atas beberapa sebab lain lagi, maka Tengku Lamidin telah mengambil keputusan untuk berundur serta bertahan di Patani. Namun langkah yang diambil oleh Tengku Lamidin itu telah memberi peluang kepada Siam untuk menyusun serangan balas. Mereka mengekori tentera Patani sehinggalah ke Kota Perawan.

Di Kota Perawan, tentera Patani menunggu serangan balas tanpa menyedari bahawa Siam telah dapat mengumpul semula kekuatan dan berpecah kepada tiga kumpulan besar. Kumpulan tentera Siam ini mengepung Kota Perawan serta menghalang perhubungan pasukan bantuan tentera Patani dari luar kota. Serangan hebat serentak dilakukan dan akhirnya pertahanan Patani menjadi lemah. Maka pada tahun 1791, Kota Perawan berjaya dirampas oleh Siam dan Tengku Lamidin telah ditangkap dan dihukum bunuh. Orang Melayu yang berada di dalam kota yang berjaya ditangkap turut dibunuh serta harta benda mereka dirampas atau dimusnahkan.

No comments: