Tuesday, January 15, 2013

Iskandar - `Tanah sendiri dimiliki orang asing’



Masa depan hak ekuiti masyarakat Melayu Johor kini didakwa semakin merosot dan jurang perbezaan prestasi ekonominya kian membesar akibat lambakan pelabur asing masuk ke negeri itu.

Kebimbangan itu dinyatakan wakil agensi kerajaan, perwakilan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPPMM) dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam satu resolusi Kongres Ekonomi Melayu Peringkat Zon Selatan.

Presiden DPMM, Syed Ali Alattas ketika membentangkan resolusi yang dicapai pada 6 Januari lalu itu berkata, kongres turut kesal dengan isu hak milik tanah orang Melayu Johor apabila tanah kerajaan diswastakan tanpa mengira harga dan mudaratnya kepada bangsa Melayu serta rakyat Johor keseluruhannya.
Syed Ali berkata, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Johor akan ditentukan daripada projek pembangunan Iskandar Malaysia di mana 80 peratus daripadanya dikuasai pelabur asing.
“Projek Iskandar memundur dan meminggirkan orang Melayu dari segi ekonomi sekaligus meningkatkan jurang kemiskinan,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini hari ini.
Katanya, pendapatan perkapita penduduk Johor juga semakin rendah apabila kebanyakan masyarakat Melayu kini tidak mampu lagi membeli rumah di sekitar kawasan Iskandar.
`Tanah sendiri dimiliki orang asing’

“Bayangkan rumah dengan keluasan 1,300 kaki persegi kini mencecah RM1 juta. Individu yang bergaji RM5,000 pun tak mampu membelinya kerana bank hanya membenarkan pinjaman sehingga RM200,000 sahaja.
“Lebih teruk tanah sendiri dimiliki orang asing…ini situasi merbahaya yang dihadapi penduduk Johor,” katanya.
Koridor pembangunan yang dimiliki Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan terletak di Selatan Johor itu mempunyai keluasan kira-kira 500,000 ekar, kira-kira tiga kali ganda keluasan Singapura.
Sehubungan itu, Kongres itu mencapai satu resolusi mahu mendesak kerajaan memperuntukkan 30 peratus (24,000 ekar) Nusajaya kepada orang Melayu.
Selain itu, kongres turut meminta Jambatan Selat Tebrau yang dikenali sebagai ‘Jambatan Bengkok’ yang terbengkalai diteruskan semula.
“Rugi kalau jambatan yang dibina dengan kos RM700 juta itu terbiar. Kalau tambah modal RM700 juta lagi boleh selesai,” katanya.
Kongres itu juga mengambil ketetapan untuk menggunakan status Melayu, dan bukan lagi Bumiputera bagi mengelakkan daripada penyelewengan dan kekeliruan kepada status ‘Bumiputera’ dimanipulasi oleh pihak lain demi keuntungan pihak tertentu.
Iskandar Malaysia adalah idea bekas perdana menteri, Abdullah Badawi kununnya mahu memajukan sektor hartanah milik orang Melayu namun akibat terlalu tunduk kepada desakan Singapura ia kini menjadi 'Woodlands kedua' secara tak langsung sejak 2006.
Malah pada 22 Jun 2008, beberapa bulan selepas BN kalah teruk dalam pilihanraya umum lalu, satu mesyuarat tertutup diadakan di PWTC dan usul dari seorang ketua cawangan menuntut Pak Lah segera melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri mendapat sorakan kuat dari para hadirin. 
Alasan mereka adalah sukar untuk ahli-ahli Umno akar umbi mempertahankan Pak Lah dari dikritik oleh rakyat Johor.

Isu-isu lain yang begitu lantang disuarakan adalah isu kenaikan harga barang yang tidak dapat kawal oleh kerajaan, isu pemencilan orang-orang Melayu Johor di Iskandar Malaysia, dan isu ketuanan dan hak-hak masyarakat Melayu di Iskandar Malaysia.

No comments: