Sunday, January 6, 2013

Selingkar Kisah Highland Tower



HighlandTower_incident 1993
Salam peeps and hope it’s not too late to wish you a happy new year!

Tahun baru ni ada beberapa peristiwa yang berlaku, seperti kanak-kanak mencabul orang dewasa di Melaka, kematian mangsa rogol di New Delhi dan yang terbaru di UPM ialah tanah runtuh di blok L2, Kolej Serumpun.

Nampak macam tahun baru ni diselubungi tragedi pulak.

Yang menarik perhatian saya (baca tajuk entry ni pun dah tahu) ialah mengenai tanah runtuh. Kalau bercakap tentang tanah runtuh di Malaysia, kes yang paling popular ialah Highland Tower (1993) dan Bukit Antarabangsa (2008), yang kedua-duanya berlaku di kawasan tanah tinggi yang sama. Kedua-dua kes ini mempunyai fakta yang hampir sama, kerana kedua-duanya berlaku pada bulan Disember sewaktu musim monsoon Timur Laut. Monsoon Timur Laut membawa hujan lebat dari Laut China Selatan sepanjang bulan November hingga Mac.

Kes Highland Tower ni ialah kes yang kami sebagai student Alam Sekitar banyak kali kena belajar, dalam kelas Undang-undang Alam Sekitar, Perancangan Alam Sekitar etc etc. Semuanya mengenai teknikaliti dari aspek berbeza tentang kes ni.

Seingat saya, disebabkan kes ni, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dikuatkuasakan dengan lebih ketat, dan jugak membawa kepada penubuhan SMART (Special Malaysia Disaster Assistance and Rescue Team) iaitu satu badan keselamatan untuk menangani bencana di Malaysia.
Kes Highland Tower ni merupakan satu kes yang sangat menarik, sebab rentetan daripada bencana ni macam-macam benda berlaku, termasuklah kisah-kisah mistik di sekitar blok 2 dan 3 apatment yang ditinggalkan setelah runtuhnya blok 1 Highland Tower, dan jugak mengenai sikap manusia terhadap alam sekitar.

Sebelum kejadian

Highland Tower merupakan apartment 3 blok yang dibina sekitar 1975 hingga 1978 yang terletak di Taman Hillview, Ulu Klang, Selangor. Pembinaan apartmen ini sendiri merupakan satu pencabulan terhadap Akta Pemuliharaan Tanah dan Akta Kualiti Alam Sekeliling kerana pembinaan bangunan di kawasan lereng bukit dengan kecerunan lebih 18 darjah yang merupakan kawasan sensitif alam sekitar.
Walau bagaimanapun, mungkin Highland Tower tidak akan roboh menyembah bumi sekiranya pembinaan perumahan Bukit Antarabangsa di belakangnya tidak berlaku. Bukit Antarabangsa dibina pada tahun 1991 sebagai perumahan elit yang mengakibatkan penebangan pokok-pokok di kawasan sekitar yang mendedahkan bukit itu kepada tanah runtuh.

Tambahan pula, East Creek iaitu sungai yang mengalirkan air dari bukit di Highland Tower telah dikambus dan digantikan dengan paip. Paip tersebut menjadi tersumbat daripada batu dan kayu daripada tapak pembinaan Bukit Antarabangsa mengakibatkannya pecah.

Hujan lebat selama 10 hari mengakibatkan paip tersebut tidak dapat menampung jumlah air yang melampau disertai lumpur, batu dan tanah. Sebelum kejadian, dikatakan tanda-tanda retakan dan air mengalir daripada tembok penahan di belakang apartment tersebut telahpun diperhatikan, dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya mengeluarkan notis berpindah kepada penghuni Blok 2 dan 3, namun mereka memohon perintah Mahkamah Shah Alam untuk mengenepikan notis tersebut (nampak dak angkuh tak angkuh penduduk dekat situ). Selain itu, jalanraya di sekitar blok tersebut juga telah merekah akibat gelinciran.

Kandungan air yang melampau dalam tanah menyebabkan tanah bertukar menjadi lumpur, mengakibatkan strukturnya menjadi lemah.

Lumpur tersebut akhirnya menolak tembok penahan di belakang blok 1 sehingga pecah, dan kemudiannya menolak dasar bangunan blok 1sehingga tumbang. Dikatakan berat lumpur ketika itu bersamaan dengan berat 200 kapal terbang Boeing 747.

Runtuhnya Highland Tower

Pada pukul 1.35 pm 11 Disember 1993, blok 1 apartment Highland Tower roboh menyembah bumi. Seorang bekas juruterbang Marin Amerika yang sedang bercuti di Malaysia dan menginap di rumah rakannya di Blok C Highland Tower, Bruce Aaron Mitchell (49), berjaya merakamkan gambar turutan kejadian tersebut daripada mula robohnya blok tersebut sehingga tumbang menimpa bumi.

HighlandTower05

Disebabkan kejadian berlaku pada hari Sabtu, kebanyakan penduduk tidak berada di rumah. Pasukan penyelamat tiba dari unit FRU, Persatuan Palang Merah, DBKL dan dari pasukan polis dan tentera untuk menyelamatkan mangsa.

Pada mulanya, mereka terlihat batang penyapu yang ditonjol-tonjol keluar membawa kepada penemuan pembantu rumah warga Indonesia, Umi Rashidah Khoruman, 22, dan anaknya Nur Hamidah Najib, 1 tahun 6 bulan. Selepas itu, Shizue Nakajima, 50, seorang penduduk warga Jepun juga berjaya diselamatkan namun malangnya meninggal dunia akibat kecederaannya di hospital pada malam yang sama.
Bukit Antarabangsa Highland Tower 1993
Yang menyedihkan, hanya 3 mangsa saja yang berjaya dibawa keluar hidup-hidup, dan pada hari pertama sahaja. Hari-hari berikutnya, langsung tiada mangsa yang dibawa keluar.

Tun Mahathir Mohamad yang ketika itu Perdana Menteri Malaysia, merayu kepada masyarakat antarabangsa untuk membantu Malaysia kerana ketiadaan pasukan khas untuk bencana seperti ini. Pasukan keselamatan ketika itu bingung kerana tidak mengetahui apakah prosedur yang perlu mereka lakukan untuk misi menyelamat.

Pasukan penyelamat dari Singapura, Jepun dan Perancis datang menghulurkan bantuan bersama teknologi mereka yang lebih canggih. Yang menyedihkan, mereka mendengar bunyi ketukan sehingga hari ke-8 kejadian, namun tidak dapat memastikan daripada mana punca bunyi tersebut, menyebabkan mereka tidak dapat berbuat apa-apa.

Sebaik sahaja bunyi tersebut tidak lagi kedengaran, mereka membuat keputusan tiada mangsa yang masih hidup. Dengan itu, jentera-jentera berat mula menggali dan mengorek runtuhan bangunan untuk mencari mayat. Setiap kali terlihat mayat manusia, mereka berhenti menggunakan jentera dan menggunakan tangan untuk mengangkat mayat tersebut. Antara mangsa yang meninggal dunia ialah anak Tun Musa Hitam, bekas Timbalan Perdana Menteri iaitu Carlos Abdul Rashid bersama isterinya. Bau busuk mula mencucuk hidung. Terdapat mayat yang dijumpai tangannya, tengkorak yang pecah, cebisan daging berselerakan dan mayat yang berpelukan.

mangsa-tragedi-highland-tower-1
Selepas kejadian

Kesemua mangsa yang meninggal dunia seramai 49 orang. Penghuni Blok 2 dan Blok 3 memfailkan saman kepada 10 pihak dengan menggunakan bukti bergambar daripada Bruce Aaron Mitchell, dan 10 pihak tersebut termasuk Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan pihak pemaju. Berdasarkan keputusan mahkamah, majlis perbandaran dilindungi daripada tindakan undang-undang kerana Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974. Akhirnya, kes ini diselesaikan di luar mahkamah apabila AmFinance (pemilik AmBank, pemilik hartanah) bersetuju membayar RM52 juta kepada plaintiff.

Masalah bila manusia cuba melawan kejadian alam. Pulak tu bila berlaku bencana, nak saman orang lain seolah-olah dia tak bersalah. Padahal mereka sendiri yang memilih nak duduk dekat tempat bahaya. Sama macam orang cakap, kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.

http://bedaduz2.blogspot.com/2013/01/highland-tower.html

2 comments:

Unknown said...

budak alam sekitar upm ke ni?? siapakah ini?? my senior kah??? tgh cari tentang highland tower. maklumat untuk exam undang-undang alam sekitar esok...wish me luck..

azam said...

Bukan, UPM Terengganu :p