Piala AFF: Malaysia temu Thai di separuh akhir
1 Disember 2012
MALAYSIA mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala AFF Suzuki 2012 apabila mengalahkan Indonesia 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam ini.
Kemenangan itu sekaligus meletakkan skuad Harimau Malaya di tempat kedua dalam Kumpulan B dengan enam mata di belakang Singapura, yang turut mengutip enam mata tetapi dibezakan oleh jumlah jaringan, selepas pasukan tersebut mengalahkan Laos 4-3 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Shah Alam.
Sebagai naib juara kumpulan B, anak buah Datuk K. Rajagobal bakal berdepan Thailand yang muncul juara Kumpulan A di separuh akhir yang akan berlangsung di sini pada 9 Disember dan di Bangkok pada 13 Disember.
Manakala satu lagi separuh akhir adalah antara Singapura menentang naib juara Kumpulan A, Filipina pada 8 dan 12 Disember.
Pada perlawanan malam ini, sebaik permainan bermula Indonesia lebih agresif dengan beberapa percubaan berbahaya dan seawal minit ketiga, kubu skuad Harimau Malaya diuji namun rembatan Samsul Arif Munip dari luar kotak penalti sedikit tersasar dari pintu gol.
Tiga minit kemudian, benteng pertahanan skuad negara sekali lagi diuji tetapi tindakan pantas penjaga gol Malaysia Mohd Farizal Marlias berjaya menafikan percubaan pemain tengah Indonesia, Taufiq.
Hasil serangan balas, skuad Garuda hampir berada di depan pada minit ke-17 namun percubaan Irfan Bachdim dalam kotak penalti berjaya ditepis keluar Mohd Farizal.
Peluang pertama Harimau Malaya hanya hadir pada minit ke-19 menerusi tandukan Mohd Safee Sali yang berjaya ditampan keluar penjaga gol Indonesia, Wahyu Tri Nugroho.
Percubaan itu ternyata mengubah corak permainan anak didik Rajagobal untuk beraksi cemerlang dan usaha mereka berhasil pada minit ke-26 apabila hantaran Mahali Jasuli berjaya disempurnakan Azammuddin Mohd Akil.
Tiga minit kemudian, Mahali memastikan namanya dalam senarai penjaring apabila berjaya mengelecek pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan deras dalam kotak penalti untuk gol kedua Harimau Malaya.
Ketinggalan dua gol, Indonesia membuat pertukaran mengeluarkan ketua pasukan Elie Aiboy dan memasukkan Andik Vermansah, yang juga dikenali 'Messi Indonesia' namun benteng pertahanan Harimau Malaya kukuh bagi memastikan kedudukan itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Sebaik permainan bersambung, Indonesia terus mengasak benteng pertahanan skuad Harimau Malaya namun percubaan mereka hanya sia-sia.
Sebaliknya, Malaysia hampir menambah jaringan pada minit ke-50 namun tandukan Mohd Safee berjaya ditolak keluar penjaga gol Indonesia.
Mohd Safee sekali lagi menguji benteng pertahanan Indonesia pada minit ke-73 namun kuisannya gagal disambar rakan sepasukan untuk kedudukan tersebut kekal sehingga wisel penamat.
Di Shah Alam, seperti diramal Singapura berjaya mengutip tiga mata penuh hasil kemenangan ke atas Laos.
Bagaimanapun, Laos bermula garang apabila berjaya memecah kebuntuan menerusi jaringan Khampheng Sayavutthi pada minit ke-21 dan Keoviengphet Liththideth menggandakan jaringan pada minit ke-40.
Namun, kegembiraan Laos tidak kekal lama apabila skuad bimbingan Radojko Avramovic bangkit untuk menjaringkan empat gol menerusi Mohammad Shahril Ishak pada minit ke-45 dan ke-53, Khairul Amri(minit ke-64) dan Fazrul Nawaz (minit ke-66).
Pada minit ke-82, Laos berjaya merapatkan kedudukan menerusi sepakan penalti Khampheng Sayavutthi. - Bernama
No comments:
Post a Comment