Thursday, February 28, 2013

Cukai kenderaan CBU Jepun turun


Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mengumumkan penurunan cukai import kenderaan dipasang sepenuhnya (CBU) dari Jepun, hari ini.


Sumber berkata, penurunan cukai itu akan berkuat kuasa tahun ini dan akan dibuat secara beransur-ansur sehingga 2016. 

“Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed akan mengumumkan beberapa dasar baru di bawah Program Penurunan Harga Kereta, bagi merangsangkan lagi industri automotif tempatan. 


“Apa paling menarik adalah, kerajaan akan menurunkan cukai kenderaan CBU diimport, khususnya dari Jepun bermula tahun ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah peratusan penurunan yang bakal diturunkan kerajaan.

Ketika ini, semua kenderaan CBU dikenakan cukai import pada kadar 30 peratus.

Pengurangan cukai itu akan membolehkan lebih banyak syarikat seperti DRB-HICOM Bhd, antara pengedar kenderaan CBU dari Jepun, dapat menawarkan kenderaan pada harga yang amat baik. 
Mustapa ketika ditemui selepas taklimat media InvestKL di Putrajaya, semalam mengesahkan kerajaan akan mengurangkan harga kereta bukan saja dari Jepun, malah termasuk dari Australia.

Beliau berkata, langkah itu bersandar pada pengecualian cukai hasil Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan kedua-dua negara yang dilaksanakan dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

“Ia bakal mengurangkan harga kereta dari kedua-dua negara seterusnya mewujudkan persaingan positif antara pengeluar kereta asing di negara ini. Butiran lanjut akan diumumkan dalam sidang media esok (hari ini),” katanya.

MITI mengadakan sidang media mengenai Program Pengurangan Harga Kereta (CPR) bersama syarikat pengeluar kenderaan (OEM) hari ini.

Pengumuman akan dibuat itu adalah khabar gembira kepada rakyat tempatan memandangkan kereta keluaran Jepun khususnya seperti Toyota dan Honda adalah antara peneraju pasaran automotif dalam segmen kereta bukan nasional.

No comments: