Piya (kanan) menjalani latihan  di Padang Mardi  semalam. - Foto Fathil AsriPiya (kanan) menjalani latihan di Padang Mardi semalam. - Foto Fathil Asri
Kota Bharu: Kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi hairan dengan dakwaan pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Seri Subahan Kamal bahawa dia pernah menolak tawaran mewakili Harimau Malaya sedangkan dirinya tidak pernah menerima panggilan. 

Mohd Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya menegaskan dia hanya pernah sekali dipanggil oleh jurulatih Harimau Muda A Ong Kim Swee ketika perlawanan persahabatan dengan kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea, pada Julai 2011. 
“Bagaimana, saya hendak menolak tawaran mewakili negara sedangkan saya tidak pernah dipanggil jurulatih. 


“Cuma sekali saja saya dipanggil untuk menyarung jersi kebangsaan ketika perlawanan persahabatan dengan Chelsea bersama rakan sepasukan lain seperti Daudsu Jamaluddin dan S Subramaniam. Selepas aksi itu, saya tidak lagi mendapat tawaran,” katanya ketika dihubungi, semalam. 

Sedia sarung jersi kebangsaan 

Sebelum ini, Subahan mendakwa Piya pernah dipanggil untuk mewakili negara, namun menolak tawaran berkenaan menyebabkan pemain berusia 30 tahun itu tidak lagi dipanggil jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal. 

Menurut Subahan, Piya ada dalam senarai 34 pemain bagi kempen kelayakan Piala Asia 2015 menentang Qatar di Doha, 6 Februari lalu, tetapi terpaksa diketepikan untuk memberi laluan kepada Mohd Amri Yahyah yang dipanggil pada saat akhir. 
“Tiada pemain yang akan menolak tawaran beraksi untuk skuad negara. Begitu juga saya yang sentiasa bersedia membantu skuad kebangsaan jika diberi peluang,” kata Piya