Wednesday, February 20, 2013
LITAR MOTORSIKAL DIBINA TAHUN DEPAN DI TERENGGANU...
Sumber dari Sinar Harian
KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri meneruskan hasrat untuk membina sebuah litar perlumbaan motosikal bernilai kira-kira RM30 juta pada tahun depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kos bagi pembinaan litar seluas 12.14 hektar itu akan dimasukkan dalam belanjawan negeri 2014 yang akan dibentangkan pada Disember ini.
Menurutnya, dengan adanya litar berkenaan, ia secara tidak langsung dapat mengurangkan kegiatan rempit serta dapat mengasah bakat baru dalam sukan pemotoran.
“Kita masih mengenal pasti lokasi yang bersesuaian iaitu di sekitar Kuala Terengganu termasuk satu kawasan di Gong Badak, di Batu Rakit dan Lembah Bidong di Setiu. Ada cadangan supaya ia dibina di Kuala Berang, Hulu Terengganu dan tanah sudah ada.
“Namun, jaraknya agak jauh dari sini, kita merasakan lokasinya tidak begitu sesuai. Malah, ada juga yang mencadangkan ia dibina di Bukit Kor, Marang tetapi kawasan tidak begitu sesuai sebab ‘overlapping’ (berbukit) dan memerlukan kos yang lebih tinggi jika dibina di situ,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media semasa Majlis Santai Menteri Besar Bersama Skuad Sukarelawan Bermotor di Kediaman Seri Iman, Batu Burok, di sini, malam semalam.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah, Pengerusi Urus Setia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Datuk Wira Ayub Yaakob, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat dan Presiden Pertubuhan Permotoran Bersatu Malaysia (Rider United), Wazi Abdul Hamid.
Pada majlis itu, lebih 1,500 Skuad Sukarelawan Bermotor termasuk Kelab Motor 69,71 dan 99 serta dimeriahkan dengan kehadiran ikon Riders United seperti Zizan Razak, Intan Ladyana dan Sari Yanti.
Ahmad berkata, kompleks itu akan dibina mengikut spesifikasi litar bertaraf profesional itu membolehkan peminat sukan khususnya golongan muda membuktikan kebolehan mereka di lapangan sebenar.
“Saya berharap akan lahir anak Terengganu yang mampu pergi jauh dalam bidang berkenaan kerana litar khas itu akan diselia oleh tenaga pengajar profesional yang akan mengawal aktiviti di samping mengatur program untuk pengguna litar.
“Terengganu berjaya lahirkan pasukan lumba basikal profesional iaitu Terengganu Pro Cycling Team (TSG) dan tidak mustahil akan muncul ikon sukan pemotoran di kalangan anak Terengganu,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden Rider United Wazi Abdul Hamid berkata pihaknya akan menjelajah ke setiap daerah di Terengganu bagi mencari bakat baru yang boleh digilap menjadi jaguh sukan itu.
Beliau yang juga bekas pelumba motosikal negara berkata, persatuan itu juga komited untuk mendidik remaja supaya lebih berhemah di jalan raya dan mengisi masa lapang dengan perkara berfaedah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment