Krisis Perlembagaan Malaysia 1988 merupakan satu siri peristiwa yang dicetuskan oleh pemilihan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada tahun 1987 yang berakhir dengan penggantungan perkhidmatan dan kemudiannya penyingkiran Ketua Hakim Negara Tun Mohamad Salleh Abas dari jawatannya yang dijamin tidak boleh dipecat oleh Perlembagaan Malaysia. Pemecatannya oleh Perdana Menteri Malaysia, Dr. Mahathir bin Mohamad telah diperlihatkan sebagai satu penyekatan terhadap kebebasan kehakiman yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia.
Campur tangan kehakiman dalam pertikaian politik
Pada tahun 1987, UMNO mengadakan pemilihan jawatan-jawatan partinya. Buat pertama kali sejak dua belas tahun yang lalu, jawatan Presidennya dicabar. Tengku Razaleigh Hamzah yang merupakan calon "Pasukan B" untuk kepresidenan mencabar Dr Mahathir daripada kem yang digelarkan "Pasukan A".[1]
Terwujud satu kempen yang amat gigih untuk mendapat sokongan daripada lebih kurang 1,500 wakil cawangan di seluruh negara yang akan memilih pegawai-pegawai parti. Penyokong-penyokong Razaleigh mengharapkan beliau akan menang, dan dalam Perhimpunan Agung UMNO tidak lama selepas pengiraan undi, terdapat khabar-khabar angin bahawa Razaleigh telah menang. Bagaimanapun, keputusan rasmi mengisytiharkan Mahathir sebagai pemenang, dengan 761 undi berbanding 718 undi untuk Razaleigh. Ghafar Baba, calon Pasukan A untuk Timbalan Presiden, menewaskan Musa Hitam daripada Pasukan B, dan Pasukan A juga memenangi 16 daripada 25 dalam Majlis Agung UMNO.[2]
Penyokong-penyokong Razaleigh berasa susah hati tentang pemilihan ini yang mereka berkeras mengatakan telah dimanipulasi. Mahathir membuat kemarahan mereka bertambah buruk apabila beliau menyingkirkan semua ahli Pasukan B daripada Kabinetnya.[3] Oleh itu, 12 orang ahli UMNO mengemukakan tuntutan mahkamah di Mahkamah Tinggi untuk memperoleh perintah mahkamah yang mengisytiharkan bahawa keputusan pemilihan tidak sah supaya dapat mengadakan pemilihan yang baru. Plaintif-plaintif itu mendakwa bahawa 78 orang wakil telah dipilih daripada cawangan-cawangan yang tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan dan oleh itu, tidak layak mengundi. Mereka juga mendakwa bahawa beberapa dokumen mengenai pemilihan itu telah "diubah". Walaupun Razaleigh bukannya antara kedua belas plaintif itu, beliau dipercayai secara meluas sebagai pembiaya dan penyelaras tuntutan mahkamah ini.[4]
Kemudian, salah satu daripada dua belas plaintif itu menarik diri (mereka kemudiannya dikenali UMNO 11), tetapi sebelas plaintif yang tinggal meneruskan tuntutan mahkamah mereka. Mahkamah Tinggi akhirnya memberikan kedua-dua pihak dua minggu untuk mencapai penyelesaian di luar mahkamah. Sebuah "Panel Perpaduan" UMNO dibentuk untuk menangani perundingan-perundingan supaya dapat bertolak ansur. Bagaimanapun, perbezaan-perbezaan antara mereka jelas sukar diselesaikan — Pasukan B mendesak untuk mengadakan pemilihan baru, manakala Pasukan A mendesak bahawa tuntutan mahkamah ditarik balik dan satu penyelesaian menutup malu dicapai untuk membenarkan sebilangan ahli daripada Pasukan B untuk mengekalkan keahlian mereka dalam parti. Akhirnya, sebelas plaintif itu mengisytiharkan bahawa mereka akan mendapat penghakiman muktamad daripada mahkamah.[5]
Ini tidak menyenangkan hati Dr. Mahathir yang pernah beberapa kali bertelingkah dengan badan kehakiman. Dalam satu peristiwa, satu perintah kerajaan yang membatalkan permit kerja untuk dua orang wartawan asing yang kritis terhadap kerajaan Mahathir telah ditolak oleh Mahkamah Agung. Mahathir memulakan bidasan-bidasan hangat terhadap badan kehakiman, dan memberitahu majalah Time, "Badan kehakiman berkata, ' Walaupun kamu meluluskan undang-undang dengan menimbangkan sesuatu, kami berfikir bahawa fikiran kamu adalah salah, dam kami hendak memberikan tafsiran sendiri.' Kalau kita tidak bersetuju, Mahkamah-mahkamah akan berkata, 'Kami akan mentafsirkan pertentangan pendapat kamu.' Kalau kami [kerajaan dan Parlimen] mengikut, kami akan hilang kuasa perundangan." [6] Mahathir juga mengecam "kambing hitam [hakim]... yang hendak... kebebasan yang keterlaluan," dan menuduh mereka kerana bermuka-muka.
Sebaik sahaja Dr. Mahathir membuat kenyataan yang terakhir ini, kerajaan menugasi semula beberapa hakim Mahkamah Tinggi ke bahagian yang lain, termasuk Hakim Harun Hashim yang sedang mendengar kes UMNO. Bagaimanapun, oleh sejak kes itu telah berlangsung, pemindahan Harun tidak akan dikuatkuasakan sehingga kes itu ditutup.[7] Oleh itu, Harun terpaksa membuat keputusan terakhir untuk kes "UMNO 11".
Walaupun kebanyakan bukti yang dikemukakan oleh "UMNO 11" tidak dipertikaikan, peguam pembela UMNO memperdebatkan bahawa semua remedi yang mungkin masih belum dihabiskan dalam UMNO. Bagaimanapun, plaintif-plaintif itu menegaskan bahawa fakta tentang sekurang-kurang 30 cawangan tak berdaftar yang menghantar wakil-wakil mereka ke pemilihan UMNO itu harus mencukupi untuk membatalkan keputusan-keputusan pemilihan. Akhirnya, Harun membuang kes itu, dan menyebut Perkara 41 dalam Akta Pertubuhan 1966 yang mengatakan bahawa mana-mana satu pertubuhan akan menjadi "tidak sah" secara automatik jika mana-mana satu cawangannya tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan. Oleh itu, Harun mengisytiharkan bahawa beliau tidak mempunyai pilihan lain kecuali untuk mengisytiharkan bahawa UMNO adalah sebuah "pertubuhan yang tidak sah" dan dengan itu, "apa yang terjadi pada tahun 1987" tidak sah di sisi undang-undang. Dalam keputusannya, Harun menyalahkan Parlimen untuk memaksakan tangannya: "Jika undang-undang lama masih wujud... [seseorang] boleh menggunakan prinsip common law tetapi pada kelihatannya, Parlimen, untuk memastikan pematuhan undang-undang yang sebenarnya, telah membuat peruntukan ini terlalu keras." [8]
Sebaik sahaja keputusan itu diumumkan, Dr. Mahathir meyakinkan ahli-ahli UMNO bahawa disebabkan keputusan ini didasarkan pada "keteknikan" yang kecil, parti UMNO boleh dipulihkan menjadi pertubuhan yang sah dengan mudah. Beliau juga memperingatkan orang ramai bahawa tarafnya sebagai Perdana Menteri tidak terancam kerana hanya undi tidak percaya yang sah boleh menyingkirkannya.[9]
Dua minggu selepas keputusan Harun, Dr. Mahathir mengumumkan pendaftaran UMNO Baru. Kepimpinan UMNO Baru hampir terdiri pada keseluruhannya daripada ahli-ahli Pasukan A yang kemudian memulakan pemindahan aset UMNO "lama" ke UMNO baru dalam bulan-bulan yang berikut.[10] UMNO 11 meneruskan kes mereka ke mahkamah yang tertinggi di dalam negara, iaitu Mahkamah Agung, untuk memulihkan status UMNO "lama" serta untuk mengadakan pemilihan baru. Bagaimanapun, rayuan mereka ditolak.[11]
Razaleigh kemudian memutuskan untuk membentuk parti baru yang menumpukan kepada "semangat 1946", iaitu tahun UMNO diasaskan.[12] UMNO Baru kemudian memutuskan bahawa perkataan "Baru" tidak diperlukan, dan menggugurkannya secara rasmi dan oleh itu, menuntut diri sebagai waris UMNO yang benar, bukannya parti Razaleigh. Akhirnya, Razaleigh menggunakan nama Semangat 46 untuk partinya yang baru.[13]
Pindaan-pindaan perlembagaan
Kes "UMNO 11" hanya merupakan salah satu daripada sebilangan kes yang menjengkelkan Dr. Mahathir dan kerajaannya. Kes terhadap dua orang wartawan yang tersebut di atas tertimbul ketika John Berthelsen dan Raphael Puramenulis sebuah siri makalah terhadap urusniaga-urusniaga kewangan yang dilaksanakan oleh pegawai-pegawai kerajaan yang diragui tidak etika dan sah. Jurnal Asian Wall Street yang menerbitkan makalah-makalah itu diharamkan dengan segera, dan Dr Mahathir selaku Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri membatalkan permit-permit kerja Berthelsen dan Pura. Bagaimanapun, Mahkamah Agung mengubah pembatalan permit kerja Berthelsen disebabkan dia tidak diberi peluang untuk menjawab tuduhan-tuduhan kerajaan. Disebabkan ini, pengharaman Jurnal Asian Wall Street juga ditarik balik.[14]
Dalam lagi satu kes, Mahkamah Agung menggunakan kuasa kajian semula kehakiman, dan membatalkan pindaan-pindaan kepada Kanun Prosedur Jenayah yang memberikan kuasa kepada Peguam Negara untuk memulakan prosiding jenayah di Mahkamah Tinggi tanpa melalui Mahkamah Majistret. Selepas Operasi Lalang pada tahun 1987 di mana kerajaan menahan beberapa penentang politik tanpa perbicaraan di bawah Akta Keselamatan Negeri (ISA), Mahkamah Tinggi meluluskan permohonan Karpal Singh untuk dibebaskan daripada tahanan disebabkan masalah teknik terhadap cara beliau ditahan.[15]
Dr Mahathir hilang sabar terhadap kes yang terakhir ini. Pada minggu yang berikut, beliau menyerahkan beberapa pindaan perlembagaan kepada Parlimen untuk melucutkan "kuasa kehakiman Persekutuan" dan hanya memberikan mereka kuasa kehakiman sebagaimana yang Parlimen inginkan. Sebagai justifikasi untuk pindaan-pindaan itu, Dr. Mahathir berkata: "...mahkamah-mahkamah telah memutuskan bahawa dalam penguatkuasaan undang-undang, mereka terikat kepada tafsiran-tafsiran sendiri dan bukannya terhadap alasan-alasan yang menyebabkan Parlimen merumuskan undang-undang ini... akhir-akhir ini, badan kehakiman telah berasa wajar untuk menyentuh perkara-perkara yang dahulu dianggap sebagai hanya dalam kuasa eksekutif." [16]
Ketua Hakim Negara untuk Mahkamah Agung, Salleh Abas, telah dipaksa oleh hakim-hakim sekerjanya untuk bertindak balas terhadap tindakan-tindakan kerajaan. Salleh memutuskan untuk mengadakan sebuah mesyuarat bagi kesemua 20 orang hakim daripada Mahkamah Agung dan Mahkamah Tinggi di ibu negara Kuala Lumpur. Dalam mesyuarat ini, mereka bersetuju untuk tidak mengumumkan jawapan mereka terhadap kritikan-kritikan Dr. Mahathir. Sebagai ganti, mereka menulis sepucuk surat sulit kepada Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu bagi mengemukakan ketidakpuasan hati mereka. Surat yang ditulis oleh Salleh Abas, dan yang dipersetujui oleh semua hakim yang hadir dengan sebulat suara, menyatakan kekecewaan hakim-hakim terhadap "berbagai-bagai komen dan tuduhan yang telah dibuat oleh Yang Berhormat Perdana Menteri terhadap Badan Kehakiman," tetapi tidak mendesak sebarang tindakan yang khusus untuk diambil — sebaliknya, surat itu hanya berakhir dengan ungkapan "harapan bahawa kesemua tuduhan yang tidak berasas itu akan dihentikan".[17]
Penggantungan jawatan dan pemecatan Salleh Abas
Pada tahun 1988, Salleh Abas dihadapkan ke timbang tara yang diadakan oleh Dr. Mahathir yang mengikut Perkara 125(3) Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri ketika itu, atas tuduhan salah lakunya. Timbang tara itu dipengerusikan oleh Tun Hamid Omar. Sebagai tindak balas terhadap timbang tara, Salleh Abas mengambil tindakan guaman dalam Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur untuk mencabar perlembagaanan timbang tara itu. Ketika meneruskan tindakan guamannya, beliau membuat permohonan untuk penggantungan sementara terhadap timbang tara sehingga 4 Julai 1988. Permohonannya ditolak.
Bagaimanapun, lima orang hakim Mahkamah Agung kemudian bersidang dan memberikan Salleh Abas perintah interlokutori terhadap timbang tara. Sebaik sahaja menerima perintah itu, peguam-peguam Salleh Abas pergi ke Parlimen untuk mengemukakan perintah interlokutori itu kepada pengerusi timbang tara. Bagaimanapun, pintu besar yang menuju ke bangunan Parliamen telah dikunci dan wakil Salleh Abas terpaksa memanggil polis untuk menjamin laluan masuk ke Parlimen. Akhirnyanya, perintah interlokutori itu dikemukakan kepada pengerusi timbang tara.
Tidak lama kemudian, kelima-lima hakim Mahkamah Agung itu digantung jawatan mereka. Daripada lima orang hakim itu, tiga orang hakim dipecat. Pemecatan ini menyebabkan Mahkamah Agung Malaysia digantung, dan oleh itu, tuntutan terhadap pengesahan timbang tara tidak dapat dibicarakan. Timbang tara kemudian memecat Salleh Abas daripada jawatannya.
Pemecatan luar aturan Salleh Abas menyebabkan Badan Peguam Malaysia enggan mengiktiraf Ketua Hakim Negara yang baru. Pada masa yang sama, Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk melucutkan "kuasa kehakiman Persekutuan" dan hanya memberikan kuasa kehakiman kepada badan kehakiman sebagaimana yang Parlimen inginkan.
Pusaka
Walaupun banyak orang daripada pihak pembangkang, termasuk juga pihak bekas kerajaan seperti Tunku Abdul Rahman, menganggap bahawa pemecatan Salleh Abas adalah sesuatu yang sangat dibenci, penyokong-penyokong Dr. Mahathir berkeras mengatakan bahawa perbuatan ini telah membebaskan badan kehakiman Malaysia daripada cara pemikiran penjajah. Pemecatan beberapa hakim itu diberikan justifikasi bahawa mereka telah menyalahgunakan wang awam untuk belanja peribadi — umpamanya, pembelian perabot mewah dari Itali. Tuntutan juga dibuat bahawa pemecatan-pemecatan itu telah menghapuskan kayu mati dan memperbaiki kecekapan mahkamah-mahkamah, seperti yang dapat diperlihatkan daripada pengurangan tunggakan kes.[18]
Kekesalan Kerajaan Malaysia
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim, pada tahun 2008 membayangkan kerajaan Malaysia akan meminta maaf kepada Tun Salleh Abas yang dipecat serta mengembalikan semula hak-hak beliau seperti pencen dan sebagainya. Dalam ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, pada malam 17 April 2008 anjuran Majlis Peguam Malaysia di hadapan lebih kurang 600 orang, mengumumkan pembayaran ex-gratia kepada Tun Salleh Abas dan lima orang lagi hakim yang terlibat secara langsung dalam kes 20 tahun lalu iaitu: Datuk George Seah, Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdul Kader, Tan Sri Azmi Kamaruddin dan Tan Sri Hamzah Mohamed Salleh.
Dalam ucapannya[19], Perdana Menteri menyentuh:
- Mengenai hakim-hakim yang dipecat dan digantung pada 1988:
"Bagi saya dan ramai lagi orang Malaysia, personaliti-personaliti tertinggi badan kehakiman ini mewakili era berbeza bagi badan kehakiman negara. Ramai yang merasakan badan kehakiman pada masa itu adalah institusi dihormati yang boleh dipercayai untuk menjalankan keadilan. Sesetengah mereka menyanjung tinggi badan kehakiman Malaysia sebagai model kepada negara lain - bebas dan boleh dipercayai."
- Mengenai kehakiman:
"Tiada satu negara boleh memanggil ia adil dan saksama tanpa mempunyai badan kehakiman yang cekap dan dipercayai. Mengenai "dipercayai", maksud saya adalah hakim menjalankan keadilan dan dilihat berlaku adil.
- Mengenai pemisahan kuasa:
"Saya boleh mengatakan dengan ikhlas yang saya patuh dan akan sentiasa mematuhi prinsip pengasingan kuasa, membiarkan perkara berkaitan keadilan kepada badan kehakiman. Badan kehakiman mestilah diperkuatkan menjadi satu institusi yang berkhidmat untuk prinsip demokratik pemisahan kuasa. Badan kehakiman hendaklah menjadi penjaga kepada Perlembagaan dan pengawal kepada hak rakyat."
- Mengenai suruhanjaya kehakiman:
"Saya dengan sukacitanya mengumumkan kepada anda sekalian pada malam ini bahawa kerajaan bercadang mewujudkan Suruhanjaya Perlantikan Hakim untuk mengenal pasti dan mencadangkan calon hakim kepada Perdana Menteri."
Ucapan Perdana Menteri mendapat pujian dari presiden Majlis Peguam yang mengatakan hakim-hakim yang dipecat sebagai hero yang menggadaikan hidup mereka dan merayu kepada Perdana Menteri untuk melihat kembali kes mereka yang ditahan di bawah ISA. Tiada kenyataan meminta maaf diucapkan tetapi hanya kekesalan.
No comments:
Post a Comment