Thursday, May 12, 2011

"Saya tukar Daulat Tuanku kepada Allahuakbar supaya pelafaznya mendapat pahala" - Sultan Kelantan



Sultan Yang Prihatin

SEJAK dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan yang ke-29 pada 13 September 2010, inilah buat pertama kalinya Sultan Muhammad V memberikan wawancara khas kepada para wartawan media cetak dan media elektronik.

Wawancara khas itu telah berlangsung di Istana Negeri, Kubang Kerian, Kota Baru pada Rabu, 4 Mei 2011 pada lebih kurang jam 5.30 petang dalam suasana penuh protokol tetapi tetap mesra.

Wawancara itu juga diadakan bersempena dengan pelancaran Yayasan Sultan Kelantan yang akan dilangsungkan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) minggu hadapan.

Sebanyak 12 wakil media termasuk dari Mingguan mStar dan The Star telah dijemput untuk menemuramah Sultan Muhammad V yang hadir segak menggenakan sut coklat muda ala Nehru.

Baginda Sultan juga sentiasa memulakan bicara dengan terlebih dahulu melafazkan Bismillahirrahmanirrahim dan Asalamualaikum kepada pertanyaan wartawan muslim dan salam sejahtera kepada wartawan bukan Islam.

Dan sebelum memulakan wawancara baginda terlebih dahulu bertanya sama ada perbualan yang akan berlangsung itu hendak menggunakan dialek Kelantan ataupun bahasa rasmi.

Sepanjang wawancara itu yang berlangsung selama lebih 45 minit, baginda hanya membahasanya dirinya sebagai ‘saya’ bukannya ‘beta’ sebagaimana lazim digunakan di dalam istana.

Berikut adalah petikan wawancara bersama Tuanku Sultan Muhammad V:

1. Perkara pertama yang terlintas di dalam fikiran sebaik sahaja menaiki takhta Kesultanan Kelantan: Perkara pertama ialah untuk memilih nama rasmi yang akan dipakai selaku Sultan iaitu Sultan Muhammad V dan perkara kedua ialah untuk menukar seruan “Daulat Tuanku” yang lazim digunakan sebelum ini kepada seruan “Allahu Akhbar”. Pada pandangan saya, inilah yang paling sesuai kerana secara tidak langsung siapa yang melafazkannya akan memperolehi pahala. Itulah yang terbaik untuk rakyat saya.

2. Mengapa memilih menggunakan gelaran Sultan Muhammad V sebagai gelaran rasmi: Kerana kalau kita tengok dalam sejarah salasilah negeri Kelantan, Sultan yang terakhir, menggunakan gelaran Sultan Muhammad Ke-IV. Jadi kalau nama saya sendiri sudah Muhammad, secara semula jadinya itulah pilihan pertama saya. Dan setelah berfikir semasak-masaknya itulah pada fikiran saya yang terbaik... Insya-Allah.

3. Bilakah akan ditabal secara rasmi selaku Sultan Kelantan: Saya fikir, bukan perkara ini tidak pernah berlaku (tidak melangsungkan upacara pertabalan). Misalnya untuk senang diterima, kita ambil dalam hal Almarhum Sultan Johor yang lepas, baginda tidak pernah ditabal walaupun menjadi Sultan Johor untuk lebih 23 tahun jika tidak silap saya. Jadi soal pertabalan ini adalah lebih kepada formaliti jika hendak dibandingkan dengan keperluan. Sebab saya fikir, ini bukan hendak glorify atau bermegah-megah atau hendak membesar-besarkan diri kita sendiri tetapi ini lebih soal tanggungjawab. (Nota: Untuk makluman pembaca, Sultan Muhammad telah dimasyurkan secara rasmi pada 13 September 2010 sebagaimana yang dituntut oleh perlembagaan negeri. Soal pertabalan hanyalah merupakan satu adat yang terpulang kepada Sultan sama ada ingin menyegerakannya atau mengadakannya pada satu tarikh yang difikirkan sesuai.)

4. Tentang hubungan dengan ayahanda, bonda dan adinda-adinda pada masa ini: Jawapan yang terbaik kepada soalan ini pada saya ialah “Alhamdulillah...”

5. Perasaan tentang perhatian seluruh negara yang tertumpu kepada isu-isu yang melingkari Istana Kelantan: Saya rasa jawapan yang paling sesuai ialah kita tidak boleh nak fikir sangat (hal ini) sebab jika kita terlalu memikirkan sangat, nanti otak kita akan sesak (jammed) jadi kita kena reda, kita tunggu dan kita lihat apa yang berlaku itu, jika kita fikir ia sudah takdir, maka kita lihatnya sebagai takdir. jika kita hendak fikir banyak sangat why? why? why?...akhirnya kita tidak akan terfikir kerana otak manusia atau data base otak manusia tak akan dapat memikirkan kenapa ini semua terjadi.

6. Rahsia tidak kekok untuk berada bersama-sama rakyat, duduk dan makan bersama malah menyembelih lembu bersama-sama rakyat dalam majlis-majlis keramaian: Kalau kita buat sesuatu perkara yang kita suka seperti sesetengah orang suka menyanyi, sesetengah orang suka makan, tengok tv, akhirnya ia akan menjadi senang untuk kita. Misalnya jika kita suka makan nasi lemak, kita makan sepuluh bungkus pun tidak ada hal.

7. Rahsia mudah didekati oleh rakyat dan tidak kekok memberi bantuan peribadi: Bagi saya senang sahaja sebab jika kita perhatikan sewaktu ayahanda saya menjadi Sultan, tidak ada satu yayasan dibuat atas namanya. Jadi saya fikir mengapa tidak ada (yayasan). Jadi itu yang mendorong saya untuk memberi sumbangan peribadi kepada rakyat jelata. Sebab tidak ada yayasan di atas nama ayahanda saya yang dapat saya gunakan untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat (Nota: sebaik sahaja diangkat menjadi Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V telah menubuhkan sebuah yayasan yang diberi nama Yayasan Sultan Kelantan yang tujuannya adalah untuk menjaga kebajikan, pendidikan dan keagamaan rakyat di bawah jajahannya.)

8. Mengenai perancangan Yayasan Sultan Kelantan dalam membantu rakyat: Kita anggarkan kita akan dapat mengutip antara RM5 hingga RM6 juta (untuk dana awal). Selepas itu anggota lembaga pemegang amanah akan memutuskan cara untuk menyalurkan wang tersebut. Apa yang penting ialah untuk menentukan supaya program baru untuk mengumpul dana dapat dirancang dengan baik agar wang dana itu tidak habis. Jika wang dana tidak mencukupi atau kehabisan ini bermakna hanya segelintir pihak sahaja yang berpeluang mendapat faedah daripada dana ini. Matlamat yayasan ini ialah untuk membantu seseorang itu berdikari supaya dia sendiri dapat menguruskan dirinya selepas itu tanpa bantuan lagi.

9. Pandangan tentang isu pembangunan yang dihadapi oleh rakyat dan negeri Kelantan: Masalah negeri Kelantan saya nampak adalah tentang soal kekurangan infrastruktur asas dan tidak semaju seperti mana negeri Selangor atau Johor. Jadi kalau negeri-negeri ini banyak lebuhraya dan jalan baru dibina akhirnya kampung-kampung kecil dan bandar-bandar kecil yang berada di sekitar kawasan yang memiliki kemudahan infra seperti jalan raya dan sebagainya akan menerima pembangunan secara tidak langsung. Ini kerana, saya selalu ke mana-mana menggunakan kereta, jadi saya dapat tengok bagaimana kawasan yang mempunyai jalan besar dan utama akan turut membangun dan kampung itu tidak mati. Tetapi jika tidak ada jalan dan pembangunan ekonomi susah hendak sampai ke situ, ia akan mati termasuklah masyarakat kerana mereka tidak ada kesempatan untuk turut membangun kerana tiadanya komunikasi dengan dunia luar. Di Kelantan itu yang paling ketara...

10. Tentang prinsip-prinsip asas dan perubahan utama yang akan dilaksanakan: Prinsip saya ialah kita sebagai pemerintah haruslah aktif membuat tinjauan kerana hanya dengan meninjau kita akan mendapat gambaran sebenar (keadaan di bawah) dan dapat ambil tindakan sewajarnya serta dapat memberi keutamaan kepada yang mana perlu mendapat perhatian terlebih dahulu.

11. Tentang tahap kemajuan ekonomi dan pembangunan sosial negeri Kelantan: Seperti mana yang saya katakan di awal wawancara tadi, tidak ada bandar di dunia ini dapat bangun tanpa ada infrastruktur asas seperti jalan, hospital, lapangan terbang. Saya bukannya hendak campur politik tetapi apa yang saya maksudkan di sini ialah kalau hendak bangunkan sesuatu kita perlu buat kajian fisibiliti terlebih dahulu. Contohnya macam saya balik (dari sesuatu majlis) dengan kereta saya dapat lihat sendiri kesesakan lalu lintas yang teruk kearah pusat bandar (Kota Baru) bila ada cuti am. Mengapa sesak? Kerana jalan tidak luas atau tidak cukup tetapi kereta banyak. Mengapa kereta banyak? Sebab pada waktu cuti umum orang Kelantan di luar Kelantan balik bercuti ke Kelantan. Jadi kalau kita buat lebuh raya dan buat tol sudah pastinya kita akan dapat menjana pendapatan kerana ramai yang balik ke Kelantan menggunakan kereta. Akhirnya hasil (wang) akan berpusing dan ini akan merancakkan ekonomi termasuk hasil pendapatan rakyat. Bila ini berlaku ia akan menyenangkan hati rakyat – tidak kiralah sama ada ekonominya ke, kesejahteraan dia ke, atau kesihatan dia ke, asalkan rakyat senang. Dan apa sahaja yang akan menyenangkan rakyat kita sokong. Jadi kita tidak hendak menyalahkan mana-mana pihak. Cuma bila kita buat perbandingan contoh Kelantan dengan Terengganu, Kelantan dengan Pahang, Kelantan dengan Johor atau Selangor, Wilayah Persekutuan, kita akan tahu jawapannya kedudukan kita di mana.

12. Mengenai impak aktiviti politik kepada perpaduan rakyat: Sistem politik ini, bagi saya selagi ia tidak bercanggah dengan agama dan kita tidak memburuk-burukkan orang lain dalam ceramah tidak mengapa. Bagaimanapun ia bergantung atas diri masing-masing. Misalnya atas pentas ceramah, kalau sesetengah orang itu mulutnya laser, akan keluar perkataan-perkataan yang tidak elok tetapi kalau orang itu jenis orang baik, tak akan keluar kata-kata buruk ke atas orang lain. Jadi kita sendiri kena tahu bila hendak tekan brek (had). Kalau saya sendiri nak cakap apa-apa pun siapa boleh halang saya cakap tapi kita sendiri kena tahu bila hendak brek. Sebagai manusia kita kena tahu had kita di mana. Jika tidak, kita akan menjadi seperti sebuah kereta api yang out of control yang akhirnya akan terbalik.




No comments: