Wednesday, September 12, 2012

Kelantan sedang rangka bina laluan keretapi laju



Nazri Abdullah,12 Sep 2012

KUALA LUMPUR:

 Kerajaan Kelantan kini sedang merangka untuk membina laluan keretapi laju bagi menghubungkan negeri itu dengan negeri-negeri di Pantai Barat termasuk Johor untuk keperluan jangka masa panjang.

Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, beberapa pihak berkaitan telah dihubungi untuk membantu membuat rangka awal cadangan laluan keretapi tersebut.

Menurut beliau, pembinaan laluan keretapi itu akan menggunakan wang dari bayaran royalti kepada Kerajaan Negeri Kelantan.

"Jadi saya berharap Kerajaan Kelantan masa depan boleh buat jawatankuasa untuk mengkaji membina laluan keretapi laju mengguna duit royalti.

"Duit royalti dari telaga (Bunga) Kamelia sahaja bermula tahun hadapan akan diperolehi kelantan insyaAllah RM500 juta satu tahun.

"Kalau kos keratapi laju RM4 hingga RM5 bilion, itu masih dalam kemampuan kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka sempena Aidilfitri Harakah di Dewan Datuk Fadzil Noor, KUIZM hari ini.

Tambah beliau lagi, pembinaan itu nanti akan membantu perkembangan ekonomi Kelantan selain mempercepatkan masa perjalanan dan memudahkan perhubungan.

Pembinaan itu juga dilihat akan membantu mengurangkan penggunaan kenderaan rakyat Kelantan khususnya yang berada di perantauan untuk pulang ke kampung halaman terutama di musim perayaan dan cuti umum.

"Keretapi yang ada sekarang ini terlalu perlahan dan laluannya masih laluan yang dibuat oleh penjajah dahulu.

"Kita mencadangkan perjalanan dari KB ke KL lebih cepat dan selesa," katanya.

Mengulas cadangan BN Kelantan yang ingin memasukkan pembinaan lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai dalam menifesto mereka pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang, Husam berkata ianya sudah terlambat.

"BN terlambat, kita dah pikir nak buat kretapi laju dia baru nak ambik lebuh raya.

"(Cadangan lebuh raya KBKK) dah ada dalam Rancangan Malaysia ke-9, itu pun dibatalkan balik. Kalau dalam manifesto, bila-bila masa pun dia boleh masukkan dalam tong sampah," katanya.

No comments: