Monday, September 10, 2012

Tentang politik warna dan bendera



Isu bendera merah putih yang dikibarkan penyokong Pakatan Rakyat pada malam ambang merdeka bulan lalu terus panas, dengan penyertaan semakin banyak kumpulan dalam debat panas ini.

Satu isu yang menarik perhatian dalam hal ini ialah tentangan kuat kumpulan Perkasa terhadap bendera yang mempunyai warna merah dan putih itu, sedangkan warna tersebut mempunyai hubungan sejarah lebih rapat dengan perjuangan Perkasa, sebuah kumpulan yang memanfaatkan populisme haluan kanan di Malaysia.

Warna merah putih menjadi bendera dua parti Melayu utama negara ini; Umno dan PAS, disebabkan latar warna tersebut dalam sejarah Melayu rantau ini, sekurang-kurangnya dalam sejarah terkini Nusantara.

Persamaan warna merah putih digunakan pada bendera di rantau ini disebabkan oleh akar sejarah wilayah Melayu rantau ini.

Hal yang sama dapat dilihat di rantau lain, antara contohnya ialah dunia Arab yang berkongsi warna hitam, hijau, putih dan merah, warna pan-Afrika yang dikongsi di dunia Afrika, dunia Slav yang berkongsi warna merah, biru dan putih, dan rumpun bangsa Iran dengan warna hijau, putih dan merah.

Sebagai kumpulan yang berpendirian lebih kanan daripada Umno, Perkasa lebih wajar menyertai debat isu bendera ini dengan lebih cermat dan cerdik, dan bukan sekadar menentang apa yang dibawakan oleh pihak penentang Umno.

Dalam hal ini, pihak yang mencetuskan isu ini dengan memperkenalkan bendera itu menjelang ulang tahun kemerdekaan ke-55 dan Perkasa mengambil posisi yang sebenarnya bertentangan dengan ideologi masing-masing.

Perkasa terlibat menentang tindakan memperkenalkan satu "bendera alternatif" kepada Malaysia yang telah menjadi lebih pluralis hasil kemerdekaan, kemerdekaan yang telah mengubah Tanah Melayu menjadi Malaysia dan mengambil bendera yang jauh berbeza dengan warna merah putih seperti yang menjadi warna pilihan Indonesia dan Singapura.

Walau bagaimanapun,isu mengubah bendera bukan sesuatu yang sangat asing atau aneh, dan dilakukan di banyak tempat untuk mencerminkan bentuk rejim memerintah atau keperluan lain.

Di Syria, pihak pemberontak menggunakan bendera pra-Baath dengan warna hijau, putih, dan hitam, untuk menunjukkan penentangan dan penolakan pemerintahan rejim sedia ada.

Rusia sebagai contoh, sejak zaman czar hingga ke hari ini telah menyaksikan perubahan bendera negara berdasarkan bentuk pemerintahan.

Lebih dekat dengan Malaysia, Burma (Myanmar) turut mengubah bendera pada tahun 2010, menggantikan bendera berwarna merah biru kepada bendera tiga warna: kuning, hijau dan merah, dengan bintang di tengah.

Pihak yang memperkenalkan bendera bersifat "revisionist" yang lebih rapat kaitan sejarah Melayunya itu pula ialah daripada pihak parti yang berideologi liberal, yang tidak meletakkan isu Melayu sebagai perjuangan pentingnya.

Dalam keadaan biasa, boleh dijangka sebarang usaha memperkenalkan bendera yang berakar Melayu itu bakal menerima tentangan hebat liberal dan kumpulan anti-Melayu dan diwajarkan oleh kumpulan Melayu seperti Perkasa.

Walau bagaimanapun, tindakan memperkenalkan bendera itu oleh pihak penentang rejim Barisan Nasional tidak dapat dilihat lebih daripada sebagai satu permainan politik dan bukan satu usaha memulakan satu debat serius untuk mengubah Jalur Gemilang kepada merah putih, malah lebih kepada satu provokasi yang tidak perlu, menunjukkan satu keperluan di pihak pembangkang yang cenderung untuk mahu berseberangan dalam setiap isu dengan pemerintah.


Pihak PR setakat ini, sekurang-kurangnya dalam jangka masa pendek tidak menunjukkan gambaran hasrat mengubah bendera sedia ada, walaupun berbeza dari segi fundamental dengan pemerintah BN, termasuk dalam isu kedudukan Melayu.

No comments: