Wednesday, September 5, 2012

Tan Sri Hamzah Abu Samah dan Datuk Dr Mahadzir Mohd Khir meninggal


Bekas timbalan menteri meninggal dunia

SHAH ALAM - Bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Mahadzir Mohd Khir meninggal dunia jam 5.05 petang tadi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat serangan jantung.

Jenazah Allahyarham akan dibawa ke kediamannya di Seksyen 14, Petaling Jaya dan dijangka dikebumikan esok pagi, lapor Umno Online.

Allahyarham merupakan seorang pendidik yang kemudian menjadi pensyarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya sebelum dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan dan seterusnya sebagai Timbalan Menteri Pelajaran.

Allahyarham yang dilahirkan di Kedah pada 16 Mei 1945 pernah menjadi Ahli Parlimen Sungai Petani.

Mahadzir mendapat pendidikan menengah di Sekolah Menengah St. Micheal, Alor Star sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dan University of West Michigan dan University of Chicago di Amerika Syarikat. Khidmat beliau kepada masyarakat bermula sebagai guru di salah sebuah sekolah di Baling.

Allahyarham kemudian menyertai perkhidmatan tadbir dan diplomatik di Jabatan Perdana Menteri.

Beliau bertanding buat kali pertama dalam pilihan raya umum pada 1999 iaitu di kerusi Parlimen Sungai Petani dan mengekalkannya pada pilihan raya umum berikut.

Pada 10 Disember 1999, Mahadzir telah dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan dan kemudian sebagai Timbalan Menteri Pelajaran.
Beliau pernah menyandang jawatan Ketua Umno Bahagian Sungai Petani.SH


Jenazah Hamzah Abu Samah selamat dikebumi



KUALA LUMPUR: Jenazah Allahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah dikebumikan di perkarangan Masjid Negara di sini pada kira-kira jam 3.30 petang tadi. 

Jenazah Allahyarham sebelum itu ditempatkan di dewan solat utama Masjid Negara pada pukul 1 tengah hari bagi membolehkan orang ramai menziarah dan memberikan penghormatan terakhir. 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengetuai solat jenazah sejurus selepas solat Zohor sebelum jenazah diusung ke kawasan pusara itu yang terletak bersebelahan Makam Pahlawan bagi pengebumian. 

Turut berada pada pengebumian itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Mengiringi mereka ialah Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Sheikh Ismail Muhammad. 

Najib ketika ditemui selepas pengebumian itu berkata, Allahyarham memberi banyak sumbangan kepada negara, dalam pelbagai jawatan yang dipegang sama ada dalam bidang poltik atau sukan. 

"Barangkali, kejayaan bola sepak tanah air dan sukan tanah air ketika Allahyarham memegang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), amat diingati dan dikenang oleh peminat sukan dan rakyat secara keseluruhannya," kata Najib. 
Perdana Menteri berkata, Allahyarham sebagai tokoh politik juga banyak menyumbang kepada perjuangan selepas negara mencapai kemerdekaan bersama-sama bapanya (perdana menteri Malaysia kedua) Tun Abdul Razak Hussein. 

Najib juga menyifatkan Allahyarham Hamzah sebagai antara individu yang berjuang dalam asas pembentukkan negara bersama-sama dengan tokoh lain dan memberi sumbangan besar kepada bangsa, agama dan negara. 

Hamzah, 88, meninggal dunia akibat sakit tua kira-kira jam 3.30 petang semalam di kediamannya di Staffield Country Resort, Mantin, Negeri Sembilan. 

Hamzah yang juga adik ipar Tun Abdul Razak, meninggalkan isteri Toh Puan Zainon, dan tujuh anak - lima lelaki dan dua perempuan. 

Allahyarham ialah menteri kabinet sejak 1960-an hingga meletakkan jawatan pada 1980 selepas menjalani pembedahan pintasan koronari. 

Antara jawatan yang disandangnya ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dari 1971-1973, Menteri Pertahanan (Ogos 1973), Menteri Perdagangan dan Industri (September 1974) dan jawatan terakhir Menteri Undang-Undang dan Peguam Negara. 

Selain itu, anak kelahiran Pekan, Pahang itu juga adalah bekas Ahli Parlimen Raub (1967-1978) dan Temerloh (1978-1980), dan bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Perak, sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Gray's Inn, England pada 1953. 

Allahyarham mengambil alih jawatan presiden MOM daripada Tun Abdul Razak pada 1976 dan berkhidmat sehingga 1998 sebelum kalah kepada penyandang sekarang, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar pada pemilihan 1998. Beliau kemudian dilantik Presiden Kehormat Seumur Hidup MOM. - BERNAMA 


No comments: