Berikut disiarkan catatan sdr MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF salah seorang dari puluhan ribu rakyat Kelantan yang 'bergalabut' mengenai royalti petroleum yang sepatutnya dibayar. Penulis ini rajin memberi pandangan dan melontarkan kritikan sosial di media massa. Setiap kali beliau mencoret sesuatu akan dikirimkan kepada saya. Syabas atas kerajaan sdr tanpa mengenal penat dan jemu. Ikutilah pandangan dan komenter beliau;
Dengan desakan langsung dari rakyat terhadap kerajaan pusat agar membayar royalty kepada kerajaan Kelantan sebagaimana perjanjian 9 Mei 1975, nyata ia membuka kesedaran pelbagai pihak kepada banyak isu di sebaliknya. Apa yang dilakukan oleh sekumpulan anak muda dalam gerakan yang disebut R terus mendapat sambutan lantas membuka kesedaran yang lebih meluas.
Kini ramai yang menantikan satu prosiding rayuan yang dijadualkan pada 3 Oktober. Dalam pada itu juga, dijangka satu prosiding memohon pengishtiharan mahkamah terhadap ketidakesahan perjanjian tersebut turut akan dikemukakan.
Dalam suasana inilah, saya suka menarik perhatian kepada pemahaman kita kepada satu prinsip asas dalam undang-undang kontrak. Harapan saya dengan pemahaman tersebut seluruh rakyat umumnya dan rakyat Kelantan khususnya akan terus berdiri teguh di belakang keputusan yang akan diambil oleh kerajaan negeri dalam menangani isu royalty ini.
Undang-undang paling asas dalam sesuatu kontrak menyatakan bilamana salah satu pihak gagal memenuhi tanggungjawab dalam perjanjian, ia dikatakan telah pecah kontrak atau “repudiate”. Tindakan ini membangkitkan hak kepada pihak yang satu lagi untuk “rescind the contract” iaitu mengambil tindakan untuk membatalkan terus perjanjian yang dipersetujui.
Dalam hal ini, Petronas yang gagal membayar royalty sebagaimana dipersetujui telah memecah janji “repudiate the contract” dan kerajaan Kelantan dalam hal ini berhak membatalkan dan menamatkan perjanjian tersebut atau “rescind the contract”.
Justeru, pihak-pihak iaitu Petronas dan Kelantan dalam hal ini tiada lagi sebarang tanggungjawab sebagaimana ditetapkan dalam perjanjian 1975. Dengan erti kata lain, Petronas tiada lagi hak untuk memasuki kawasan perairan dan daratan Kelantan untuk meneroka minyak di sana.
Kerajaan Kelantan pula berhak untuk memutuskan dengan apa jua cara bagi meneroka dan mencari gali minyak di kawasan daratan dan perairan Kelantan dengan cara mereka sendiri. Tentunya suasana ini amat menguntunkan rakyat Kelantan kerana hasil bumi mereka boleh diuruskan oleh kerajaan yang mereka pilih melalui pilihanraya yang sah.
http://msomelayu.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment