Thursday, September 13, 2012

Telaga gas baru ditemui di Sabah

Kuala Lumpur: Lundin Petroleum AB, syarikat penerokaan dan pengeluar petroleum dari Sweden mengesah penemuan gas di Berangan-1, telaga luar pesisir dalam blok simpanan gas SB303 di utara Sabah. 

Syarikat itu dalam kenyataan menerusi laman webnya berkata, kerja penerokaan Berangan-1 iaitu telaga ketiga yang diterokainya itu membawa kepada penemuan ruang yang mempunyai sasaran simpanan gas yang besar.

Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Ashley Heppenstall, berkata telaga berkenaan berada 70 meter di bawah air dan membabitkan kerja penggerudian sehingga 1,709 meter. 

Katanya, kedudukan telaga itu juga adalah 10 kilometer daripada telaga Tarap dan 15 kilometer (km) daripada telaga Cempurut, yang mana masing-masing ditemui pada 2011 iaitu berhampiran telaga Titik Terang. 

Penemuan terbaru itu menyediakan potensi menilai potensi perkembangan bahagian gas. 

Selepas ini, kawasan simpanan itu akan dinilai untuk memastikan jumlah simpanan gas yang boleh dikeluarkan. 

Pelbagai kajian dilakukan 
Penemuan itu juga dibuat menerusi pelaksanaan pelbagai program pengumpulan data membabitkan sampel cecair, profil tekanan yang menunjukkan sebuah ruang gas wujud dan menunjukkan tahap sentuhan gas dengan air. 

Selepas ini, kami akan menentukan berapakah kandungan gas dalam telaga yang boleh dikeluarkan. 

Kapal cari gali West Courages yang digunakan bagi penemuan ini akan berpindah ke pesisir Semenanjung Malaysia pula untuk menilai potensi bahagian perkembangan cari gali gas, bermula dengan telaga Merawan Batu-1 dalam blok PM308B, kata Ashley. 

Syarikat itu melalui Lundin Malaysia BV mempunyai 75 peratus kepentingan dalam blok gas SB303 manakala baki kepentingan 25 peratus lagi dimiliki oleh Petronas Carigali Sdn Bhd. Ia mengendalikan enam blok di Malaysia iaitu PM307, PM308A, PM308B, SB303, SB307 dan SB308. 

Ia mempunyai portfolio seimbang dalam aset bertaraf dunia terutamanya di Eropah dan Asia Tenggara dan disenaraikan di NASDAQ QMX, Stockholm dan Toronto Stock Exchange. 

Kini, ia mempunyai rizab gas yang teruji pada anggaran 211 juta tong (MMboe).


http://www.bharian.com.my/bharian/articles/TelagagasbaruditemuidiSabah/Article/

No comments: